Friday, January 30, 2009

Bahaya Kad Pengenalan Malaysia

Kadang-kadang terdapat di kalangan kita yang ambil mudah pasal IC ni. Tapi tahukah kita bahawa IC Malaysia ini terlalu terdedah kepada pelbagai penyelewengan dan salah guna. Mari kita tengok 2 kes ini.

Kes 1

Sebuah bank perdagangan negara kita memfailkan Notis Kebankrapan terhadap seorang nelayan di kampung saya, Kuala Rompin, Pahang, Mohd Rosdi Bin Seman. Notis tersebut adalah ekoran dari Perintah dan Penghakiman Ingkar yang diperolehi dari Mahkamah Sesyen Georgetown berhubung dengan kegagalan nelayan berkenaan yang didakwa mempunyai hutang kereta mewah keluaran tahun 2008. Kes ini mendapat liputan agak meluas dalam akhbar Harian Metro dan Sinar Harian.

Apa yang memeningkan saya, nelayan ini tak pernah memohon pinjaman kereta malahan tiada lesen memandu pun. Kereta pun tak pandai pandu! Apatah lagi kes ini berlaku di Pulau Pinang, berjuta batu dari Rompin, Pahang. Beliau pula tak pernah ke sana. Apabila saya selidiki, nelayan ini pernah hilang IC beberapa tahun lalu tetapi telah menggantikannya. Saya disuakan Penghakiman Mahkamah dan tertera nama nelayan tersebut sebagai pemohon permohonan sewa beli kenderaan mewah tersebut. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Ia menjadi misteri kepada saya sehingga kini. Apakah memadai hanya sekeping IC ditunjukkan kepada bank tanpa melihat pemikinya, maka pinjaman akan diluluskan?

Saya dalam proses mengenepikan Notis Kebankrapan tersebut walabagaimanapun ingin menegaskan bahawa perkara ini amat menzalimi golongan yang benar-benar tidak mempunyai apa-apa hutang. Siapa yang akan mempercayai mereka ini tidak berhutang,sedangkan IC telah digunakan oleh orang lain?
Kes 2

Kes ini juga melibatkan seorang nelayan berbangsa cina tetapi di Batu Pahat, Johor. Nelayan ini telah disaman oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana tak bayar cukai pendapatan sebanyak RM10,960.07 termasuk kenaikan-kenaikan sebanyak 10% dan 5% yang dikenakan di bawah Seksyen 103(4) dan 103(5A) Akta cukai Pendapatan 1967 bagi tahun-tahun taksiran 2000 (PY) dan 2000(CY). LHDN memfailkan saman di Mahkamah Majistret Batu Pahat telah memohon Mahkamah memasukkan Penghakiman Terus di bawah Aturan 26A Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 iaitu permohonan dapatkan penghakiman tanpa perlu bicara memanggil saksi-saksi.

Dalam samannya LHDN telah mengemukakan Borang-Borang Cukai Pendapatan yang dikatakan diistiharkan di atas nama nelayan tersebut yang kononya menjalankan perniagaan tekstil dengan pendapatan tahunan sekitar RM80,000.00 lebih. Saya cabar perkara ini bahawa di peringkat ini Mahkamah tak boleh terus buat penghakiman bahawa anakguam saya telah berhutang cukai pendapatan tersebut memandangkan antara pembelaan anakguam saya adalah beliau merupakan nelayan dan pendapatannya tidak layak dicukaikan. Mahkamah setuju dan tolak permohonan LHDN. Apabila saya tanya nelayan ni apa yang sebenarnya berlaku, dia menjawab bahawa IC miliknya telah dipinjam oleh kawannya dan dipulangkan setelah beberapa hari. Nelayan ini buta huruf dan tak mengetahui apa-apa kesan memberi pinjam IC tersebut.

Pengajaran
Ini adalah sebilangan kecil kes-kes yang dilaporkan melibatkan kehilangan dan penyalahgunaan IC. Itu belum dikira IC digunakan untuk identiti orang lain bagi tujuan jenayah etc..Mengapa sebegitu mudah IC milik orang lain disalahgunakan? Apakah memadai jika kita pinjam IC orang lain atau jumpa IC orang lain atau hanya fotokopi IC maka kita boleh terus berurusan menggunakan penama dalam IC tersebut walaupun tanpa kebenarannya tepai diluluskan penggunaaannya? Jika ini berlaku, ia bukan sahaja bakal menzalimi golongan yang tidak berhutang atau yang tidak bermasalah tetapi juga memperlihatkan kelemahan sistem keselamatan negara.

Wednesday, January 28, 2009

Kalah bicara yang menggembirakan..

Tengok tajuk kali ni pasti ramai yang pelik. Apa tidaknya, setiap peguam inginkan kemenangan dalam kes yang dikendalikannya apatah lagi bayaran guaman yang tinggi dikenakan..Hati kecil saya terdetik-detik untuk menulis pengalaman saya kali ini walaupun tidak sehebat mana, saya harap anda semua ambil pengajaran penting.

Saya dilantik mewakili sebuah koperasi yang agak hebat satu masa dahulu dengan pelaburan jutaan ringgit dan pelabur-pelabur yang cukup ramai. Koperasi ini pernah diiktiraf antara yang terbaik di negara ini. Malangnya, setelah beberapa tahun beroperasi dengan gah, akibat salah tadbir dan angkara beberapa kerat anggota pengurusan koperasi tersebut, koperasi tersebut terpaksa diambil alih oleh Ketua Pendaftar Koperasi Malaysia berdasarkan Seksyen 69 (3) Akta Koperasi 1993 untuk ditadbir. Saya tak mahu menyentuh lanjut perkembangan koperasi tersebut memandangkan koperasi tersebut adalah anakguam saya dimana saya perlu memelihara professionalisme dan etika antara peguam dan klien.

Akibat perkara tersebut, koperasi kerugian besar, pelaburan entah kemana, aset-aset tak dapat dikenalpasti dan paling malang mereka yang menggerakkan koperasi ini yang dahulunya ke hulu hilir berkempen menambah ahli, tidak lagi boleh diharapkan untuk memulihkan koperasi. Natijahnya, paling menderita adalah para pelabur. Ada yang mencarum duit pusaka, gadai harta benda, wang gaji dan lain-lain semata-mata tertarik untuk melabur.

