Wednesday, March 25, 2009

Politik Wang & Rasuah: Umpama Khinzir & Babi?


Isu politik wang dalam pemilihan UMNO baru-baru ini mengundang polemik yang bukan sedikit di negara kita. Selain melibatkan perspektif sosial dan pembentukan masyarakat sivil di negara ini, implikasinya juga turut menyentuh isu perundangan yang amat serius. Masyarakat kita terkeliru apakah politik wang itu merupakan suatu jenayah di sisi undang-undang negara ini atau ianya hanyalah satu prosedur biasa tatatertib atau hasil inkuiri dalaman sesebuah parti yang bersifat immune (kebal) dari tindakan pendakwaan Mahkamah awam negara kita?


Di negara kita, jenayah rasuah tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (selepas ini dirujuk Akta SPRM) yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini hasil rejuvenasi Akta Pencegahan Rasuah 1961. Pentafsiran konotasi Rasuah adalah jelas dan teratur di sini. Seksyen 16 hingga 28 dalam Akta SPRM tersebut memperuntukkan dengan jelas pengertian jenayah yang boleh dikategori dan didakwa. Ianya meliputi suapan,sogokan mahupun menggunakan kedudukan bagi tujuan rasuah adalah jelas satu kesalahan yang boleh dihukum dengan pelbagai hukuman termaktub di situ juga.


Manakala mekanisma pendakwaan dibawah Akta SPRM pula adalah seperti biasa iaitu bermula dari laporan pengadu (First Information Report), disiasat kemudian diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh seperti terkandung dalam Seksyen 59 Akta SPRM tersebut. Seksyen 29 hingga 49 pula adalah jelas suatu kaedah jelas bagaimana sisatan boleh dibuat. Walaupun saya kurang bersetuju dengan sesetengah kaedah di situ seperti peguambela tertuduh perlu mendedahkan maklumat di peringkat siasatan bukan di peringkat perbicaraan seolah-olah menepis beban pembuktian (burden of proof) yang harus dipikul oleh pendakwaan seperti kebiasaannya, tetapi bagi saya tatacara siasatan ini paling kurang bersungguh-sungguh inginkan siasatan yang agak dalam dan menyeluruh.


Namun isu yang ingin saya bawa hari ini, pertama apakah pengertian rasuah di dalam Akta SPRM ini meliputi seluruh badan, institusi dan setiap inci negara ini? Atau sekiranya ada badan lain yang boleh menghakimi jenayah rasuah ini yang hanya berlaku dalam kelompok kecil mereka sendiri seperti sekiranya jenayah rasuah yang berlaku dalam sesebuah parti maka SPRM tiada kuasa menyiasat? Sekiranya jawapannya adalah ya, apa autoriti dan apa pula keistimewaan badan tersebut sehingga tidak mampu disentuh SPRM?


Isu ini berat dan perlu perhatian serius badan kehakiman, institusi eksekutif mahupun Parlimen itu sendiri. Hujah saya? Terdapat pendakwaan terhadap beberapa individu dalam jenayah rasuah seperti Dato' Norza Zakaria, di Mahkamah Sivil negara kita. Bandingkan pula jenayah yang sama tetapi hanya diambil tindakan dalaman Lembaga Disiplin UMNO seperti terhadap Dato Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin. Untuk rekod, Mohd Ali dan Khairy didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Perkara 10.1 itu berbunyi: Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah mana-mana melanggar peruntukan Tataetika Ahli Umno, maka Lembaga Disiplin bolehlah menganggap, setelah berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.


Manakala Norza pula dituduh melakukan dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, iaitu kesalahan memberikan 2 suapan bernilai masing-masing RM1900.00 dan RM1500.00 bagi memenangi jawatan MT UMNO yang ditandinginya. Kedua-dua kesalahan yang dilakukan Mohd Ali dan Khairy dengan Norza adalah termasuk dalam Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM. Iaitu melibatkan ejen dan prinsipal yang mana apabaila ejen mereka melakukan jenayah rasuah maka prinsipalnya dianggap melakukan perkara sama.


Secara perundangannya, kedua-dua kesalahan tersebut perlu dibawa ke Mahkamah terbuka dan dibicarakan melalui bidangkuasa Akta SPRM. Walaupun sabitan oleh Lembaga Disiplin UMNO yang diilihat sebagai forum inkuiri dalaman yang menghukum jenayah rasuah dalaman UMNO, hakikatnya Norza juga ahli UMNO yang tertakluk kepada Lembaga Disiplin UMNO. Kenapa ianya tidak berlaku kepada Norza?



