Wednesday, August 26, 2009

Cerpen ringkas: Kemenangan Rakyat!!


Pada 10/6/2004, sewaktu dalam keadaan hendak melelapkan mata kira-kira jam 12 tengahmalam, saya dikejutkan bunyi telefon. Tertera nama Ust Nasrudin Tantawi (sekarang Ketua Pemuda PAS Pusat). Dalam hati saya terdetik, telefon apa malam-malam ni..Takkan nak suruh ganti dia berceramah malam-malam ni..


Suara cemas Tantawi menyebabkan hati saya berdebar-debar. "Syeikh, Dr. Hatta kena tangkap polis sebab ceramah di Muadzam Shah". Saya mengucap panjang sambil terasa darah saya menyirap sampai ke kepala.."Apa patut ana buat?" Tantawi menambahkan lagi kebingungan saya. " Ust buat laporan polis tentang kejadian sebenar, ana akan tunggu kat IPD Rompin".Saya bergegas bangun. Ibu saya menyapa tindakan tergesa-gesa dan ayah menasihati saya berhati-hati. Tergambar kebimbangan hati seorang ibu dan ayah tentang liku-liku perjuangan yang telah saya pilih ini. "Mak abah jangan risau, saya nak gi tengok Dr Hatta kena tangkap, itu je"..Sayu sangat bila terkenangkan pengorbanan orang tua dalam meredhai perjuangan saya dalam PAS. Mereka tidak kisah saya sebagai anak sulung dari 11 orang adik beradik ini memilih untuk tidak kerja dengan kerajaan mahupun kerjaya yang baik tanpa risiko. Apatah lagi saya dipilih bertanding dalam Pilihanraya ke 11 tahun 2004 ketika berusia 24 tahun dan kedua ibu bapa saya merestui saya.. (angkat bakul pulak daaa...)


Saya sampai di IPD Rompin bersama-sama Tuan Haji Hanafiah (seorang pemborong ikan ternama di Rompin), tetapi dihalang masuk oleh polis pengawal pos katanya atas arahan Ketua Polis Daerah(OCPD) Rompin. Saya kata padanya bahawa Balai Polis adalah kawasan awam dan tak de sebab untuk mana-mana pihak dihalang memasukinya. Pengawal tersebut akur. Saya menunggu kira-kira 1 jam sebelum lori membawa Dr Hatta sampai ke IPD Rompin dari Balai Muadzam Shah yang memakan masa kira-kira 45 minit.


Saya memohon untuk bertemu dengan OCPD, tetapi hanya Ketua CID yang keluar yang bernama Ravinder menyatakan bahawa pihak polis terpaksa menangkap kerana tiada permit. Saya kata perhimpunan di rumah sendiri tidak memerlukan permit sebagaimana Seksyen 27 dan 27A Akta Polis. Dia kata itu hanya arahan OCPD. Saya mohon untuk bertemu dengan OCPD tetapi dia taknak bagi. Sebaliknya saya dikerumuni oleh pasukan LSF (unit tindakan ringan) yang meminta saya berundur atau mungkin ditangkap. Saya cabar supaya mereka menangkap saya. Tetapi tiada sebarang tindakan susulan. Akhirnya OCPD keluar dengan wajah yang marah.


"U sapa? Saya orang Rompin.Apa u mau?"begitu 'gedebe' OCPD Rompin ni terhadap saya. Saya jelaskan pada dia bahawa saya juga anak jati Rompin dan tindakan tangkap Dr Hatta dan 2 yang lain amatlah tidak wajar dan salah sama sekali berdasarkan Akta Polis " U baca seksyen tu betul-betul" tegas OCPD tu dengan angkuh lagi."Tuan, tuan pelaksana undang-undang, saya adalah pengamal mungkin ada sedikit kelebihan pengamal berbanding pelaksana dari sudut aspek kajian". " U tak puas hati kita jumpa kat mahkamah", cabar OCPD tu pada saya. Darah saya makin mendidih. Kecil-kecil saya tengok anggota LSF di sekeliling saya. Haji Hanafiah pula hilang entah kemana meninggalkan saya seorang di tengah-tengah kepungan polis. "I cabar u dakwa di Mahkamah orang yang u tangkap, atau kami akan heret kamu semua ke Mahkamah", saya mencabar OCPD dengan suara yang agak tinggi di tengah-tengah anggota LSF yang hanya diam membatu, mungkin kerana sebahagian mereka rakan permainan sepaktakraw saya setiap petang.


Setelah berlalu beberapa lama, walaupun tahanan telah dibebaskan, tiada langsung pendakwaan dibuat mahupun barang-barang yang dirampas dipulangkan. Saya menulis kepada OCPD Rompin pohon agar dipulangkan dan memohon agar dimaklumkan bila tarikh pendakwaan, katanya menunggu jawapan dari Jabatan Peguam Negara. Bila telefon Jabatan Peguam Negara katanya kena tanya Timbalan Pendakwa Raya Negeri. Bila tanya TPR negeri, katanya pada IDP Rompin pulak. Mana satu yang betul entah...Lu fikir la sendiri labu...


Atas arahan PAS Pusat dan persetujuan tahanan, mereka telah memfailkan Writ saman di Mahkamah Tinggi setelah tiada pendakwaan dibuat oleh pihak polis. Dengan tiada pendakwaan, mereka beranggapan bahawa sikap pihak polis ketika itu tidak serius apatah lagi tangkapan dibuat dalam premis persendirian.