Kes saya ini adalah membela koperasi tersebut melawan tuntutan seorang warga emas dari negeri Melaka yang mencarumkan wang KWSPnya dan wang pencennya dalam koperasi tersebut atas nama pelaburan Mudharabah. Dalam pernyataan tuntutannya, pakcik ni bagitau bahawa dia diberi taklimat bahawa pelaburannya akan dilaburkan dalam satu pelaburan yang menjanjikan keuntungan. tiada langsung dimaklumkan akibat jika pelaburan rugi. . Sedangkan Al Mudharabah bererti perkongsian untung rugi. Dalam kes ini, pelaburan yang dimasuki pakcik ni rugi dan dia dimaklumkan bahawa oleh kerana pelaburan ini adalah al Mudharabah maka pelaburannya hangus. Pakcik ini tak dimaklumkan operasi al Mudharabah samada melibatkan wang pokok akan hangus atau tidak jika pelaburan mengalami kerugian. Saya rasa konsep Mudharabah ini perlu diperhalusi oleh pihak berkuasa agama dengan lebih mendalam agar pelabur tidak keliru..Jangan gunakan skim murni agama ini untuk tipu pelabur!
Berbalik kes pakcik ni, dia tuntut RM30 ribu lebih wang pelaburannya. Kes dibicarakan di Tribunal Koperasi yang ditubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. 3 orang Hakim bersidang. Saya datang ke tribunal dengan kapasiti peguam yang banyak kendalikan kes-kes dan pada pandangan saya ketika itu, kes pakcik ni kecil je. Tambahan saya dah buat kajian undang-undang kes ini termasuklah perkara teknikal yang akan saya bangkitkan. Bagi saya pakcik ni pasti tak tau apa-apa.

Tiba hari perbicaraan, saya kemukakan hujah bahawa pakcik ni tak berhak untuk tuntut wang pelaburan beliau berdasarkan prinsip Mudharabah. Tambahan pula, dividen yang diperolehi pakcik ni pun agak banyak hampir menyamai wang pokoknya. Walaubagaimanapun, pakcik ni berhujah dengan tanpa saya duga, mengemukakan bukti bahawa skim Mudaharah tidak boleh terpakai dalam pelaburan beliau memandangkan penerangan terhadap beliau tentang pelaburan Mudharabah oleh pegawai koperasi tidak mencukupi malah pakcik tu hanya dijanjikan keuntungan..Saya berhujah balas bahawa apabila seseorang menandatangani borang pelaburan dimana di situ terdapat penerangan skim Mudaharabah secara bertulis ia memadai untuk mengikat seseorang pelabur dengan skim ini, apabila beliau menurunkan tandatangannya di situ.

Tribunal akhirnya membuat keputusan bahawa pelabur mestilah diberikan penjelasan sewajarnya terhadap sesuatu pelaburan. Apa yang berlaku dalam kes ini, sikap pegawai koperasi yang bukan sahaja tidak bersikap "full and frank disclosure" mengelirukan pelabur oleh yang demikian tidak mengikat pelabur dengan skim tersebut. Malah pelabur boleh membuat laporan polis. Tribunal membenarkan tuntutan pakcik tu. Saya kalah kes. Saya hanya mampu memaklumkan tribunal bahawa, anakguam saya (koperasi) tidak berupaya membuat bayaran kepada pakcik tu dan sekiranya ada perintah pelaksanaan (execution) pun, koperasi tersebut tetap tidak berupaya memandangkan ramai kakitangan diberhentikan dan pelaburan-pelaburan ditutup. Pakcik itu hanya menjawab "kita akan betemu di akhirat nanti".. Saya mengalirkan airmata..

Apa yang saya nak bawa arini ada 2 perkara. Pertama, walaupun pakcik tu tak guna peguam tetapi apabila keadilan dan kebenaran di pihaknya ia pasti tiba jua akhirnya. Sehebat mana pun kita membela, sepetah mana pun kita berhujah, ia tidak dapat menolak kebenaran hakiki. Kedua, ingatlah bahawa apa yang berlaku pada koperasi ini perlu menginsafkan semua, samada pentadbir, pemimpin organisasi, penaja koperasi, pelabur dan seluruh masyarakat, bahawa sesebuah koperasi itu perlu ditadbir sejujurnya, ikhlas dan taqwa kepada Allah melebihi kepentingan diri, kerana hutang kita kepada rakyat yang bergolok gadai, menggunakan seluruh wang pencen mahupun melabur atas nama perjuangan pasti akan dipersoalkan Allah suatu hari kelak.

Pakcik..Terima kasih kerana menyedarkan saya..

Monday, January 26, 2009

Kes Kugan : Keganasan Polis Malaysia perkara biasa?

Saya rasa bukan saya je sebagai manusia tersentuh dengan kematian tragis Kugan Ananthan 22, dalam tahanan polis. Sebagai manusia bertamadun, kesan deraan teruk pada tubuh Kugan tidak boleh diterima akal bahawa tiada sebarang penderaan fizikal terhadap simati. Bagi saya PDRM kena bertanggungjawab walau atas alasan apapun, tindakan tindakan tersebut adalah biadap dan tidak boleh dimaafkan. Saya tak ingin menyentuh kes di atas selanjutnya kerana saya percaya, ia akan diulas panjang oleh blogger-blogger yang lain atau sekurang-kurangnya boleh dibaca di dalam artikel-artikel di media-media seumpamanya.

Untuk pengetahuan semua, kes Kugan ini adalah antara deretan kes-kes kematian dalam tahanan polis di negara ini. Namun seperti biasa, PDRM akan mengistiharkan kematian tertuduh (suspect) adalah kerana penyakit tertentu yang dihidapi simati.

Saya hari ni nak berkongsi sikit pengalaman saya kendalikan satu kes rogol di Mahkamah Sesyen Kuantan. Tertuduh ditangkap di rumahnya sebelum dibawa ke lokap Polis. Kenyataan beliau di bawah Seksyen 113 Kanun Acara Jenayah diambil. Seksyen ini memperuntukkan kuasa polis untuk merakamkan kenyataan tertuduh terhadap sesuatu kesalahan jenayah dimana kenyataan ini boleh digunakan pihak pendakwaan di Mahkamah kelak. Walaubagaimanapun, seseorang suspect ini boleh untuk tidak menjawab apa-apa pertanyaan polis tersebut sekiranya soalan-soalan polis mendedahkan beliau kepada mana-mana tuduhan jenayah. SAYA NASIHATKAN SEKIRANYA POLIS BERTANYAKAN APA-APA SOALAN, JANGAN JAWAB APA-APA DAN BAGITAHU SAYA HANYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH KELAK!! Ini adalah kerana kesemua soalan tersebut pastikan akan mendedahkan seseorang kepada tuduhan jenayah!

