Wednesday, August 26, 2009

Cerpen ringkas: Kemenangan Rakyat!!


Pada 10/6/2004, sewaktu dalam keadaan hendak melelapkan mata kira-kira jam 12 tengahmalam, saya dikejutkan bunyi telefon. Tertera nama Ust Nasrudin Tantawi (sekarang Ketua Pemuda PAS Pusat). Dalam hati saya terdetik, telefon apa malam-malam ni..Takkan nak suruh ganti dia berceramah malam-malam ni..


Suara cemas Tantawi menyebabkan hati saya berdebar-debar. "Syeikh, Dr. Hatta kena tangkap polis sebab ceramah di Muadzam Shah". Saya mengucap panjang sambil terasa darah saya menyirap sampai ke kepala.."Apa patut ana buat?" Tantawi menambahkan lagi kebingungan saya. " Ust buat laporan polis tentang kejadian sebenar, ana akan tunggu kat IPD Rompin".Saya bergegas bangun. Ibu saya menyapa tindakan tergesa-gesa dan ayah menasihati saya berhati-hati. Tergambar kebimbangan hati seorang ibu dan ayah tentang liku-liku perjuangan yang telah saya pilih ini. "Mak abah jangan risau, saya nak gi tengok Dr Hatta kena tangkap, itu je"..Sayu sangat bila terkenangkan pengorbanan orang tua dalam meredhai perjuangan saya dalam PAS. Mereka tidak kisah saya sebagai anak sulung dari 11 orang adik beradik ini memilih untuk tidak kerja dengan kerajaan mahupun kerjaya yang baik tanpa risiko. Apatah lagi saya dipilih bertanding dalam Pilihanraya ke 11 tahun 2004 ketika berusia 24 tahun dan kedua ibu bapa saya merestui saya.. (angkat bakul pulak daaa...)


Saya sampai di IPD Rompin bersama-sama Tuan Haji Hanafiah (seorang pemborong ikan ternama di Rompin), tetapi dihalang masuk oleh polis pengawal pos katanya atas arahan Ketua Polis Daerah(OCPD) Rompin. Saya kata padanya bahawa Balai Polis adalah kawasan awam dan tak de sebab untuk mana-mana pihak dihalang memasukinya. Pengawal tersebut akur. Saya menunggu kira-kira 1 jam sebelum lori membawa Dr Hatta sampai ke IPD Rompin dari Balai Muadzam Shah yang memakan masa kira-kira 45 minit.


Saya memohon untuk bertemu dengan OCPD, tetapi hanya Ketua CID yang keluar yang bernama Ravinder menyatakan bahawa pihak polis terpaksa menangkap kerana tiada permit. Saya kata perhimpunan di rumah sendiri tidak memerlukan permit sebagaimana Seksyen 27 dan 27A Akta Polis. Dia kata itu hanya arahan OCPD. Saya mohon untuk bertemu dengan OCPD tetapi dia taknak bagi. Sebaliknya saya dikerumuni oleh pasukan LSF (unit tindakan ringan) yang meminta saya berundur atau mungkin ditangkap. Saya cabar supaya mereka menangkap saya. Tetapi tiada sebarang tindakan susulan. Akhirnya OCPD keluar dengan wajah yang marah.


"U sapa? Saya orang Rompin.Apa u mau?"begitu 'gedebe' OCPD Rompin ni terhadap saya. Saya jelaskan pada dia bahawa saya juga anak jati Rompin dan tindakan tangkap Dr Hatta dan 2 yang lain amatlah tidak wajar dan salah sama sekali berdasarkan Akta Polis " U baca seksyen tu betul-betul" tegas OCPD tu dengan angkuh lagi."Tuan, tuan pelaksana undang-undang, saya adalah pengamal mungkin ada sedikit kelebihan pengamal berbanding pelaksana dari sudut aspek kajian". " U tak puas hati kita jumpa kat mahkamah", cabar OCPD tu pada saya. Darah saya makin mendidih. Kecil-kecil saya tengok anggota LSF di sekeliling saya. Haji Hanafiah pula hilang entah kemana meninggalkan saya seorang di tengah-tengah kepungan polis. "I cabar u dakwa di Mahkamah orang yang u tangkap, atau kami akan heret kamu semua ke Mahkamah", saya mencabar OCPD dengan suara yang agak tinggi di tengah-tengah anggota LSF yang hanya diam membatu, mungkin kerana sebahagian mereka rakan permainan sepaktakraw saya setiap petang.


