Wednesday, October 28, 2009

KENYATAAN MEDIA MANGSA ROGOL PLKN

Keputusan Mahkamah Tinggi di Terengganu membebaskan jurulatih PLKN, Zuki Bin Mohd amatlah mengejutkan. Sebagai pengamal undang-undang, keputusan tersebut dihormati walaupun secara 'legal'nya kita berhak berbeza dari sudut pentafsiran ruang lingkup perundangan dengan syarat ianya mestilah dilakukan secara hujah yang bersandaran.

Kes ini amat menarik, apabila inilah kes pertama melibatkan jurulatih PLKN ketika PLKN di awal perlaksanaannya. Walaubagaimanapun, seorang menteri pernah menafikan kejadian rogol tersebut berlaku, tetapi keputusan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu ketika menjatuhkan hukuman kepada Zuki membuktikan jenayah rogol tersebut benar-benar berlaku.
Sebagai peguam yang telah dilantik sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa saya mengikuti kes ini sehingga keputusan baru-baru ini walaupun tidak lah kesemuanya secara langsung. Atas arahan mangsa saya telah memfailkan Writ Saman sivil terhadap tertuduh dimana Mahkamah Tinggi dimana Mahkamah Tinggi telah mengarahkan jurulatih berkenaan membayar gantirugi kepada mangsa akibat perlakuan rogol tertuduh.
Dalam membacakan keputusannya, Hakim Yang Arif Dato' V.T Singham baru baru ini menyebut bahawa kelewatan membuat repot adalah antara alasan bahawa terdapat keraguan bagaimana kejadian rogol berlaku yang memungkin elemen "consent"(kerelaan) wujud. Ini adalah kerana mangsa sepatutnya melihat bahawa kejadian rogol perlu dilaporkan secepat mungkin. Hujah ini mungkin ada benarnya. Namun apakah itu realiti sebenarnya? Saya ingin menarik perhatian semua, bahawa mangsa dalam keterangan bersumpahnya menyebut bahawa beliau telah dikurung dan dikuarantin di dalam kem serta diasingkan dari pelatih-pelatih lain selepas menceritakan kejadian rogol tersebut kepada jurulatih wanitanya. Malahan, jurulatih tersebut turut meminta agar mangsa mempertimbangkan tindakan melapor kepada pihak polis kerana kemungkinan ia memalukan keluarga mangsa, walaupun motif sebenar mungkin kerana takut tembelang sebenar bocor! Persoalannya adakah mangsa benar-benar melengahkan laporan polis atau terpaksa berhadapan karenah kem yang dikatakan mengurung mangsa sebelum laporan polis MAMPU dibuat? Keterangan mangsa amat konsisten dalam menceritakan bagaimana maruah beliau diragut dan kenapa laporan polis dilengahkan...
Saya mewakili mangsa amat sedih dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini dan amat berharap agar pihak pendakwaan mengemukakan rayuan secepat mungkin kepada Mahkamah Rayuan kerana terdapat dengan izin, "kecelaruan yang amat jelas" dalam keputusan tersebut apatah lagi ia melibatkan isu perundangan yang amat fundamental dan penting. Ini adalah penting demi sebuah keadilan kepada mangsa dan semua pihak. Atau..apakah nilai keadilan itu hanya pada sekeping kertas bernama laporan?

Mangsa sehingga kini mengalami trauma yang teruk dan sedang menjalani rawatan di Klinik Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya. Saya juga mendapat arahan tegas dari mangsa untuk memulakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memfitnah, mengaibkan dan menjatuhkan maruah mangsa di dalam apa jua keadaan termasuk di media massa dan media baru. Oleh yang demikian, saya berharap pihak-pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mangsa atau yang boleh menjejaskan perjalanan perkara ini di Mahkamah. Saya juga berharap agar tindakan terhadap tertuduh menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam mengendalikan kem serta bertanggungjawab dalam setiap perlaksanaan program dilaksanakan.

MOHD FADZLI BIN MOHD RAMLY
Peguam pemerhati/Peguamcara mangsa

Sunday, October 18, 2009

Akhirnya Kerajaan negeri akur...