"Court bangun!!!"laung polis mahkamah apabila hakim Dato' Mariana masuk memulakan prosiding. Saya terjaga dari lamunan peristiwa 5 tahun lampau. "En Fadzli, hari ini saya nak buat keputusan, tetapi saya nakkan penjelasan berhubung hujahan lanjut isu gantirugi", hakim melontarkan kata-kata pada saya. " Yang Arif, saya cadangkan supaya gantirugi ditaksirkan kemudian di Hadapan Timbalan Pendaftar" saya membalas soalan beliau. Hakim memandangkan Peguamcara Persekutuan yang mewakili En Pritam Singh. "Saya sahkan Yang Arif", kata Pritam.


Mahkamah dengan ini membuat keputusan berikut:


a) Tangkapan Dr Hatta dan 2 yang lain adalah TIDAK SAH, SALAH dan TERBATAL kerana tangkapan di premis persendirian TIDAK PERLUKAN PERMIT di bawah undang-undang negara ini.

b) Pihak Defendan (OCPD Rompin) gagal memaklumkan sebab Dr Hatta & 2 yang lain ditahan;

c) Pihak Defendan telah menceroboh premis Plaintif;

d) Pihak Defendan mesti membayar pampasan kepada Plaintif


Allah..benarkah kebenaran di hadapanku ini? Betapa agungnya Mu Ya Allah sehingga menyaksikan perjuangan rakyat yang sekian lama ditindas, dinafikan, diperkotak katikkan, dipukul, diheret dan diperlakukakn dengan pelbagai perkara oleh kezaliman pihak yang berkuasa, kini ditunjukkan kebenarannya oleh Allah Rabbul Jalal.


Airmata kegembiraan ku tidak sedar mengalir. Deras. Menggigil diriku.Dr Hatta menepuk bahuku. Terima kasih guruku dalam undang-undang, Sdr Mohamed Hanipa Maidin. Jika tidak dengan keikhlasan dan kebijaksanaan tuan memimpin pasukan peguam Plaintif mana mungkin kita berjaya dengan izin Allah.


Kepada semua pendokong kebenaran dan aktivis rakyat, teruskan perjuangan. Ingat! Jangan mohon permit di kawasan persendirian. Undang-undang bersama kita!!

Tuesday, August 4, 2009

Perlantikan sebagai Duta US:PAS ucap tahniah tetapi..




PAS khususnya Dewan Pemuda PAS Pahang mengucapkan ribuan tahniah di atas perlantikan Dato' Seri Dr. Jamaluddin Bin Dato' Mohd Jarjis, Ahli Parlimen Rompin sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang bertaraf menteri. Sebagai anak jati Rompin dan kawan baik beliau, secara peribadi saya gembira dengan perlantikan tersebut dan berharap agar beliau menjalankan tugas beliau dengan baik.

Walaubagaimanapun, saya ingin merakamkan kebimbangan dan rasa curiga yang tinggi terhadap perlantikan beliau ke jawatan tersebut memandangkan beliau adalah wakil rakyat bagi Parlimen Rompin. Usul saya ini adalah berpandukan kepada beberapa asas di antara masa keberadaannya bersama rakyat Rompin akan menjadi terhad kerana lokaliti kerja beliau sudah berpindah ke seberang laut, walaupun umum mengetahui beliau bukan suka sangat berada di kawasan Rompin dan paling jarang turun padang.


Saya ingin menyebutkan di sini, bahawa Kerajaan Pusat tidak bertindak secara bijaksana dalam isu perlantikan ini. Perlantikan yang tidak lebih dari usaha menutup tindakan menggugurkannya dari kabinet ini dilihat sebagai menjadikan mandat besar yang diberikan rakyat Rompin terhadap beliau dan Barisan Nasional adalah sia-sia. Rakyat Rompin bukan sahaja tiada nilai, malahan dihina dengan tindakan perlantikan tersebut. Wakil rakyat yang dilantik bukan sahaja secara tidak rasminya "culas" turun padang, tetapi secara rasminya tidak akan bertugas untuk orang Rompin, tetapi berkhidmat untuk rakyat yang mengundi Obama.
Oleh yang demikian, saya mendesak agar Dato' Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rompin, untuk membolehkan satu pilihanraya baru di adakan bagi memilih Ahli Parlimen baru di Rompin. Demi tanggungjawab moral dan kredibiliti , saya ingin menegaskan bahawa inilah tindakan yang paling bermaruah yang perlu dilakukan kerajaan bagi memastikan kerajaan terus dihormati bersesuaian dengan slogan "Rakyat didahulukan"..
Isu ini besar dan mungkin ada yang berhujah bahawa kerajaan pernah melantik Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi pada 1 November 2000 hingga Julai 2005 setelah tewas dalam Kerajaan BN tumbang pada pilihanraya 1999. Tindakan ini tidak sama langsung dengan perlantikan Jamaluddin memandangkan Wan Mokhtar tidak lagi mempunyai tanggungjawab wakil rakyat setelah tewas kepada calon PAS, Haji Awang bin Jusoh dengan majoriti 436 undi di DUN Cukai sewaktu perlantikannya sebagai duta.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Rompin khususnya dan rakyat negara ini amnya melihat perlantikan "tokoh buangan" ini adalah usaha terdesak kerajaan UMNO/BN setelah beliau dihilangkan dari UMNO Pahang dimana sebelum ini beliau adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang.
Mungkin ungkapan "rakyat Rompin umpama kepala ikan" yang menggambarkan bahawa betapa mudahnya rakyat Rompin memilih sesiapa sahaja menjadi calon UMNO sebagai wakil rakyat dan mudah dibeli dengan wang ringgit yang masyhur di Rompin ini akan berakhir dengan perlantikan ini ataupun terus menjadi kepala ikan yang membusuk...