Parti politik oposisi seperti PAS dan PKR kemudiannya membuat beberapa Laporan kepada SPRM dan juga kepada Polis berhubung dengan sabitan oleh Lembaga Disiplin. Sama ada ia bersifat mengaut keuntungan politik atau sebaliknya, namun pada hemat saya ia harus dianalisa secara saintifik keperundangan. Apa yang dipohon oleh barisan oposisi ini saya percaya adalah satu pendakwaan dibuat terhadap kesalahan yang disabitkan oleh Lembaga Disiplin UMNO terhadap pesalah-pesalah terbabit di Mahkamah terbuka di negara kita sebagaimana terhadap Norza. Apakah apabila Lembaga Disiplin UMNO telah mensabitkan kesalahan rasuah yang dilakukan, maka ia tidak lagi menjadi kesalahan jenayah yang mesti dihukum di Mahkamah?



Ketika mengiringi Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Tuan Haji Syed Abd Rahman membuat Laporan ke SPRM baru-baru ini, suasana agak kecoh pada awalnya, apabila pegawai penerima aduan SPRM enggan menerima laporan yang dibuat wakil PAS Pahang berkenaan. Walaupun berkali-kali Dato' Tuan Ibrahim menerangkan bahawa laporan adalah bagi tujuan mendesak satu siasatan dibuat lantaran keputusan Lembaga Disiplin UMNO tersebut, pegawai SPRM menyatakan bahawa PAS tiada maklumat berhubung jenayah rasuah dalam UMNO, maka PAS tidak boleh membuat laporan. Saya kemudiannya menerangkan kepada pegawai berkenaan bahawa tujuan PAS buat laporan adalah memohon satu pendakwaan (charge) dibuat kepada pesalah-pesalah yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO. Saya turut menerangkan bahawa bukti rasuah tersebut harus diperolehi dari Lembaga Disiplin UMNO. Ia bukanlah semata-mata laporan siasatan tetapi lebih mirip kepada tindakan "conversion" dari tindakan pensabitan Lembaga Disiplin kepada pendakwaan di Mahkamah terbuka.

Saya memetik Seksyen 29(1) Akta SPRM tersebut hanya menjelaskan bahawa tiap-tiap aduan yang berhubungan dengan perlakuan rasuah di dalam Akta SPRM boleh dibuat secara lisan atau bertulis. Ia langsung tidak menyebut sama ada ia perlu dibuat oleh orang yang terlibat secara langsung di dalam perlakuan jenayah rasuah tersebut atau tidak. Jadi, sesiapa pun termasuk PAS layak membuat aduan. Setelah saya berhujah begitu, barulah pegawai tersebut kelihatan agak serba salah dan memohon keizinan bertemu Pengarah SPRM Pahang. Akhirnya beliau membenarkan PAS Pahang membuat laporan rasmi terhadap pesalah-pesalah UMNO. Saya tidak meragui secara teoritikalnya peranan SPRM dalam menyiasat laporan PAS tersebut. Tetapi indikasi realitinya sama-sama lah kita saksikannya. Janganlah jadi seperti nasib Laporan BPR terhadap Menteri Besar Pahang oleh syarikat Seruan Gemilang Makmur berhubung penyelewengan kawasan balak, yang masih menjadi tanda tanya yang penuh misteri..



Apa yang nak saya utarakan kali ini, adalah betapa perlunya masyarakat kita membenci rasuah sebagi satu jenayah berat yang perlu dielakkan oleh semua. Apapun 'tagline' yang digunakan bagi menggambarkan jenayah ini termasuklah "suapan","sogokan", "habuan", "rasuah politik" ataupun "politik wang", ianya tetap satu kudis bernanah yang bersifat menjahanamkan agama, bangsa dan negara. Justeru, janganlah kita cuba untuk melabelkan status kurang haramnya dengan label-label tersebut, kerana rakyat hari ini tahu persamaannya antara khinzir dan babi..dan yang paling bahaya, janganlah kita ditertawakan spesis ini..

Monday, March 16, 2009

Perlantikan Semula Hakim Pakistan:Kejayaan Peguam

Pengumuman Yusuf Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan dengan restu Presiden, Asif Ali AL Zardari untuk melantik semula Iftikhar Chaudhry, bekas Ketua Hakim Mahkamah Agung Pakistan yang dipecat Pervez Musharraf walaupun diharapkan tetapi agak mengejutkan ramai pihak. Tindakan drastik kerajaan baru Pakistan ini yang dilihat mengotakan manifesto pilihanraya baru-baru ini tetapi sebenarnya terpaksa tunduk kepada desakan pengamal undang-undang terutama para peguam yang turun ke jalan raya menuntut agar reformasi kehakiman dibuat dan Chaudhry dilantik semula.