Kuala Rompin-Setelah berhempas pulas mengalami pelbagai kesukaran, termasuk terpaksa menyewa kediaman dan membayar balik pinjaman sedangkan rumah yang dibeli masih belum disiapkan, akhirnya sekumpulan pembeli rumah yang terdiri dari kakitangan kerajaan di sini menarik nafas lega apabila kerajaan negeri hari ini membuat bayaran tuntutan gantirugi kelewatan serah rumah mereka.

Kes yang menarik perhatian ramai ini dan menjadi tajuk utama sebuah akhbar tempatan, apabila sekumpulan 13 orang pembeli rumah memfailkan saman terhadap sebuah anak syarikat Kerajaan negeri Pahang kerana kegagalan menyerahkan rumah yang telah dibeli dalam masa ditetapkan. Kelewatan yang dikatakan berlaku antara 100 hingga 400 hari lebih yang merupakan suatu kes yang serius melibatkan kemajuan kawasan perumahan oleh sebuah kerajaan negeri.


Kesemua pembeli-pembeli rumah ini diwakili oleh peguam Mohd Fadzli Bin Mohd Ramly dari Tetuan Mohd Fadzli & Co. Dalam reaksinya, mereka melahirkan kegembiraan kerana perkara ini selesai dan berharap agar nilai gantirugi yang dibayar ini akan mampu menampung perbelanjaan sekolah yang akan datang. Seorang lagi pembeli rumah yang ditemui berkata, tindakan saman terhadap kerajaan Pahang ini harus menjadi tauladan kepada semua pemaju agar mematuhi hak dan tanggunjawab pembeli terutama dalam menyerahkan kepada pembeli unit-unit rumah dalam masa yang ditetapkan di dalam Perjanjian Jual Beli. Untuk rekod, kesemua pembeli-pembeli memfailkan saman terhadap kerajaan Pahang pada Mei tahun lepas.

"Kita tidak perlu berterima kasih kepada Kerajaan negeri Pahang kerana itu adalah kesilapan dan tanggungjawab mereka terhadap pembeli-pembeli rumah", reaksi peguam pembeli-pembeli ketika diminta mengulas lanjut.

Tuesday, October 13, 2009

Kerajaan PR perlukan "Ombudsman"


Walaupun ianya bukanlah "sole factor" kekalahan calon PR dalam Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang baru-baru ini, percanggahan pendapat secara terbuka beberapa pimpinan PR terutama melibatkan PAS dan DAP di Selangor seharusnya dipandang serius sebagai sebagai faktor penyumbang kekalahan. Impak ini seharusnya menjadi pertimbangan pemimpin-pemimpin PR lebih dari permainan politik "kurang cerdik" sesetengah mereka ini yang sebenarnya bakal mengakibatkan rakyat meluat dan bosan akhirnya. Jawapan biasa yang keluar dari mereka adalah semuanya adalah manipulasi media pemerintah, walaupun ianya benar berlaku.

Sebelum rakyat mula membenci PR sebagaimana kebencian pengundi di Jepun pada Parti LDP ataupun kebangkitan rakyat menentang Parti Golkar di Indonesia ataupun sekurang-kurangnya seperti tsunami yang menenggelamkan BN dalam pilihanraya lalu, Pakatan Rakyat harus mencari penawarnya.

Percanggahan pendapat adalah lumrah, tetapi apabila ia menerbitkan buah kebencian, curiga, amarah, dan hilangnya kepercayaan maka ia bukanlah boleh lagi dianggap sebagai gabungan politik yang kolektif dan efektif. Sudah sampai masanya PR menunjukkan suatu indeks pentadbiran yang benar-benar kalau bukan sepenuhnya berkesan pun, ianya haruslah lebih baik dari BN.