Apa yang malangnya, apabila seseorang suspect sekiranya sebelum atau sewaktu kenyataan 113 Kanun Acara Jenayah dirakamkan oleh pegawai polis, siasatan terhadap kesalahan akan dibuat. Dalam kes yang saya kendalikan, anakguam saya hanya ditanya sama ada hendak mengaku atau pun tidak. Anakguam saya tidak disuakan apa-apa bukti sokongan (circumstancial evidence) untuk menyokong tuduhan terhadapnya. Beliau diikat tangan dan ditarik-tarik ala buaian ke atas ke bawah. Penderaan berulang kali ini diulangi apabila anakguam saya enggan mengaku. Sudahlah anakguam saya dipukul di perut dan muka, seolah-olah tiada ehsan dan sifat kemanusiaan. Tindakan berulangkali ini menyebabkan anakguam saya mengaku dan seterusnya percakapan di bawah 113 Kanun Acara Jenayah ini diambil. Saya nak simpulkan polis ini memang kurang hajar!

Selepas anakguam saya dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh sebutan untuk dituduh, saya bawa anakguam saya mendapatkan rawatan dan menemani beliau buat laporan polis di balai polis yang sama. Hampir 3 jam anakguam saya disoal siasat berhubung dengan laporan polis tersebut. Malahan kenyataan saya juga hendak diambil oleh pihak polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah (JSJD) beria-ria mahu mengambil keterangan saya, tapi saya cabar sekiranya nak ambil keterangan saya, saya minta dia tangkap saya dulu. Dia tak mau tangkap, kerana tau sekiranya saya ditangkap beliau akan berhadapan liku-liku perundangan yang sukar..
Tujuan saya buat laporan polis ini adalah kerana sekiranya keterangan di bawah Seksyen 113 Kanun Keseksaan dibawa ke Mahkamah saya pasti boleh mencabarnya kerana di bawah Seksyen yang sama, sekiranya pihak pembelaan boleh membuktikan bahawa kenyataan 113 tersebut dibuat dalam keadaan memaksa ( ugut tak akan didakwa, hukuman rendah, mengancam (memukul etc) tertuduh mahupun memberikan dorongan (bagi rokok, duit etc), maka Mahkamah boleh menolak keterangan tersebut melalui satu perbicaraan dalam bicara (trial Voir Dire) seperti dalam kes Altantuya. Hari ini walaupun, Seksyen 113 Kanun Acara Jenayah kebanyakannya tidak lagi digunakan di Mahkamah, tetapi pihak polis boleh menggunakan seksyen 112 undang-undang yang sama iaitu mengambil keterangan tertuduh sebagai saksi. Saya nak bagitau, kezaliman untuk mendapatkan keterangan tertuduh dalah Seksyen 112 adalah sama seperti kezaliman polis untuk dapatkan keterangan dalam seksyen 113.

Apa yang nak saya bawa di sini adalah soal keadilan kepada tertuduh. Prinsip keadilan jenayah sama ada dalam undang-undang sivil mahupun Jenayah Syariah adalah jelas. Seseorang adalah tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah (Presumption of innocent until proven guilty). Kenapa tertuduh ini diperlakukan seperti telah dibuktikan bersalah oleh Mahkamah apabila mereka ini dipukul habis-habisan hanya kerana tidak mahu mengaku salah. Bukankah tugas polis adalah menyiasat terlebih dahulu? Realiti negara ini, polis menangkap tertuduh kemudian baru siasat, berbeza dalam kisah CSI ataupun prinsip jenayah dunia yang mana siasatan akan dibuat terlebih dahulu kemudian barulah tangkapan dibuat.
Walaupun tertuduh disiasat kerana kes rompak, samun, bunuh mahupun rogol, bukanlah kuasa polis untuk mendera tertuduh ini sebelum mereka ini dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Saya nak bagi pesan bagi sebahagian polis negara ini supaya jangan rosakkan imej polis lain yang menjalankan tugas dengan baik dengan bersikap biadap terhadap undang-undang, dengan bertindak sendiri. Saya teringat lagi perbincangan saya dengan P Uthayakumar ( Pengerusi HINDRAF ) sewaktu ingin memfailkan satu saman terhadap kematian mangsa dalam tahanan polis, dimana beliau mengingatkan saya bahawa tindakan saman ini mungkin tidak menang di Mahkamah Malaysia, tetapi mungkin tindakan kita menyebabkan polis ini berhati-hati bertindak selepas ini..

Saya tawarkan khidmat saya sekiranya ada penderaan ataupun kematian akibat penderaan dalam tahanan untuk heret mereka ini ke muka pengadilan!!

Monday, January 19, 2009

Nilai nyawa seorang penoreh getah..

Saya tau ramai kawan-kawan peguam yang biasa dengan kes kemalangan jalan raya. Sama ada berurusan bagi tuntutan insuran mahupun pembelaan jenayah lalu lintas. Tapi kes yang saya kendalikan ini saya ketengahkan untuk kesedaran kita sebagai pengguna jalan raya, pihak keselamatan dan kerajaan..

Tarikh bicara kes ini semalam (19/1/2009) di Mahkamah Sesyen Kuantan. Saya mewakili isteri mangsa. Tetapi macam biasa lah mahkamah ni, kes tak jalan sebab ada kes lain yang diutamakan (kes yang lebih lama). Saya faham...Mangsa seorang penoreh getah di sebuah penempatan FELDA di Pahang . Beliau menoreh getah dengan mengambil upah menoreh di kebun rakannya dengan pendapatan lebih kurang RM800.00 sebulan. Beliau menanggung anak-anak yang masih bersekolah dan sedang menuntut di sebuah IPT. Isteri beliau pula kurang sihat.

Dalam perjalanan balik ke rumah beliau setelah selesai menoreh getah, ketika masuk ke simpang rumahnya, setelah memberikan isyarat masuk ke kanan secara tiba-tiba sebuah kereta Proton Satria merempuh dan mengheret beliau sehingga hampir 50 meter dan menyebabkan beliau cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta tersebut ditangkap dan ditahan di sebuah lokap polis. Beliau disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) kerana telah menyebabkan kematian dengan memandu kenderaan tersebut di atas jalanraya di dalam keadaan yang mendatangkan bahaya terhadap orang awam. Walaubagaimanapun, setelah ditahan, beliau dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan oleh pihak polis walaupun saya dimaklumkan bahawa pihak polis bersedia untuk memulakan pendakwaan untuk sekurang-kurangnya Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 333/87 (pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman denda yang lebih ringan.

