Tuesday, October 13, 2009

Kerajaan PR perlukan "Ombudsman"


Walaupun ianya bukanlah "sole factor" kekalahan calon PR dalam Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang baru-baru ini, percanggahan pendapat secara terbuka beberapa pimpinan PR terutama melibatkan PAS dan DAP di Selangor seharusnya dipandang serius sebagai sebagai faktor penyumbang kekalahan. Impak ini seharusnya menjadi pertimbangan pemimpin-pemimpin PR lebih dari permainan politik "kurang cerdik" sesetengah mereka ini yang sebenarnya bakal mengakibatkan rakyat meluat dan bosan akhirnya. Jawapan biasa yang keluar dari mereka adalah semuanya adalah manipulasi media pemerintah, walaupun ianya benar berlaku.

Sebelum rakyat mula membenci PR sebagaimana kebencian pengundi di Jepun pada Parti LDP ataupun kebangkitan rakyat menentang Parti Golkar di Indonesia ataupun sekurang-kurangnya seperti tsunami yang menenggelamkan BN dalam pilihanraya lalu, Pakatan Rakyat harus mencari penawarnya.

Percanggahan pendapat adalah lumrah, tetapi apabila ia menerbitkan buah kebencian, curiga, amarah, dan hilangnya kepercayaan maka ia bukanlah boleh lagi dianggap sebagai gabungan politik yang kolektif dan efektif. Sudah sampai masanya PR menunjukkan suatu indeks pentadbiran yang benar-benar kalau bukan sepenuhnya berkesan pun, ianya haruslah lebih baik dari BN.

Penubuhan Ombudsman mampu menjadi penawar kemelut ini. Ombudsman dalam istilahnya adalah is a person who acts as a trusted intermediary between an organization and some internal or external constituency while representing the broad scope of constituent interests iaitu penubuhan suatu pihak yang dipercayai yang menjadi mediator (orang tengah) dalam sesuatu perkara. Ia dipraktikkan di kebanyakan negara Eropah seperti Britain, Hungary, Estonia dan Finland. Negara kita juga pernah dicadangkan dan dibahaskan di Parlimen Malaysia tetapi malangnya ia ditolak walaupun terdapat desakan dari Amnesty International Malaysia untuk diwujudkan Ombudsman khas menangani isu keganasan Polis di Malaysia.
Ringkasnya, Ombudsman bolehlah dianggap sebagai sebuah jabatan khusus penilai tahap transparensi dan juga bertindak sebagai mediator penyelesaian dengan penyertaan mewakili entiti setiap pihak.

Dalam Islam juga terdapat sebuah jawatankuasa selian penambahabaikan. Di dalam kitab ’Muhadarah Fi Nizam Al-Qada’ Fi Al-Islam menjelaskan hisbah bermakna ihtisab iaitu meneliti, mentadbir, melihat, mencegah atau menahan seperti mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran atau mendapat balasan seperti seseorang melakukan kebaikan untuk mendapat balasan daripada Allah. Manakala al-Mawardi dalam kitab beliau yang terkenal al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan hisbah ialah melaksanakan tugas keagamaan iaitu menyeru melakukan ma’aruf (kebaikan) yang jelas jika ternyata meninggalkan dan mencegah melakukan kemungkaran yang jelas jika ternyata dilakukan.

Sejarah perkembangan Hisbah juga dikatakan bermula pada zaman Rasulullah. Baginda telah melantik Sa’id bin Sa’id bin al-’As sebagai penyelia pasar di kota Mekah, sementara di kota Madinah pula beliau telah melantik Saidina Umar al-Khatab sebagai penyelianya.

Artikel ini tidak berniat untuk membiacarakan secara akademik prinsip-prinsip "administrative law" di sini. Cuma cadangan awal ini akan membuka lebih ruang diskusi yang akhirnya akan dilaksanakan sistem keadilan yang disukai dan diharapkan rakyat.

Kedua-dua konsep ini walaupun secara signifikan nya tidak dilaksanakan di negara kita terhadap bidang-bidang strategik tetapi di dalam aspek pentadbiran negara, kedua-dua konsep ini seharusnya diamalkan. Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Najib, cuba mewujudkan portfolio Petunjuk Pestasi Utama (KPI) di dalam kabinet seharusnya mendapat sedikit kepujian. Walaubagaimanapun, ia hanya terhenti kepada aspek penilaian tanpa merujuk kepada bidangkuasa menegur, membetul mahupun mendakwa penyelewengan pentadbiran.

Untuk rekod, Kerajaan PAS Terengganu ketika menjadi pemerintah di sana pasca pilihanraya tahun 1999 menubuhkan Jawatankuasa Hisbah dilihat lebih mirip kepada konsep Hisbah dan Ombudsman yang sebenar. Jawatankuasa ini bertindak bukan sahaja menilai tetapi berhak membuat apa-apa jua tindakan koreksi dengan menggunakan segala instrumen kerajaan yang ada. Salah laku mana-mana pihak, pasti mendapat imbalan setimpal.

Oleh yang demikian, Hisbah ataupun sekurang-kurangya Ombudsman ini dicadangkan dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat memandangkan pelbagai isu yang berbangkit mutakhir ini. Pertikaian pentadbiran antara komponen PR lebih mudah diselesaikan melalui jawatankuasa dalaman ini dari diselesaikan melalui media yang amat terdedah kepada manipulasi. Komposisi jawatankuasa pula boleh divariasikan melalui keanggotaan pelbagai lapisan disiplin ilmu disamping ahli yang mewakili anggota komponen PR. Kombinasi intelek, politik dan neutral ini, adalah amat diyakini ia akan menjadi titik penyelesai isu-isu dasar mahupun perkara-perkara ranting yang tidak harus dibawa keluar dewan mesyuarat.

Iltizam ini perlu ada pada setiap pimpinan PR kerana tsunami rakyat 2008 adalah ingin melihat corak dan gelombang baru dinamisma kerajaan yang mengutamakan rakyat. Jangan pula kita lihat BN yang berubah tapi PR yang mengambil tempat BN sebagai kerajaan di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang mengekalkan budaya hodoh ciptaan BN.

3 comments: