Wednesday, March 25, 2009

Politik Wang & Rasuah: Umpama Khinzir & Babi?


Isu politik wang dalam pemilihan UMNO baru-baru ini mengundang polemik yang bukan sedikit di negara kita. Selain melibatkan perspektif sosial dan pembentukan masyarakat sivil di negara ini, implikasinya juga turut menyentuh isu perundangan yang amat serius. Masyarakat kita terkeliru apakah politik wang itu merupakan suatu jenayah di sisi undang-undang negara ini atau ianya hanyalah satu prosedur biasa tatatertib atau hasil inkuiri dalaman sesebuah parti yang bersifat immune (kebal) dari tindakan pendakwaan Mahkamah awam negara kita?


Di negara kita, jenayah rasuah tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (selepas ini dirujuk Akta SPRM) yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini hasil rejuvenasi Akta Pencegahan Rasuah 1961. Pentafsiran konotasi Rasuah adalah jelas dan teratur di sini. Seksyen 16 hingga 28 dalam Akta SPRM tersebut memperuntukkan dengan jelas pengertian jenayah yang boleh dikategori dan didakwa. Ianya meliputi suapan,sogokan mahupun menggunakan kedudukan bagi tujuan rasuah adalah jelas satu kesalahan yang boleh dihukum dengan pelbagai hukuman termaktub di situ juga.


Manakala mekanisma pendakwaan dibawah Akta SPRM pula adalah seperti biasa iaitu bermula dari laporan pengadu (First Information Report), disiasat kemudian diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh seperti terkandung dalam Seksyen 59 Akta SPRM tersebut. Seksyen 29 hingga 49 pula adalah jelas suatu kaedah jelas bagaimana sisatan boleh dibuat. Walaupun saya kurang bersetuju dengan sesetengah kaedah di situ seperti peguambela tertuduh perlu mendedahkan maklumat di peringkat siasatan bukan di peringkat perbicaraan seolah-olah menepis beban pembuktian (burden of proof) yang harus dipikul oleh pendakwaan seperti kebiasaannya, tetapi bagi saya tatacara siasatan ini paling kurang bersungguh-sungguh inginkan siasatan yang agak dalam dan menyeluruh.


Namun isu yang ingin saya bawa hari ini, pertama apakah pengertian rasuah di dalam Akta SPRM ini meliputi seluruh badan, institusi dan setiap inci negara ini? Atau sekiranya ada badan lain yang boleh menghakimi jenayah rasuah ini yang hanya berlaku dalam kelompok kecil mereka sendiri seperti sekiranya jenayah rasuah yang berlaku dalam sesebuah parti maka SPRM tiada kuasa menyiasat? Sekiranya jawapannya adalah ya, apa autoriti dan apa pula keistimewaan badan tersebut sehingga tidak mampu disentuh SPRM?


Isu ini berat dan perlu perhatian serius badan kehakiman, institusi eksekutif mahupun Parlimen itu sendiri. Hujah saya? Terdapat pendakwaan terhadap beberapa individu dalam jenayah rasuah seperti Dato' Norza Zakaria, di Mahkamah Sivil negara kita. Bandingkan pula jenayah yang sama tetapi hanya diambil tindakan dalaman Lembaga Disiplin UMNO seperti terhadap Dato Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin. Untuk rekod, Mohd Ali dan Khairy didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Perkara 10.1 itu berbunyi: Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah mana-mana melanggar peruntukan Tataetika Ahli Umno, maka Lembaga Disiplin bolehlah menganggap, setelah berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.


Manakala Norza pula dituduh melakukan dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, iaitu kesalahan memberikan 2 suapan bernilai masing-masing RM1900.00 dan RM1500.00 bagi memenangi jawatan MT UMNO yang ditandinginya. Kedua-dua kesalahan yang dilakukan Mohd Ali dan Khairy dengan Norza adalah termasuk dalam Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM. Iaitu melibatkan ejen dan prinsipal yang mana apabaila ejen mereka melakukan jenayah rasuah maka prinsipalnya dianggap melakukan perkara sama.


Secara perundangannya, kedua-dua kesalahan tersebut perlu dibawa ke Mahkamah terbuka dan dibicarakan melalui bidangkuasa Akta SPRM. Walaupun sabitan oleh Lembaga Disiplin UMNO yang diilihat sebagai forum inkuiri dalaman yang menghukum jenayah rasuah dalaman UMNO, hakikatnya Norza juga ahli UMNO yang tertakluk kepada Lembaga Disiplin UMNO. Kenapa ianya tidak berlaku kepada Norza?