Setelah saya selidiki rupa-rupanya, pemandu kenderaan tersebut adalah seorang pelajar warganegara asing yang sedang menuntut di sebuah IPT. Beliau dalam perjalanan ke Pulau Tioman dari ibu kota. Yang paling menarik, beliau adalah anak kepada seseorang pembesar negara tersebut di sini (macam pegawai kedutaan kot!!).. Saya sempat bertanya kepada pegawai penyiasat kes ini dan beliau memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka, tetapi atas arahan tertentu, kertas tersebut terpaksa diserahkan kepada pegawai atasan. Saya difahamkan pegawai penyiasat tersebut memang bersedia untuk mendakwa pemandu itu, walaubagaimanapun..tiada lagi cerita lepas itu. Sehingga artikel ini ditulis, tidak ada pendakwaan langsung dibuat.

Apa yang berlaku pada keluarga mangsa? Saya bawa kes ini untuk tuntutan sivil ke Mahkamah dan tuntutan sejumlah gantirugi terhadap insuran kenderaan yang melanggar simati. Di Mahkamah, bila kita failkan, maka pihak insuran tawarkan sejumlah bayaran. Mula-mula tawarkan RM2000.00 kemudian RM8000.00. Saya tak setuju. Gantirugi kesedihan(bareavement) saja pun dah RM10,000.00. Ini bukan soal kejar duit atau mata duitan. Tetapi apakah nilai nyawa seorang manusia hanya banyak itu? Biarlah sekurang-kurangnya sedikit nilai kebendaan yang diperolehi oleh keluarga mangsa dapat menampung lompang perbelanjaan yang ditinggalkan simati. Paling kurang, membiayai persekolahan anak-anaknya, upah haji simati ataupun kenduri tahlil arwah.

Kawan-kawan,

Nilai duit di atas tidak lah terlalu membebankan saya dan bermain difikiran saya, tetapi apa yang saya kesal perangai penguakuasa undang-undang di negara kita. Hukuman, undang-undang dan mahkamah hanya terpakai kepada orang kebanyakan. Bila ada 'kabel', kenal orang-orang tertentu, ada jawatan-jawatan besar mahupun orang kenamaan maka mudahlah sesuatu kes digugurkan. Negara kita dah jadi macam filem Hindustan. Nak lepas 'road block' kalau kenal atau ada 'ang pow' sikit kepada sesetengah anggota keselamatan, ditanggung beres !!..Tapi sendiri mau ingat lah.. Negara kita ni milik rakyat.. Saya risau kalau rakyat bosan dengan Kerajaan yang macam ni!!

Nyawa penoreh getah boleh dibeli di pasar malam..

Ibubapa disaman guru kerana tegur tak menutup aurat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera teman-teman yang dihormati..

Minggu ini saya nak ceritakan sedikit pengalaman yang tak seberapa untuk renungan semua. Yang baik ambiklah pengajaran, yang membosankan, maafkanlah saya..

Kisahnya berlaku tahun lepas di sebuah salah sekolah kebangsaan di Skudai, Johor, ketika mesyuarat PIBG. Ketika dalam agenda membahaskan usul, seorang bapa penjaga membangkitkan isu akhlak para pelajar yang perlu diambil tanggungjawab bersama antara ibubapa dan guru-guru. Bapa tersebut juga turut menyentuh soal ibubapa dan guru-guru perlu menjadi contoh dan akhlak mulia. Antaranya larangan yang perlu dijauhi, perlu menutup aurat, beribadat bila tiba waktunya dan juga ikhlas dalam mendidik anak bangsa. Tiada serangan peribadi dibuat bapa pelajar tersebut.

Tanpa disangka, tindakan tersebut telah menimbulkan kemarahan seorang guru yang agak kanan di sekolah tersebut yang secara kebetulannya tidak bertudung (free hair). Beliau bangun sambil bertindak meninggikan suara dengan mengatakan bapa pelajar tersebut telah memalukan beliau dan akan mengambil tindakan menyaman bapa pelajar tersebut. Bapa pelajar tersebut menjelaskan perkara yang sebenar bahawa beliau tidak bermaksud menyerang peribadi guru tersebut.

Guru tersebut akhirnya memfailkan Saman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap bapa pelajar tersebut kerana memfitnah dan menjatuhkan keaiban beliau. Beliau diwakili oleh seorang peguam yang agak terkenal di Johor Bahru yang merupakan rakan saya sewaktu di firma Karpal Singh & Co dahulu (baru-baru ini mewakili Saiful Bukhari, mangsa liwat Dato'Seri Anwar Ibrahim). Dalam saman tersebut, antara lain, bapa pelajar tersebut telah dengan niat sengaja mengeluarkan ucapan yang menjatuh maruah dan reputasi guru tersebut.

Bapa pelajar terbabit bertemu dengan saya dan mohon saya wakili beliau. Saya memfailkan pembelaan yang antara lain perbuatan bapa pelajar tersebut adalah dalam bentuk kebenaran dan fakta (justification) memandangkan apa yang dinyatakan anakguam saya adalah satu ucapan yang benar bahawa setiap Muslim wajib menurut perintah agama dan mentup aurat adalah satu tuntutan agama. Kegagalan mematuhi suruhan agama menyebabkan kita dimurkai Allah SWT. Kedua, saya telah menggunakan pembelaan komen yang adil (fair comment) dimana anakguam saya mengeluarkan satu kenyataan bersifat pandangan beliau berdasarkan fakta sebenar iaitu tanggungjawab menutup aurat. Anakguam saya menegur secara umum adalah sebagai tanggungjawab Muslim terhadap Muslim yang lain.

Ketiga, anakguam saya bersandarkan kepada pembelaan perlindungan bersyarat (qualified privilege) dimana sebagai Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah, dia bertanggungjawab memberikan pandangan untuk kebaikan dan prestasi pelajar di sekolahnya. Yang terakhir, anakguam saya mengucapkan perkara tersebut demi kepentingan umum. Secara khususnya, perkara menutup aurat yang disentuh oleh anakguam saya adalah merupakan satu tanggungjawab seorang Muslim, tetapi wajib dipikul walaupun terpaksa menegur golongan tertentu yang begitu sinis terhadap agama Islam.