Setelah berlalu beberapa lama, walaupun tahanan telah dibebaskan, tiada langsung pendakwaan dibuat mahupun barang-barang yang dirampas dipulangkan. Saya menulis kepada OCPD Rompin pohon agar dipulangkan dan memohon agar dimaklumkan bila tarikh pendakwaan, katanya menunggu jawapan dari Jabatan Peguam Negara. Bila telefon Jabatan Peguam Negara katanya kena tanya Timbalan Pendakwa Raya Negeri. Bila tanya TPR negeri, katanya pada IDP Rompin pulak. Mana satu yang betul entah...Lu fikir la sendiri labu...


Atas arahan PAS Pusat dan persetujuan tahanan, mereka telah memfailkan Writ saman di Mahkamah Tinggi setelah tiada pendakwaan dibuat oleh pihak polis. Dengan tiada pendakwaan, mereka beranggapan bahawa sikap pihak polis ketika itu tidak serius apatah lagi tangkapan dibuat dalam premis persendirian.


"Court bangun!!!"laung polis mahkamah apabila hakim Dato' Mariana masuk memulakan prosiding. Saya terjaga dari lamunan peristiwa 5 tahun lampau. "En Fadzli, hari ini saya nak buat keputusan, tetapi saya nakkan penjelasan berhubung hujahan lanjut isu gantirugi", hakim melontarkan kata-kata pada saya. " Yang Arif, saya cadangkan supaya gantirugi ditaksirkan kemudian di Hadapan Timbalan Pendaftar" saya membalas soalan beliau. Hakim memandangkan Peguamcara Persekutuan yang mewakili En Pritam Singh. "Saya sahkan Yang Arif", kata Pritam.


Mahkamah dengan ini membuat keputusan berikut:


a) Tangkapan Dr Hatta dan 2 yang lain adalah TIDAK SAH, SALAH dan TERBATAL kerana tangkapan di premis persendirian TIDAK PERLUKAN PERMIT di bawah undang-undang negara ini.

b) Pihak Defendan (OCPD Rompin) gagal memaklumkan sebab Dr Hatta & 2 yang lain ditahan;

c) Pihak Defendan telah menceroboh premis Plaintif;

d) Pihak Defendan mesti membayar pampasan kepada Plaintif


Allah..benarkah kebenaran di hadapanku ini? Betapa agungnya Mu Ya Allah sehingga menyaksikan perjuangan rakyat yang sekian lama ditindas, dinafikan, diperkotak katikkan, dipukul, diheret dan diperlakukakn dengan pelbagai perkara oleh kezaliman pihak yang berkuasa, kini ditunjukkan kebenarannya oleh Allah Rabbul Jalal.


Airmata kegembiraan ku tidak sedar mengalir. Deras. Menggigil diriku.Dr Hatta menepuk bahuku. Terima kasih guruku dalam undang-undang, Sdr Mohamed Hanipa Maidin. Jika tidak dengan keikhlasan dan kebijaksanaan tuan memimpin pasukan peguam Plaintif mana mungkin kita berjaya dengan izin Allah.


Kepada semua pendokong kebenaran dan aktivis rakyat, teruskan perjuangan. Ingat! Jangan mohon permit di kawasan persendirian. Undang-undang bersama kita!!

8 comments:

  1. Bravo...Takbir...dengar cerita DSP nak buka bisnes jual besi buruk...He..he...jangan lupa belanja nanti..

    ReplyDelete
  2. Maha Agung Allah kerana memberi perlindungan kepada hamba2nya...

