Wednesday, December 23, 2009

Bakal Raja Lawak Musim 4 dari Pahang!!

Isu penerokaan dan pencerobohan hutan secara haram melibatkan orang politik tidak langsung menggemparkan. Bukan apa, ia berlaku di Pahang! Berbeza kalau ia berlaku di negeri-negeri lain walaupun negeri diperintah Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Sekiranya isu ini berlaku, pasti kecoh dan rakyat akan bercakap di sana sini. Rakyat di sana mahu hidup yang lebih baik dan sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat. Tapi rakyat Pahang hatinya "mulia". Mulia dan Pemaaf..


Kebanyakan pemimpin politik terutama PAS dan PKR seperti Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang bingkas bersuara mendesak agar nama penceroboh tersebut didedahkan setelah ia isu ini diletupkan oleh seorang Exco Kanan Kerajaan Pahang, Dato' Tan Aminuddin baru-baru ini. Saya memuji sikap tanggungjawab para pemimpin PR ini.

Namun apa yang boleh saya katakan, isu yang dikatakan besar ini bukanlah perkara luar biasa di Pahang. Sebelum ini pun macam-macam berlaku sehingga kerajaan Pahang nyaris disita dan berstatus bankrap kini. Bermula laporan audit yang mendedahkan salah urus khazanah negeri hingga kepada kelemahan kerajaan negeri dan karektor korup dan "criminal" walaupun tidak didakwa sesetengah pemimpin, menceritakan apa yang sedang berlaku di Pahang.

Pada hemat saya, tak perlulah Dato" Tuan Ibrahim bersusah payah nak minta didedahkan ataupun laporan SPRM atau Laporan Polis dibuat. Buat penat dan habiskan minyak petrol kereta sahaja. Bagi saya siri-siri pendedahan kelemahan kerajaan negeri tidak lebih dari Episod Mingguan Rancangan Raja Lawak. Tak payah lah kita meraung menjerit kerana cerita adalah cerita lawak. Tak payahlah kita memohon simpati pihak Polis atau SPRM kerana mereka tak lebih dari juri-juri yang terdiri dari para pelawak juga. Juri-juri memang juri professional, tapi mereka tetap seorang pelawak. Selama ini pun kita banyak mengadu kepada mereka..Tapi...

Rakyat Pahang janganlah jadi seperti penonton Raja Lawak yang sentiasa tergelak dan leka bila melihat rancangan tersebut. Kerana biasanya cerita pelawak tersebut hanyalah rekaan ataupun ditokok tambah. Rakyat Pahang kena bangun. Rasanya kerajaan Pahang dah lama melawak..Jangan nanti pelawak-pelawak ni berak atas kepala kita baru kita sedar..Rasa-rasanya Pahang ramai calon-calon Raja Lawak musim 4!

Monday, December 14, 2009

Sikap sebenar Kerajaan Barisan Nasional Pahang


Kalaulah professionalisme diambil kira sebagai indeks penilaian KPI negara, Pahang boleh dianggap mempunyai indeks terburuk. Masakan tidak, penyelewengan kewangan negeri sehingga mencapai defisit 12 tahun lamanya, kerugian anak syarikat kerajaan, menghadapi pelbagai saman di segenap penjuru akibat penyalagunaan kuasa, penghakisan satu demi satu sumber bumi hinggalah kemusnahan ekosistem akibat pembalakan dan penerokaan tanah-tanah rakyat atas nama pembangunan bukanlah rahsia lagi. Bezanya rakyat Pahang merelakannya..

Justeru, pelbagai pihak mengecam termasuklah ahli politik dan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat. Namun apa yang saya nak bawakan hari ini adalah sikap "desperate" dan "kerimbaan" yang dianuti para pemimpin BN Pahang.

Sebagai peguam, saya mengamalkan professionalisme dalam tugas, dimana siapa sahaja yang datang menemui saya, akan dilayan dan seterusnya berdasarkan masalah yang diadukan, saya akan bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Kadangkala pihak yang saya wakili mempunyai masalah dengan pihak swasta tetapi kadang-kadang dengan pihak kerajaan. Oleh itu, sepanjang saya menjadi pengamal undang-undang saya banyak memfailkan saman terhadap banyak pihak dan tidak terkecuali pihak kerajaan.
Ini saya lakukan sewaktu saya menjadi Peguambela dan Peguamcara di Kuala Lumpur dan Selangor. Ada kes saya menang, ada kes saya kalah. Ada kes "settle" luar Mahkamah. Ini amalan biasa dunia guaman. Masih ingat sewaktu saya memfailkan saman kepada kerajaan Malaysia dalam kes mangsa rogol jurulatih PLKN, kecuaian Kem PLKN di Kemaman, kecuaian Hospital Kajang, membantu peguam Hanipa Maidin mewakili Dato' Seri Nizar mencabar Pengajaran Sains dan Matematik dan kes terhadap Kementerian Pendidikan berhubung pembuangan sekolah kerana pakai serban, semuanya dijawab oleh pihak kerajaan secara "gentleman" di Mahkamah. saya terima hakikat kalau saya kalah.