Peringatan anakguam saya juga dibuat dengan cara yang adil dan berpatutan dan dalam gaya yang konsisten dan munasabah sebagai ahli mesyuarat yang beretika. Peringatan anakguam saya adalah merupakan satu perkara yang serius dalam mengatasi masalah sosial yang semakin meruncing di kalangan murid-murid sekolah hari ini dan tidak berniat untuk digemparkan ( sensionalised ).

Secara ringkasnya, bicara kali ini sekadar ingin berkongsi kes ini dengan teman-teman semua dan merenung sejenak. Selebihnya, teman-teman semua fikirkanlah.. Apapun, selagi nyawa dikandung badan, selagi nadi masih berdenyut, saya akan pertahankan bapa pelajar ini dan bukan batang tubuhnya tetapi nilai yang terdapat dalam perkara ini.

Insya Allah, saya takkan berundur..

Thursday, January 15, 2009

Kenapa AUKU dibenci Mahasiswa?

Walaupun saya dah tinggalkan title mahasiswa beberapa tahun lalu, jiwa saya masih teringatkan kenangan bersama perjuangan mahasiswa dan kemahasiswaan. Apatah lagi saya pernah memimpin Persatuan Undang-Undang dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta pernah menganggotai Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Malaysia dan Badan Bertindak Mahasiswa Negara di peringkat nasional serta Persatuan Undang-Undang Asia Pasifik, isu AUKU seakan menjadi ratib bagi saya dan kawan-kawan. Saya tak dapat menipu diri saya, bahawa saya merindu zaman mahasiswa saya..
Apa yang salahnya AUKU?

Saya harap mahasiswa yang nak bercakap soal AUKU ni kena faham apa AUKU ini..Saya tak mungkin dapat jelaskan secara terperinci AUKU ini dalam ruang sedikit begini, tetapi cukuplah saya bagitahu bahawa hanya beberapa peruntukan AUKU yang menghambat kebebasan mahasiswa. Selebihnya AUKU adalah statut untuk menubuhkan sesebuah IPT ataupun Kolej Universiti yang terdiri dari peruntukan dari segi komposisi dan bidangkuasa pentadbir dan prosedur perjalanan sesebuah IPT.

1. AUKU tidak jadikan IPT hebat dan meningkat di ranking IPT dunia

Dengan beralasankan AUKU, pentadbir IPT memperkenalkan peraturan demi peraturan terutama berkait pemilihan kepimpinan Mahasiswa dengan cara yang amat buruk sama sekali. Peraturan yang dilihat menyebelahi calon-calon yang direstui oleh pentadbir dan pro parti kerajaan amat ketara sekali diperkenalkan. Di UIAM contohnya, sesi interview dengan pentadbiran mahupun ugutan oleh pentadbir untuk mengundi calon-calon di atas. Ia nyata bertentangan dengan spirit demokrasi di negara ini. Malahan bekas-bekas pemimpin pelajar digambarkan sebagai pengganas disebarkan oleh Biro Tatanegara seperti yang saya alami. Teringat kepada satu kes saya wakili dimana seorang mahasiswa UIAM mencabar peraturan pilihanraya di UIAM yang terlalu berat sebelah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Demokrasi universiti seolah-olah telah mati..

2. AUKU tidak meningkatkan partisipasi Mahasiswa dalam arus pentadbiran IPT

Peratusan pengundian terus jatuh setiap kali musim Pilihanraya Kampus (PRK) sehingga memaksa pentadbir IPT terpaksa menawarkan cabutan bertuah (lucky draw) kepada mahasiswa yang mengundi. Jelasnya AUKU tidak menggambarkan bahawa ia telah mempertingkatkan kesedaran berpolitik di kalangan mahasiswa. Saya nak tegaskan bahawa apa yang berlaku pentadbir IPT telah menerapkan budaya politik wang apabila terpaksa merasuah mahasiswa untuk mengundi seperti melalui cabutan bertuah tersebut.

3. Mahasiswa diberatkan dengan budaya persijilan dan bukan advokasi

Tidak saya nafikan bahawa pencapaian akademik adalah menjadi ukuran kejayaan seseorang di IPT. Tetapi yang menjadi satu 'petaka' adalah sijil ini menjadi terlalu utama sehingga yang lahir mahasiswa yang hebat atas kertas tetapi kosong skil, kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh pasaran masyarakat. Tak hairan produk yang lahir ini umpama ayam daging yang hari-hari diberikan makan dan menunggu masa untuk disembelih.

4. Pensyarah pun kena sekat jugak
Kerjaya pensyarah ni bukan macam pegawai Jabatan Kaji Cuaca. Budaya pemgembangan ilmu adalah perlu apatah lagi pensyarah ni memilik disiplin ilmu yang tinggi dan ketat. AUKU nyata menyekat pensyarah bercakap lebih dari bidangnya yang menyentuh soal politik apatah lagi menyinggung perasaan pemerintah. Golongan ini perlu diberikan kebebasan akademik dan autonomi universiti.

Hujah yang kerap kita dengar..

1. Kita kena belajar dulu dan habis baru masuk politik

Jangan sempitkan pemikiran bahawa politik mesti jadi Ketua Bahagian, YDP Kawasan, Setiausaha Cawangan dan lain-lain jawatan kepartian. Politik ertinya mengambil hirau apa yang berlaku di keliling kita tanpa ada halangan yang tidak wajar. Kadang-kadang ada dasar dan polisi kerajaan yang perlu disokong dan ada kalanya prinsip pembangkang yang ditolak mahasiswa. Kalau nak tunggu habis belajar baru nak fikir semua tu, kita tak perlu ambil pusing apa yang sedang berlaku di Palestin, cadangan pengurangan kuota bumiputera di sesetengah IPT!

2.Guna wang rakyat melalui biasiswa jadi tak perlulah berpolitik

Eleh..yang tak dapat biasiswa pun tak boleh politik..di luar negara lagi besar dapat biasiswa tapi boleh berpolitik..

Semua ini saya perjuangkan sewaktu di medan mahasiswa sehingga kini. Ketika berdebat mewakili sebuah parti politik Melayu Islam bersama dengan Dato' Mukhriz Mahathir yang sepatutnya hadir digantikan oleh Exco Pemuda UMNO Selangor dan YB Nik Nazmi dari PKR di UIAM baru-baru ini, saya menempelak Exco UMNO berkenaan bahawa akibat AUKU lah yang mendidik pemimpin UMNO di IPT dahulu menyebabkan ramai perasuah, kaki ampu, tukang kebas duit rakyat lahir hari ini sehingga parti tersebut semakin diragui. AUKU jugalah yang menyebabkan ramai pemimpin UMNO kini menghitung hari untuk dibicarakan mahupun yang telah disabitkan dengan pelbagai kes salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah di Mahkamah.