    ReplyDelete
  3. slow naa menulis. salam dari keluarga sekampung

    ReplyDelete
  4. sorry, keluar topik..anak saya terlibat pergaduhan berkumpulan dengan sekumpulan warga asing di Bukit Sentosa, Selangor pada malam 3 Sept 09. Pada mlm 4Sept, polis Bkt Sentosa mula buat pemburuan, anak saya dan kawan-kawan telah ditahan. Polis telah maklumkan kpd saya bahawa mrk ditahan atas tuduhan samun. Sebahagian mrk ditahan di lokap Bukit Sentosa, manakala beberapa org lagi termasuk anak saya dihantar ke lokap Balai Rasa, Selangor kerana masih bawah umur.
    Pagi 5Sept saya ke balai Rasa minta lihat anak saya, petugas di situ suruh minta kebenaran
    pegawai penyiasat,(PP) saya call PP, PP kata tunggu lepas reman. Saya akur.
    Keesokan, saya pergi lagi, sama juga, masih tak dibenarkan, kata kes itu sulit.
    Semalam, saya call PP lagi jam 2100, dia kata mlm tak boleh lawat OKT. Saya kata dah pergi siang pun tak boleh, bila lagi nak boleh. Akhirnya dia benarkan.
    Saya tanya anak.(percakapan jarak 10 meter)
    Saya:masa reman, ada cakap apa kat majistret?
    Anak:tidak
    Saya: Apa kena bahu (ada luka kat situ)
    Anak: Jatuh motor
    Saya: polis tak pukul?
    Anak: kat sini (Balai Rasa) tak ada, kat Balai Sentosa kena teruk.
    Saya:pukul mcm mana?
    Anak:tumbuk di perut beberapa kali. Tampar di telinga beberapa kali.
    Saya:berapa org?
    Anak: 2-3 org
    Saya:kamu cam orgnya?
    Anak:kalau jumpa, saya cam.
    Saya:ada sakit lagi mana-mana?
    Anak: dah tak sakit, tapi telinga kiri (sambil tunjuk telinga)masih dering. Bila kunyah makanan ada bunyi kat dalam telinga.

    Kemudian saya ke Balai Bukit Sentosa buat repot di situ. Lepas repot, saya disoal hampir 2 jam oleh seorg berpangkat inspektor. Dia tanya apa tujuan repot. Saya kata tujuan kalau telinga anak saya cacat kekal (gegendang telinga pecah) saya akan ambil tindakan susulan.
    Lepas ambil kenyataan tu, ada la sikit perbualan tidak formal. Pegawai tu nasihat saya jgn back up anak sgt, nanti dia dapat muka. Saya bersetuju dgn nasihat dia. Saya bertegas bahawa tujuan repot bukan nak back up anak, tujuannya sebagaimana saya cakap, sekiranya berlaku kecacatan kekal saya kena tuntut keadilan bagi pihak dia. kalu dia sihat, kira tutup kes.
    Dlm dok sembang itu ada sorang anggota tak beruniform menyampuk bahawa pada malam ditangkap, anak saya tidak mengendahkan arahan berhenti oleh polis dan berlalu selamba dgn motosikal sambil lambai-lambai tangan. Siapa pun akan lempang kalau berperangai mcm tu katanya. (saya rasa dia ni la yg tangkap dan lempang, kalu tidak mana dia tahu ada lambai-lambai tgn).
    Rupanya mrk ini tak tahan provokasi oleh budak-budak, dah dpt tangkap terus lepas geram.
    Sekarang kes jadi berat sbb mrk tangkap atas tuduhan samun. Entah bangla repot kena pow kurun bila, sekarang anak saya dan kawan-kawan disabitkan tuduhan itu. Umum pun tahu, warga asing mmg kerap kena pow, org yg pow tu pun mmg boleh agak siapa. Tangkap boleh tangkap, harap jgn tangkap kambing. Hari ni mrk kata akan bawa bangla utk buat kawad cam.
    Para tuan peguam sekelian, apa nasihat tuan-tuan kpd saya tentang isu ini. Anak saya berusia 17 thn 6 bulan, hari ni tak dapat ambil percubaan SPM sbb masih di lokap.

    ReplyDelete
  5. salam..saya mencadangkan tuan lantik peguam.. tunggu sama ada pendakwaan dibuat atau tak. Kalaw takde saya cadangkan saman sivil terhadap pihak polis...

    ReplyDelete
  6. "1) Tangkapan Dr. Hatta dan 2 yg lain adalah TIDAK SAH, SALAH dan TERBATAL kerana tangkapan di premis persendirian TIDAK PERLUKAN PERMIT di bawah undang-undang negara ini."

    salam saudara PEGUAM KITA, ni KAMU v BASET nak bagitau rasanya ayat kat atas tu silap dan mengelirukan...rasanya bukan "tangkapan" tetapi "perhimpunan di premis persendirian"

    ReplyDelete