Namun saya ada pengalaman baru apabila saya menjadi peguam di Pahang. Saya menyewa sebuah bangunan milik sebuah agensi Kerajaan Pusat melalui suatu proses temuduga. Saya membayar sewa tanpa gagal dan menandatangani perjanjian sewa selama 3 tahun. Malangnya, belum pun tamat tempoh sewaan, saya dimaklumkan oleh seorang pegawai agensi kerajaan pusat tersebut bahawa kerajaan Pahang mengarahkan mereka agar menamatkan penyewaan saya atas dasar saya pembangkang kerana pernah bertanding atas tiket PAS disamping sering mewakili penduduk Pahang memfailkan Saman terhadap UMNO dan kerajaan Pahang.
Saya tau ia merujuk kepada tindakan saya mewakili Syarikat Seruan Gemilang Makmur bersama-sama beberapa peguam lain melawan kerajaan Pahang sehingga kerajaan Pahang terpaksa bayar RM60 juta. Saya juga mewakili 13 penduduk Rompin menyaman sebuah anak syarikat kerajaan Pahang kerana lambat serahkan rumah yang dibeli penduduk berkenaan. Saya juga pernah mewakili seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Pahang (Imam) menyaman Setiausaha UMNO Jerantut. Saya juga mewakili Ketua UMNO Bahagian Rompin menyaman Dato' Jamaluddin Jarjis (sekarang duta besar Malaysia ke US), malahan banyak lagi kes kini menunggu senarai untuk difailkan di Mahkamah. Mereka maklum saya sering mengkritik secara terbuka dasar tanah kerajaan. Semuanya pasti menjadi rekod kerajaan BN Pahang.

Saya ingin berkongsi di sini bahawa tindakan mengarahkan ditamatkan tidak lebih dari:

1) Kerajaan BN Pahang ingin menutup ruang kelemahan pentadbiran dari dibuktikan di Mahkamah;
2) Campurtangan kerajaan negeri terhadap agensi pusat membuktikan kerajaan Pahang tidak memahami konsep federalisme;
3) Ugutan tidak langsung kepada peguam-peguam Pahang agar tidak sewenangnya membongkarkan kebobrokan kerajaan negeri;
4) Ketakutan BN terhadap pertembungan hujah
Firma guaman lama saya juga telah dibekukan perlantikan sebagai peguamcara hartanah kerajaan negeri beberapa ketika hanya kerana saya pernah bertanding sebagai calon PAS. Inilah sikap sebenar kerajaan Pahang yang bersifat nakal tak ubah seperti "kanak-kanak yang merajuk apabila tidak dibelikan aiskrim". Apa salah saya kepada kerajaan Pahang? Saya juga tidak pernah gagal membayar cukai perkhidmatan sebanyak 5% dalam setiap yuran guaman yang saya kenakan kepada pelanggan-pelanggan saya.

Saya takkan berhenti dari mewakili rakyat Pahang dalam menghadapi situasi kritikal ini di tanah tumpah darah mereka dan saya takkan berganjak dari bercakap. Saya takkan berganjak dan akan terus menyewa di situ. Ini bukan harta bapak-bapak pemimpin UMNO Pahang ni! Sekiranya terus dihalau, saya sanggup membuka pejabat di tepi longkang atau di tempat buangan sampah!
Saya tak pilih bulu, siapa pun, UMNO, PAS, yang ada parti yang tak berparti, datang jumpa saya pasti saya akan wakili mereka sekiranya saya mampu mengendalikan kes mereka. Tak sedikit kes-kes teman-teman saya yang UMNO/BN yang saya kendalikan. Tanyalah beberapa kerat pimpinan UMNO di Pahang ini, saya pernah wakili mereka dan pernah menang ratusan ribu ringgit di dari Mahkamah rendah hingga ke Mahkamah Tinggi Kuantan..tak pernah saya tolak hanya semata-mata mereka tak sealiran politik dengan saya.. Saya berani beri jaminan sekiranya Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di Pahang, takkan ada seorang pun peguam yang pro BN/UMNO akan dihalau dari menyewa bangunan kerajaan kerana mereka adalah rakyat yang sah dan membayar cukai kepada kerajaan..
Kepada Dato' Adnan Yaakob, kalau mahukan khidmat guaman saya secara percuma pun boleh....satu sen saya pun tak mintak!