Saya teringat kata-kata Noam Chomsky dalam bukunya Chomsky on MisEducation (2000), daripada tersilap-didik (miseducate) mahasiswa sehingga demokrasi diberi makna songsang, iaitu keputusan dibuat oleh pihak atasan dan mahasiswa hanya mengangguk saja kerana universiti memaksa ketaatan, menghalang pemikiran bebas dan terlalu mengawal.

Adakah mahasiswa kita menuju ke situ?

Wednesday, January 14, 2009

Kebenaran Pindah Milik tanah di Pahang: Antara yang terlambat di dunia?


Waktu saya tulis artikel ni saya tengah pening kepala fikir pasal jual beli tanah, rumah kediaman dan bangunan yang saya uruskan. Semuanya melibatkan urusan pindah milik tanah yang mempunyai sekatan dari Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri (consent). Bagi yang biasa jual beli tanah mesti mengeluh. Lambatnya urusan pindah milik ini.

Untuk yang tak faham isu kali ni, biar saya terangkan sikit. Status tanah di Pahang ni ada beberapa kategori:
  • Tanah hak milik kekal pegangan bebas (Geran Mukim)-selama-lamanya dan tak perlu kelulusan Kerajaan untuk pindah milik

  • Tanah hak milik sementara (HSM,HSD) mempunyai sekatan dari Pihak Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian atau lain-lain agensi

  • Tanah Pajakan Mukim (PM)- selama 99 tahun dan mempunyai sekatan seperti item kedua

Item pertama, takde masalah sangat sebab kalau nak pindah milik ke nak gadai atau pajak tak payah pergi pejabat tanah. Tetapi yang menjadi isu adalah item kedua dan ketiga. Mesti mendapat kelulusan Kerajaan Negeri atau dalam bahawa kampungnya kelulusan Menteri Besar, memandangkan bidangkuasa tanah di bawah kuasa negeri. Proses kelulusan bermula dari pemohon memohon Kebenaran Pindah milik melalui Borang 20 Kaedah 57 Butiran 20, Kaedah-Kaedah Tanah Pahang 1992 dan diserahkan kepada Kerajaan Pahang melalui Pejabat Tanah dan Daerah. Kerajaan pula akan bersidang melalui mesyuarat Exco akan meluluskan permohonan-permohonan tersebut. Semudah itu!

Apa yang berlaku, apabila isu kelewatan ini berbangkit dan baru-baru ini kedengaran dari sidang DUN Negeri Pahang, Menteri Besar menunding jari menyalahkan kakitangan kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan juga pejabat tanah dan daerah-daerah negeri Pahang melengah-lengahkan permohonan untuk di serahkan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang (AMK). Kakitangan kerajaan ini pula menyalahkan kerajaan kerana lambat meluluskan permohonan tersebut.

Kesannya? Rakyat tersepit!

Di ruang terhad ini saya nak cadangkan beberapa perkara:

  • Pindahkan (delegate) kuasa meluluskan permohonan kebenaran pindah milik kepada sama ada Pengarah PTG ataupun Pegawai Daerah sebagaimana dilaksanakan di beberapa buah negeri, dimana permohonan tak perlu tunggu mesyuarat exco
  • Pengecualian terhadap faedah yang terpaksa ditanggung oleh pemohon yang membuat pinjaman pembiayaan hartanah yang disebabkan kelewatan kelulusan kebenaran pindah milik
  • Anugerah dan tukar segera status tanah dari hakmilik sementara dan pajakan mukim kepada pegangan selama-lamanya dimana tiada kelulusan pindah milik diperlukan, sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan Perak dan Kelantan. sekiranya timbul isu menjual tanah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab, gubal kuasa Menteri Besar sekiranya terbukti benar urusniaga tersebut, Menteri Besar berkuasa untuk membatalkan urusan pindah milik kepada pihak tidak bertanggungjawab tersebut. Kerajaan Negeri akan dihormati dan dihargai, semua pihak tidak terbeban

Ingatlah..isu tanah ini tidak perlu dipolitikkan. Apa yang penting semua pihak senang berurusan dan urusniaga dapat disempurnakan sebaiknya. Saya percaya hampir semua peguam hartanah boleh bersetuju dengan saya. Penat..Pelanggan asyik nak cepat..

Kita tidak mahu kebenaran pindah milik tanah rakyat yang hanya sekangkang kera ini terlalu sukar, tetapi tanah rakyat beribu ekar terlalu mudah diserahkan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Monday, January 12, 2009

Ayam tak disembelih: Pernah termakan?




Saya dah tak ingat bila, tapi sekitar awal tahun lepas, bos saya Encik Khairudin bagitau ada satu klien kes pembelian rumah ada masalah bila dia beli dan nak memasak ayam. Klien ni bukan sembarangan, Ketua Penolong Pengarah di DBKL tak silap saya. Saya ambil kes tersebut. Dia membeli ayam selasih (black chicken) 3 ekor di sebuah pasaraya utama negara kita dan sewaktu ingin membersihkan ayam tersebut bagi memasaknya, dia mendapati leher salah seekor ayam tersebut meragukan apabila hanya sedikit kesan dipotong dan urat tidak putus.

Untuk kesahihan lagi, saya bawa ayam tersebut ke Unit Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk diperiksa.Setelah diambil gambar dan diperiksa oleh kakitangan JAKIM, seekor ayam tersebut disahkan tidak disembelih sempurna dan haram dimakan oleh orang Islam. Saya pohon supaya surat rasmi pengesahan dikeluarkan, tetapi JAKIM enggan keluarkan.Saya dan anakguam saya cukup marah dan berulang kali menegaskan bahawa ini adalah tanggungjawab JAKIM dan kami untuk menyedarkan masyarakat. Saya tegaskan bahawa tanggungjawab agama lebih utama dari tanggungjawab politik.Sikap JAKIM amat memualkan saya.
Saya tak puas hati dan minta anakguam saya bawa ayam tersebut pergi ke Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPUM).Dr Maamor mengesahkan ayam tersebut haram dimakan beserta dengan surat perakuan.