Penubuhan Ombudsman mampu menjadi penawar kemelut ini. Ombudsman dalam istilahnya adalah is a person who acts as a trusted intermediary between an organization and some internal or external constituency while representing the broad scope of constituent interests iaitu penubuhan suatu pihak yang dipercayai yang menjadi mediator (orang tengah) dalam sesuatu perkara. Ia dipraktikkan di kebanyakan negara Eropah seperti Britain, Hungary, Estonia dan Finland. Negara kita juga pernah dicadangkan dan dibahaskan di Parlimen Malaysia tetapi malangnya ia ditolak walaupun terdapat desakan dari Amnesty International Malaysia untuk diwujudkan Ombudsman khas menangani isu keganasan Polis di Malaysia.
Ringkasnya, Ombudsman bolehlah dianggap sebagai sebuah jabatan khusus penilai tahap transparensi dan juga bertindak sebagai mediator penyelesaian dengan penyertaan mewakili entiti setiap pihak.

Dalam Islam juga terdapat sebuah jawatankuasa selian penambahabaikan. Di dalam kitab ’Muhadarah Fi Nizam Al-Qada’ Fi Al-Islam menjelaskan hisbah bermakna ihtisab iaitu meneliti, mentadbir, melihat, mencegah atau menahan seperti mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran atau mendapat balasan seperti seseorang melakukan kebaikan untuk mendapat balasan daripada Allah. Manakala al-Mawardi dalam kitab beliau yang terkenal al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan hisbah ialah melaksanakan tugas keagamaan iaitu menyeru melakukan ma’aruf (kebaikan) yang jelas jika ternyata meninggalkan dan mencegah melakukan kemungkaran yang jelas jika ternyata dilakukan.

Sejarah perkembangan Hisbah juga dikatakan bermula pada zaman Rasulullah. Baginda telah melantik Sa’id bin Sa’id bin al-’As sebagai penyelia pasar di kota Mekah, sementara di kota Madinah pula beliau telah melantik Saidina Umar al-Khatab sebagai penyelianya.

Artikel ini tidak berniat untuk membiacarakan secara akademik prinsip-prinsip "administrative law" di sini. Cuma cadangan awal ini akan membuka lebih ruang diskusi yang akhirnya akan dilaksanakan sistem keadilan yang disukai dan diharapkan rakyat.

Kedua-dua konsep ini walaupun secara signifikan nya tidak dilaksanakan di negara kita terhadap bidang-bidang strategik tetapi di dalam aspek pentadbiran negara, kedua-dua konsep ini seharusnya diamalkan. Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Najib, cuba mewujudkan portfolio Petunjuk Pestasi Utama (KPI) di dalam kabinet seharusnya mendapat sedikit kepujian. Walaubagaimanapun, ia hanya terhenti kepada aspek penilaian tanpa merujuk kepada bidangkuasa menegur, membetul mahupun mendakwa penyelewengan pentadbiran.

Untuk rekod, Kerajaan PAS Terengganu ketika menjadi pemerintah di sana pasca pilihanraya tahun 1999 menubuhkan Jawatankuasa Hisbah dilihat lebih mirip kepada konsep Hisbah dan Ombudsman yang sebenar. Jawatankuasa ini bertindak bukan sahaja menilai tetapi berhak membuat apa-apa jua tindakan koreksi dengan menggunakan segala instrumen kerajaan yang ada. Salah laku mana-mana pihak, pasti mendapat imbalan setimpal.

Oleh yang demikian, Hisbah ataupun sekurang-kurangya Ombudsman ini dicadangkan dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat memandangkan pelbagai isu yang berbangkit mutakhir ini. Pertikaian pentadbiran antara komponen PR lebih mudah diselesaikan melalui jawatankuasa dalaman ini dari diselesaikan melalui media yang amat terdedah kepada manipulasi. Komposisi jawatankuasa pula boleh divariasikan melalui keanggotaan pelbagai lapisan disiplin ilmu disamping ahli yang mewakili anggota komponen PR. Kombinasi intelek, politik dan neutral ini, adalah amat diyakini ia akan menjadi titik penyelesai isu-isu dasar mahupun perkara-perkara ranting yang tidak harus dibawa keluar dewan mesyuarat.

Iltizam ini perlu ada pada setiap pimpinan PR kerana tsunami rakyat 2008 adalah ingin melihat corak dan gelombang baru dinamisma kerajaan yang mengutamakan rakyat. Jangan pula kita lihat BN yang berubah tapi PR yang mengambil tempat BN sebagai kerajaan di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang mengekalkan budaya hodoh ciptaan BN.