Siapa sebenarnya Iftikhar Chaudhry ini? Beliau adalah seorang hakim yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Agung pada 2000 dan dilantik sebagai Ketua Hakim termuda Pakistan pada bulan Jun 2005. Beliau telah dipecat oleh Pervez Musharraf, adalah seorang hakim yang membicarakan banyak kes salah laku dan kontroversi pada era rejim Musharraf. Beliau banyak "membuka semula" kes-kes berprofil tinggi seperti dalam perbicaraan tertuduh yang dikatakan "dihilangkan" oleh pihak berkuasa atas alasan "terrorism". Beliau juga mengarahkan agar bekas Perdana Menteri sekutu Musharraf, Shaukat Aziz didakwa atas pelbagai tuduhan salahguna kuasa seperti dalam kes penswastaan syarikat besi dan pembatalan beberapa projek melibatkan kepentingan negara.
Pentadbiran Musharraf menekan Chaudhry untuk meletakkan jawatan tetapi beliau enggan tunduk dan akhirnya digantung pada 9 Mac 2007 atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan. Chaudhry mengkritik hebat Musharraf yang bertanding jawatan Presiden tetapi enggan meletakkan jawatan sebagai Jeneral Tentera. Chaudhry juga menuduh tindakan Musharraf yang kemudiannya meluluskan undang-undang darurat sebagai tidak menepati perlembagaan Pakistan.

Tekanan terhadap kerajaan Pakistan bermula apabila barisan peguam Pakistan bersatu menghantar bantahan, melancarkan mogok sehinggalah turun ke jalan raya mendesak agar reformasi kehakiman dilaksanakan termasuklah Chaudhry dilantik semula. Peguam Pakistan yang diketuai Ahsan, bertindak berani menyebabkan kerajaan Pakistan terpaksa tunduk. Siri-siri demonstrasi berlaku saban minggu sehingga ke tahap memulaukan persidangan Mahkamah berjaya mengembalikan kegemilangan kehakiman yang diperkosa regim Musharraf.
Sekarang, Pakistan berjaya membuktikan bahawa suara rakyat dan keberanian para pengamal undang-undang. Kejayaan ini seharusnya menjadi inspirasi rakyat dan para peguam terutamanya. Saya tidak nafikan bahawa peguam negara kita pernah menggegarkan negara dalam beberapa isu seperti dalam tahun 1970-an yang berarak ke Parlimen sehingga terdapat di kalangan mereka didakwa. Begitu juga dalam krisis perlembagaan 1983 dan 1990-an. Terkini, "walk for justice" dianjurkan Majlis Peguam Malaysia berjaya menghimpunkan ribuan peguam di negara ini berhimpun di Palace of Justice, Putrajaya. Malangnya di negara kita, kebangkitan peguam tidak banyak membantu kebangkitan rakyat. Maksud saya, Peguam kita tidak bangkit bersama-sama rakyat dalam banyak isu seperti Reformasi 1998, Isu BERSIH, HINDRAF, GMI PPSMI melainkan hanya sebagai pembela mereka yang tertangkap di Mahkamah.

Pada hemat saya, peguam negara kita termasuk saya, masih tidak matang dan masih terlingkung dalam belenggu kerjaya yang sempit. Peguam negara kita masih lagi dirantai dengan karenah nak jaga "panelship", kerja-kerja J.I.D,"legal skill" yang lemah, nak jaga "survival firm" dan takut tak dapat kerja guaman. Etika kebebasan dan "non-partisan" harus dipegang oleh para peguam negara ini. Mungkin juga telahan saya salah. Cuma apa yang bermain di fikiran tentang kesuraman suara kebangkitan peguam ini adalah; mungkin kerana tiadanya hakim yang benar-benar berwibawa untuk dibela apatah lagi personaliti Ketua Hakim Negara kini yang amat diragui, tidak seperti Iftikhar Chaudhry!

Friday, March 6, 2009

Perjalananku..

Lama dah tak menulis...lagipun saya bukannya tokoh untuk ditunggu-tunggu buah tangan saya. Cuma sejak kebelakangan ini, saya jadual saya agak padat dengan perbicaraan mahkamah sama ada di Kuala Lumpur mahupun di beberapa tempat seperti Pahang, Selangor dan Johor. Semuanya memerlukan komitmen yang bukan kecil.. Insyallah kesempatan yang ada dapat kita berkongsi bicara..

Kali ini saya nak bawa teman-teman semua lari sedikit dari hiruk pikuk dan kemelut undang-undang yang kian memeningkan terutama di negeri Kerajaan Pasola, negara Pasir Dua Butir..Jujurnya, saya tak berapa minat untuk berkongsi kehidupan peribadi dan rutin harian saya, tetapi apa yang saya cuba utarakan adalah realiti kehidupan masyarakat di sekeliling kita..Siapa yang harus bertanggungjawab dan apa yang harus dibuat..Terperap dalam kamar bicara membuatkan saya rasa tanggungjawab pengamal undang-undang macam saya tak harus hanya berpegang pada retorik dan idea semata-mata..Rakyat perlukan penglibatan golongan macam saya membela mereka..Ambillah kalau ada kebaikan..moga ALlah jauhkan dari sifat bangga dan takbur dari diriku..