Saya kemudiannya, telefon Dato' Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria dan maklumkan perkara tersebut dan saya pohon kerjasama beliau untuk sahkan ayam tersebut. Beliau berjanji akan menolong saya tetapi melalui Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato' Jamry Sury kerana beliau akan berangkat ke Argentina. Saya bercakap dengan Dato' Jamry dan beliau bersetuju menemui saya keesokan harinya. Saya dan Ust Yohanis (Pegawai Tadbir MK Othman & Co) ke Ipoh dan disambut mesra oleh Pegawai Bahagian Hub Halal JAIP. Setelah diperiksa, disiasat dan diambil gambar, pihak JAIP telah mengeluarkan surat perakuan bahawa ayam tersebut tidak disembelih dan haram dimakan oleh orang Islam. Kami turut diberikan taklimat dan risalah sembelihan binatang yang sebenar. Kami berbangga dengan JAIP. Inilah contoh sikap sebuah institusi yang menjaga agama.
Setelah menimbangkan akhirnya, pihak anakguam saya mengambil keputusan memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Pengeluar, Pengedar dan Pasaraya sebagai Defendan-Defendan atas dasar memelihara iman orang Islam negara ini dan tanggungjawab kifayah terhadap agama. Malangnya, anakguam saya pula disaman oleh Pengedar dan Pengeluar kerana dikatakan memfitnah mereka. Inilah yang dihadapi kerana membela agama. Kes ini sedang dibicarakan di Mahkamah. Doakan kami..

Saudara sekelian, berhati-hatilah ketika membeli ayam di pasaraya. Sebaiknya belilah ayam yang disembelih secara terbuka seperti di pasar basah.

Sunday, January 11, 2009

Kisah jadi penjamin pinjaman..


KES 1

Ada seorang pegawai sebuah syarikat swasta berpengkalan di Paka, Terengganu baru-baru ini terkejut bila diserahkan oleh seorang despatch sesalinan Saman Penghutang Penghakiman (Judgment Debtor Summon) mengarahkan dia membayar sejumlah RM17,000.00 hutang kereta sebab penjamin kereta lari sekitar tahun 1998.

Samy Vellu (bukan nama sebenar),tak pernah berhutang dengan mana-mana pihak bank mahupun menjadi penjamin kepada mana-mana pihak. Beliau jumpa saya dan saya arahkan buat laporan polis. Langkah seterusnya saya nasihatkan supaya failkan permohonan menangguhkan tindakan arahan bayar dan dalam masa sama failkan permohonan mengenepikan perintah tahun 1998 tersebut. Mahkamah membenarkan permohonan mengenepikan Perintah 1998 dan mengarahkan satu perbicaraan baru dimulakan (fresh trial).


Di Mahkamah, saya mengemukakan sampel tandatangan, alamat dahulu dan terkini serta beberapa bil-bil utiliti Samy.Saya berhujah bahawa Mahkamah boleh melalui Seksyen 73 (2) Akta Keterangan untuk membuat perbandingan tandatangan di dalam dokumen pinjaman sama atau tidak dengan tandatangan sebenar seseorang. Mahkamah bersetuju dan membebaskan Samy dari bebanan hutang dan mengesahkan bahawa peminjam telah menipu dengan cara memalsukan tandatangan Samy sebagai penjamin.

KES 2

Ini kisah doktor beristeri 2.Ali Rustam (bukan nama sebenar) seorang doktor Homeopati berpengakalan di utara tanahair mempunyai Kad Kredit dan 'supplematary card' diberikan kepada isteri kedua beliau.Isteri kedua beliau jadi macam penjamin la kepada kad kredit dia. Lalu Encik Ali ni gunalah kad kredit tu (sekadar untuk 'test') di pam minyak sebanyak RM400 (beberapa kali). Kemudian beliau tak berminat dan hantar balik kad tersebut untuk dibatalkan. Malangnya 'interest' masih berjalan dan kad tidak dibatalkan sehingga doktor tu disaman pihak bank bersama isteri sebagai penjamin. Pegawai bank kemudiannya meminta pembayaran hutang dari isteri pertama beliau.Bank kemudian bertindak menyita rumah doktor tu..

Saya failkan permohonan ketepikan perintah Mahkamah dan proses sitaan tersebut.Saya berhujah berdasarkan posisis undang-undang Common Law bahawa sekiranya tuntutan hutang di dalam sesuatu perintah Mahkamah, dibuat kepada selain dari orang yang berhutang, maka orang berhutang tiada obligasi membayarnya lagi seperti dalam kes Chinn Swee Onn v Puchong Realty Sdn Bhd [1990] 1 MLJ 108 dan ditegaskan dalam Seksyen 42 Akta Kontrak 1950. Mahkamah bersetuju dan bebaskan doktor dan isterinya dari bebanan hutang.

Saya mengambil keputusan, oleh kerana tindakan menyita rumah doktor tersebut adalah memalukan, maka saya nasihati doktor tersebut failkan saman malu terhadap bank tersebut. Kes tersebut saya menang dan mahkamah Majistret Kuala Lumpur arahkan bank berkenaan bayar RM20,000.00 kepada anakguam saya.

MORALNYA..

Nak beli kereta memang best tapi jangan terperangkap dengan helah bahawa pinjaman mudah lulus tanpa dokumen dan tandatangan di atas dokumen pinjaman. Kadang-kadang apply pagi,petang lulus.Tak payah sign dokumen.Kadang-kadang lebih teruk pihak institusi kewangan ni adalah yang main letak je sesiapa sebagai penjamin.

Bagi urusan pembelian kereta (istilah betul: "sewa beli kenderaan"), ingatlah bahawa Akta Sewa Beli 1967 sedikit sebanyak memberikan perlindungan kepada penjamin. Seksyen 4B contohnya, dokumen perjanjian mestilah ditandatangani. Seksyen 5: dokumen perjanjian mestilah diserahkan kepada peminjam dan penjamin. Seksyen 20A: Keperluan kepada penjamin.Kegagalan mematuhi perkara-perkara ini boleh mengakibatkan perjanjian sewa beli terbatal dan tiada kesan di sisi undang-undang.

Ingatlah..kita mungkin bergembira berkereta baru atau mendapat wang pinjaman hari ini, tetapi jangan biarkan kita papa di kemudian hari.

ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!!

Saturday, January 3, 2009

Undang-undang manusia buat


Baru-baru ini saya mewakili seorang peneroka di sebuah FELDA di Pantai Timur yang dituduh mencabul kehormatan seorang wanita di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Di akhir perbicaraan tersebut, Hakim mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan anakguam saya dibebaskan tanpa perlu membela diri.