Parti politik oposisi seperti PAS dan PKR kemudiannya membuat beberapa Laporan kepada SPRM dan juga kepada Polis berhubung dengan sabitan oleh Lembaga Disiplin. Sama ada ia bersifat mengaut keuntungan politik atau sebaliknya, namun pada hemat saya ia harus dianalisa secara saintifik keperundangan. Apa yang dipohon oleh barisan oposisi ini saya percaya adalah satu pendakwaan dibuat terhadap kesalahan yang disabitkan oleh Lembaga Disiplin UMNO terhadap pesalah-pesalah terbabit di Mahkamah terbuka di negara kita sebagaimana terhadap Norza. Apakah apabila Lembaga Disiplin UMNO telah mensabitkan kesalahan rasuah yang dilakukan, maka ia tidak lagi menjadi kesalahan jenayah yang mesti dihukum di Mahkamah?



Ketika mengiringi Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Tuan Haji Syed Abd Rahman membuat Laporan ke SPRM baru-baru ini, suasana agak kecoh pada awalnya, apabila pegawai penerima aduan SPRM enggan menerima laporan yang dibuat wakil PAS Pahang berkenaan. Walaupun berkali-kali Dato' Tuan Ibrahim menerangkan bahawa laporan adalah bagi tujuan mendesak satu siasatan dibuat lantaran keputusan Lembaga Disiplin UMNO tersebut, pegawai SPRM menyatakan bahawa PAS tiada maklumat berhubung jenayah rasuah dalam UMNO, maka PAS tidak boleh membuat laporan. Saya kemudiannya menerangkan kepada pegawai berkenaan bahawa tujuan PAS buat laporan adalah memohon satu pendakwaan (charge) dibuat kepada pesalah-pesalah yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO. Saya turut menerangkan bahawa bukti rasuah tersebut harus diperolehi dari Lembaga Disiplin UMNO. Ia bukanlah semata-mata laporan siasatan tetapi lebih mirip kepada tindakan "conversion" dari tindakan pensabitan Lembaga Disiplin kepada pendakwaan di Mahkamah terbuka.

Saya memetik Seksyen 29(1) Akta SPRM tersebut hanya menjelaskan bahawa tiap-tiap aduan yang berhubungan dengan perlakuan rasuah di dalam Akta SPRM boleh dibuat secara lisan atau bertulis. Ia langsung tidak menyebut sama ada ia perlu dibuat oleh orang yang terlibat secara langsung di dalam perlakuan jenayah rasuah tersebut atau tidak. Jadi, sesiapa pun termasuk PAS layak membuat aduan. Setelah saya berhujah begitu, barulah pegawai tersebut kelihatan agak serba salah dan memohon keizinan bertemu Pengarah SPRM Pahang. Akhirnya beliau membenarkan PAS Pahang membuat laporan rasmi terhadap pesalah-pesalah UMNO. Saya tidak meragui secara teoritikalnya peranan SPRM dalam menyiasat laporan PAS tersebut. Tetapi indikasi realitinya sama-sama lah kita saksikannya. Janganlah jadi seperti nasib Laporan BPR terhadap Menteri Besar Pahang oleh syarikat Seruan Gemilang Makmur berhubung penyelewengan kawasan balak, yang masih menjadi tanda tanya yang penuh misteri..



Apa yang nak saya utarakan kali ini, adalah betapa perlunya masyarakat kita membenci rasuah sebagi satu jenayah berat yang perlu dielakkan oleh semua. Apapun 'tagline' yang digunakan bagi menggambarkan jenayah ini termasuklah "suapan","sogokan", "habuan", "rasuah politik" ataupun "politik wang", ianya tetap satu kudis bernanah yang bersifat menjahanamkan agama, bangsa dan negara. Justeru, janganlah kita cuba untuk melabelkan status kurang haramnya dengan label-label tersebut, kerana rakyat hari ini tahu persamaannya antara khinzir dan babi..dan yang paling bahaya, janganlah kita ditertawakan spesis ini..

1 comment:

  1. InsyaALLAH, smoga usaha tuan ni menghasilkan tuaian yang baik.....

    ` perasuah & pemberi rasuah, neraka tempatnya`..

    ReplyDelete