Pada 23/2/2009 lalu, Pejabat Agama Islam Daerah Rompin (PAID) mengadakan Liga Masjid yang menyaksikan setiap masjid dalam daerah Rompin menghantar pasukan bolasepak masing-masing. Kebetulan saya selalu berjemaah di Masjid At Taqwa, saya terpilih menyertai pasukan yang dinamakan At Taqwa.Pasukan kami terdiri dari Imam 2, Setiausaha, Naqib dan AJK Masjid yang lain. Menariknya pasukan kami turut diwakili 2 orang anak muda yang selalu ke masjid. Pasukan kami hanya seri di pusingan awal, tetapi berjaya ke separuh akhir atas perbezaan jaringan. Di separuh akhir kami berjaya mengalahkan juara bertahan Masjid Kampung Leban Chondong 2-1. Di perlawanan akhir kami tersungkur 2-0.. Walaupun kalah kami puas hati..Di sini, saya dapat melihat perpaduan masyarakat atas semangat kesukanan. Tetapi apa yang paling membanggakan saya, semua pemain dapat mematuhi agama untuk bersukan apabila menutup aurat dan bermain secara fair play. Di sinilah saya menyedari bahawa indahnya Islam itu..Semua terpelihara.

Tengahari itu pula saya bersama kawan-kawan menziarahi fakir miskin di sekitar Rompin dan menyampaikan bantuan sekadarnya..Dalam fikiran saya, masyarakat Rompin ni takdela sesusah mana. Kami memberikan bantuan kebeberapa keluarga. Namun,apabila tiba satu kawasan saya dimaklumkan Haji Hanafiah (usahawan berjaya di Pahang) bahawa rumah yang akan dilawati agak pelik. Saya masuk ke rumah tersebut. Agak tinggi. Setelah mengamatinya saya dapati ia adalah sebuah rumah jemuran tembakau (ban tembakau). Tanah hitam kesan bakaran adalah lantai bagi keluarga ibu dengan 6 orang anak tersebut. Manakala tempat makan adalah di atas secebis tikar getah yang dihamparkan dengan lilin menerangi kawasan tersebut di waktu malam. Tempat tidur pula di buat setingkat beralaskan papan lapis. Mengalir air mata saya.. Bagi saya, keadaan itu tak wajar ada di zaman moden di negara kita.

Kami menziarahi pula penduduk Kampung Kurnia. Di sini penduduk tak pernah merasai nikmat air paip sejak merdeka. Sudahlah mereka umpama pendatang tanpa izin yang hidup di bumi sendiri tanpa diberikan geran hakmilik. Perkara ini pernah saya dedahkan dalam Sinar Harian bari-baru ini. Pemerintah saban tahun pilihanraya menjanjikan pemberian geran, namun ia hanya tinggal janji. Kami sempat menyampaikan sedikit bantuan di sini kepada beberapa penduduk.

Lepas habis pada kira-kira jam 6 petang, saya bersiap untuk ke Masjid Pantai Bernas, Rompin untuk bersama-sama dalam majlis tahlil arwah Ketua Kampung Pantai Bernas, allahyarham Md Ali Bin Sulong yang meninggal dunia dalam satu kemalangan maut baru-baru ini. Saya juga sempat menziarahi seorang lagi mangsa yang cedera parah patah kaki dan retak lututnya yang terlibat sama dalam kemalangan itu. Saya juga menawarkan khidmat guaman percuma kepada keluarga allahyarham dan mangsa yang cedera tersebut. Bagi saya, mungkin saya berbeza ideolo dan pegangan politik dengan keluarga Allahyarham, tetapi saya rasakan bahawa perjuangan saya membela rakyat merentasi sempadan politik. Saya gembira bertemu mata dengan keluarga untuk sekurang-kurangnya mengucapkan takziah.

Selepas itu pula saya bergegas untuk menerima jemputan berceramah bersama-sama Ahli Parlimen Indera Mahkota dan ADUN Tras, Choong Siew Onn berhubung dengan isu semasa terutama persoalan undang-undang kemelut di Perak.

Sesungguhnya apa yang saya lalui ini adalah pengalaman berharga bahawa kita adalah manusia yang saling memerlukan. Yang berkuasa jangan angkuh, yang kaya jangan lupakan daratan, yang pandai jangan membodohkan teman dan yang susah jangan menyesali takdir.. Saya bukan sahaja bersyukur menjadi peguam berbicara di Mahkamah tetapi juga gembira membantu masyarakat dalam apa jua lapangan...Jumpa lagi..