Tuesday, August 4, 2009

Perlantikan sebagai Duta US:PAS ucap tahniah tetapi..




PAS khususnya Dewan Pemuda PAS Pahang mengucapkan ribuan tahniah di atas perlantikan Dato' Seri Dr. Jamaluddin Bin Dato' Mohd Jarjis, Ahli Parlimen Rompin sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang bertaraf menteri. Sebagai anak jati Rompin dan kawan baik beliau, secara peribadi saya gembira dengan perlantikan tersebut dan berharap agar beliau menjalankan tugas beliau dengan baik.

Walaubagaimanapun, saya ingin merakamkan kebimbangan dan rasa curiga yang tinggi terhadap perlantikan beliau ke jawatan tersebut memandangkan beliau adalah wakil rakyat bagi Parlimen Rompin. Usul saya ini adalah berpandukan kepada beberapa asas di antara masa keberadaannya bersama rakyat Rompin akan menjadi terhad kerana lokaliti kerja beliau sudah berpindah ke seberang laut, walaupun umum mengetahui beliau bukan suka sangat berada di kawasan Rompin dan paling jarang turun padang.


Saya ingin menyebutkan di sini, bahawa Kerajaan Pusat tidak bertindak secara bijaksana dalam isu perlantikan ini. Perlantikan yang tidak lebih dari usaha menutup tindakan menggugurkannya dari kabinet ini dilihat sebagai menjadikan mandat besar yang diberikan rakyat Rompin terhadap beliau dan Barisan Nasional adalah sia-sia. Rakyat Rompin bukan sahaja tiada nilai, malahan dihina dengan tindakan perlantikan tersebut. Wakil rakyat yang dilantik bukan sahaja secara tidak rasminya "culas" turun padang, tetapi secara rasminya tidak akan bertugas untuk orang Rompin, tetapi berkhidmat untuk rakyat yang mengundi Obama.
Oleh yang demikian, saya mendesak agar Dato' Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rompin, untuk membolehkan satu pilihanraya baru di adakan bagi memilih Ahli Parlimen baru di Rompin. Demi tanggungjawab moral dan kredibiliti , saya ingin menegaskan bahawa inilah tindakan yang paling bermaruah yang perlu dilakukan kerajaan bagi memastikan kerajaan terus dihormati bersesuaian dengan slogan "Rakyat didahulukan"..
Isu ini besar dan mungkin ada yang berhujah bahawa kerajaan pernah melantik Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi pada 1 November 2000 hingga Julai 2005 setelah tewas dalam Kerajaan BN tumbang pada pilihanraya 1999. Tindakan ini tidak sama langsung dengan perlantikan Jamaluddin memandangkan Wan Mokhtar tidak lagi mempunyai tanggungjawab wakil rakyat setelah tewas kepada calon PAS, Haji Awang bin Jusoh dengan majoriti 436 undi di DUN Cukai sewaktu perlantikannya sebagai duta.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Rompin khususnya dan rakyat negara ini amnya melihat perlantikan "tokoh buangan" ini adalah usaha terdesak kerajaan UMNO/BN setelah beliau dihilangkan dari UMNO Pahang dimana sebelum ini beliau adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang.
Mungkin ungkapan "rakyat Rompin umpama kepala ikan" yang menggambarkan bahawa betapa mudahnya rakyat Rompin memilih sesiapa sahaja menjadi calon UMNO sebagai wakil rakyat dan mudah dibeli dengan wang ringgit yang masyhur di Rompin ini akan berakhir dengan perlantikan ini ataupun terus menjadi kepala ikan yang membusuk...

1 comment:

  1. saya setuju apa yang penulis bicarakan.Persoalannya adakah beliau berani untuk meletak jawatan?

    ReplyDelete