Friday, January 1, 2010

Nama ALLAH dalam THE HERALD:Dimana kita?


Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja. Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya. Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.
Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka. Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima? Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu. Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, dimana kita?

6 comments:

  1. sepertinya orang2 besar di negara ini tidak peduli tentang perkara ini...

    ReplyDelete
  2. Salam..
    Ada juga pengikut Pope Khalid Samad.. Bertaubatlah.. Kristian sudah mula bertapak di Semenanjung untuk menyebarkan dakwah mereka. Tak lama lagi jadi macam Sabah..

    ReplyDelete
  3. Tuan selempang merah,jangan mudah mengkafirkan orang tanpa nas dan hujah yang syari'e..saya faham kemarahan anda. Saya juga begitu, tapi ada baiknya kita membuka sedikit ruang perbahasan secara ilmiah. Ingat, dakyah ajaran bukan Islam bertapak bukan hanya kerana penggunaan nama Allah ini. Tapi kerana lemahnya undang-undang Syariah negara kita terutama melibatkan Murtad.Ingat juga, Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang yang digubal oleh Parlimen yang mana selama 50 Tahun di Parlimen adalah UMNO & BN memiliki kuasa mutlak..Tuan, renunglah secara adil dan berhemah...

    ReplyDelete
  4. Wah hebat hujah tua peguam kita ni. saya sokong jawapan anda terhadap selempang merah itu. Walaupun saya sendiri tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, namun kita perlu lihat kenapa pihak Mahkamah membuat keputusan seperti itu jika tidak berdasarkan undang-undang negara kita.

    ReplyDelete
  5. cuba fikirkan dari sudut ini ( aman damai )

    Daripada segi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi negara ini di dalam peruntukan Perkara 3(1). Perkara itu turut menjamin kedudukan agama lain dengan formula "aman dan damai"."Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".

    Formula "aman dan damai" ini belum pernah ditafsir oleh mahkamah.Namun, daripada segi amalan, agama selain Islam tidak boleh diamalkan sekiranya ia mengganggu dan menggugat keadaan "aman dan damai" masyarakat negara ini.Bahagian kedua Perkara 3(1) ini juga memberi pengertian bahawa, keharmonian dan toleransi antara agama perlu dititikberatkan supaya tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

    Oleh itu, penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic boleh ditafsirkan sebagai menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Ia juga boleh mencemar formula "aman dan damai" yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.Merujuk kepada isu penggunaan perkataan 'Allah', kita perlu melihat aspek baik dan buruk hubungan antara penganut agama dalam formula 'aman dan damai' itu.Undang-undang, pada banyak ketika, tidak dapat menjadi penyelesaian kepada semua masalah terutama yang melibatkan emosi atau sensitiviti.

    Contoh yang mudah, adakah kebenaran mahkamah untuk membenarkan suami berkahwin dengan isteri kedua dapat mengubat atau menjadi penawar kepada emosi isteri pertama yang amat terluka dengan tindakan suaminya? Paling baik pun, setelah terpaksa menerima keputusan mahkamah tersebut, isteri pertama harus meneruskan hidup bermadu dengan tangisan di dalam hatinya.

    Ini dikatakan formula 'rela dalam paksa.' Formula 'rela dalam paksa' ini sudah pasti tidak akan menjamin kebahagiaan akan kekal lama.Begitulah juga gambaran yang dapat dibuat mengenai kesan daripada penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic.Selain Perlembagaan, undang-undang mengenai pengharaman penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam telah lama wujud di dalam undang-undang di negeri-negeri.

    Ia termaktub dalam peruntukan undang-undang berkaitan kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang selari dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.Undang-undang ini adalah sebahagian daripada segmen perjanjian sosial antara kaum dan agama sewaktu proses mencapai kemerdekaan. Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang tersebut masih belum begitu terserlah.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum, izinkan saya menyiarkan artikel tuan di blog saudara. Semoga Umat Islam beroleh kebaikan.

    ReplyDelete