Dalam kes tersebut saya berhujah bahawa tindakan mangsa yang tidak menjerit, tidak melawan dan tidak pasti apakah tindakan tertuduh yang dikatakan mencabul beliau, sedangkan Seksyen 354 tersebut memerlukan elemen paksaan dan di luar kerelaan dalam perlakuan cabul itu. Saya percaya mangsa dan anakguam saya 'melakukannya' secara suka sama suka. Hujah saya ini tidak dicabar langsung oleh pihak pendakwaan yang membawa kepada pembebasan anakguam saya.

Apa yang nak saya bawakan kat sini adalah inilah kelemahan undang-undang yang manusia buat. Dalam kes tersebut, saya nasihatkan keluarga mangsa supaya bawa kes tersebut ke Mahkamah Syariah memandangkan perlakuan perbuatan dengan rela ini tiada dalam peruntukan sivil negara ini. Saya menyatakan bahawa kebarangkalian beliau gagal dalam kes tersebut adalah tinggi kerana alasan di atas. Di Mahkamah Syariah, anakguam saya mungkin boleh didakwa dengan tuduhan khalwat, mukaddimah zina dan sebagainya. Beliau enggan dan bersedia hadapi apa sahaja.

Undang-undang seksual dalam bidangkuasa sivil ini meniadakan unsur kerelaan. Ertinya kesalahan zina, khalwat serta hubungan seks sukarela tiada dalam Kanun Keseksaan. Beerti sekiranya tertuduh berjaya membuktikan elemen rela, maka akan bebaslah tertuduh sedangkan mangsa menanggung derita dan malu. Saya berhujah dalam kes ini, bahawa apa yang sedang saya bela bukanlah jenayah anakguam saya, tetapi pendakwaan yang salah terhadap anakguam saya iaitu kesalahan cabul sedangkan beliau melakukan perbuatan suka sama suka yang tiada dalam undang-undang jenayah negara ini. Mahkamah harus bebaskan anakguam saya dan dakwa mengikut perundangan Islam dan korum yang sesuai. Mahkamah bersetuju dengan saya dan bebaskan anakguam saya.

Mana keadilan bagi mangsa?Dimana maruah mangsa hendak disembunyi akibat undang-undang manusia ini sekiranya tertuduh dibebaskan?Undang-undang Islam yang menekan beban pembuktian secara melampaui apa-apa keraguan (shadow of doubt) mengiktiraf zina iaitu hubungan seks luar nikah. Zina dalam Islam adalah perbuatan sukarela. Pendakwaan akan dibuat bagi lelaki dan wanita beerti kedua-dua berhadapan hukuman.Manakala dalam undang-undang sivil hanya mengiktiraf perbuatan seks secara paksaan. Kredit yang amat tinggi diberikan kepada tertuduh.

Oleh yang demikian, di ruang ringkas ini, dapatkah kita berfikir dimana kebaikan undang-undang yang manusia macam kita buat?

Friday, January 2, 2009

Rumah Murah: antara tanggungjawab dan keuntungan

Di kebanyakan negara di dunia berstatus membangun dan maju, menjadikan pembinaan rumah untuk rakyat yang kurang berkemampuan sebagai agenda utama pembangunannya. Tanggungjawab sosial ini perlu didokong secara konsisten bagi menjamin rakyat mendapat pembelaan dan sesebuah kerajaan itu akan dihargai.

Walabagaimanapun, suasana ini agak berbeza dengan kerajaan Pahang. Projek Perumahan Awam Kos Rendah dan Perumahan Mesra Rakyat (PAKR) yang dahulunya, pembiayaan balik dibuat terus kepada kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Pahang, kini pemohon-pemohon perlu mendapatkan pinjaman kewangan dari institusi kewangan dan bank-bank.
Apa masalahnya pembiayaan dengan pihak bank? Sebagai pemohon PAKR sudah tentulah mereka yang berpendapatan rendah dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Mereka ini sudah tentu terdiri dari pertani, nelayan dan perternak serta lain-lain pekerjaan ang tiada penyata gaji. Adakah mereka ini akan dipertimbangkan untuk pinjaman bank tersebut? Fikirlah..

Hujah saya ini mungkin akan disangkal apabila Kerajaan Pahang kini telah perkenalkan skim pembiayaan rumah murah yang dikatakan mesra pemohon rumah murah dimana dalam keadaan tertentu pemohon tanpa penyata gaji dikecualikan bagi tujuan permohonan pinjaman. Maka berduyun-duyun pemohon PAKR yang telah diundi kedudukan rumah mereka, menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan dikenakan sejumlah bayaran tanpa mengetahui apakah pinjaman mereka diluluskan atau tidak. Apabila mereka ke institusi kewangan dan bank, permohonan mereka ditolak atas alasan dokumen tidak mencukupi (tiada slip gaji atau gaji yang tidak cukup membiayai pinjaman) walau secara janjinya, permohonan mereka diluluskan melalui skim kerajaan di atas. Ini hakikat yang berlaku kepada pemohon PAKR di Pahang.

Saya percaya alasan Kerajaan Pahang tidak berminat membiayai rumah rakyat adalah kerana terpaksa menanggung kerugian akibat keengganan pembeli PAKR sedia ada membuat bayaran. Saya tidak menafikan golongan ini perlu bertanggungjawab membayar hutang kerajaan tersebut. Tetapi tindakan menghukum dan membebankan pembeli baru di atas kesalahan pembeli dahulu adalah tidak adil. Saranan saya, hukum sahaja pembeli dahulu dengan macam proses perundangan yang ada.

Pembeli baru PAKR ini kebanyakannya adalah pemohon muda yang baru memulakan hidup dan mereka yang tiada kediaman. Umum maklum, bahawa tindakan mengarahkan pembiayaan bank oleh Kerajaan Pahang untuk membeli PAKR bukan sahaja menggagalkan golongan kurang berkemampuan memiliki rumah tetapi juga membebankan apabila terpaksa membayar balik harga PAKR beserta faedah yang tinggi. Pembeli juga berhadapan tindakan bankrapsi sekiranya tidak berupaya membayar balik dalam jumlah yang tinggi tersebut.Itu belum dikira segelintir panel guaman yang memohon agar yuran guaman PAKR dinaikkan.

Akhirnya, rakyatkah bermanfaat?