Wednesday, August 26, 2009

Cerpen ringkas: Kemenangan Rakyat!!


Pada 10/6/2004, sewaktu dalam keadaan hendak melelapkan mata kira-kira jam 12 tengahmalam, saya dikejutkan bunyi telefon. Tertera nama Ust Nasrudin Tantawi (sekarang Ketua Pemuda PAS Pusat). Dalam hati saya terdetik, telefon apa malam-malam ni..Takkan nak suruh ganti dia berceramah malam-malam ni..


Suara cemas Tantawi menyebabkan hati saya berdebar-debar. "Syeikh, Dr. Hatta kena tangkap polis sebab ceramah di Muadzam Shah". Saya mengucap panjang sambil terasa darah saya menyirap sampai ke kepala.."Apa patut ana buat?" Tantawi menambahkan lagi kebingungan saya. " Ust buat laporan polis tentang kejadian sebenar, ana akan tunggu kat IPD Rompin".Saya bergegas bangun. Ibu saya menyapa tindakan tergesa-gesa dan ayah menasihati saya berhati-hati. Tergambar kebimbangan hati seorang ibu dan ayah tentang liku-liku perjuangan yang telah saya pilih ini. "Mak abah jangan risau, saya nak gi tengok Dr Hatta kena tangkap, itu je"..Sayu sangat bila terkenangkan pengorbanan orang tua dalam meredhai perjuangan saya dalam PAS. Mereka tidak kisah saya sebagai anak sulung dari 11 orang adik beradik ini memilih untuk tidak kerja dengan kerajaan mahupun kerjaya yang baik tanpa risiko. Apatah lagi saya dipilih bertanding dalam Pilihanraya ke 11 tahun 2004 ketika berusia 24 tahun dan kedua ibu bapa saya merestui saya.. (angkat bakul pulak daaa...)


Saya sampai di IPD Rompin bersama-sama Tuan Haji Hanafiah (seorang pemborong ikan ternama di Rompin), tetapi dihalang masuk oleh polis pengawal pos katanya atas arahan Ketua Polis Daerah(OCPD) Rompin. Saya kata padanya bahawa Balai Polis adalah kawasan awam dan tak de sebab untuk mana-mana pihak dihalang memasukinya. Pengawal tersebut akur. Saya menunggu kira-kira 1 jam sebelum lori membawa Dr Hatta sampai ke IPD Rompin dari Balai Muadzam Shah yang memakan masa kira-kira 45 minit.


Saya memohon untuk bertemu dengan OCPD, tetapi hanya Ketua CID yang keluar yang bernama Ravinder menyatakan bahawa pihak polis terpaksa menangkap kerana tiada permit. Saya kata perhimpunan di rumah sendiri tidak memerlukan permit sebagaimana Seksyen 27 dan 27A Akta Polis. Dia kata itu hanya arahan OCPD. Saya mohon untuk bertemu dengan OCPD tetapi dia taknak bagi. Sebaliknya saya dikerumuni oleh pasukan LSF (unit tindakan ringan) yang meminta saya berundur atau mungkin ditangkap. Saya cabar supaya mereka menangkap saya. Tetapi tiada sebarang tindakan susulan. Akhirnya OCPD keluar dengan wajah yang marah.


"U sapa? Saya orang Rompin.Apa u mau?"begitu 'gedebe' OCPD Rompin ni terhadap saya. Saya jelaskan pada dia bahawa saya juga anak jati Rompin dan tindakan tangkap Dr Hatta dan 2 yang lain amatlah tidak wajar dan salah sama sekali berdasarkan Akta Polis " U baca seksyen tu betul-betul" tegas OCPD tu dengan angkuh lagi."Tuan, tuan pelaksana undang-undang, saya adalah pengamal mungkin ada sedikit kelebihan pengamal berbanding pelaksana dari sudut aspek kajian". " U tak puas hati kita jumpa kat mahkamah", cabar OCPD tu pada saya. Darah saya makin mendidih. Kecil-kecil saya tengok anggota LSF di sekeliling saya. Haji Hanafiah pula hilang entah kemana meninggalkan saya seorang di tengah-tengah kepungan polis. "I cabar u dakwa di Mahkamah orang yang u tangkap, atau kami akan heret kamu semua ke Mahkamah", saya mencabar OCPD dengan suara yang agak tinggi di tengah-tengah anggota LSF yang hanya diam membatu, mungkin kerana sebahagian mereka rakan permainan sepaktakraw saya setiap petang.


Setelah berlalu beberapa lama, walaupun tahanan telah dibebaskan, tiada langsung pendakwaan dibuat mahupun barang-barang yang dirampas dipulangkan. Saya menulis kepada OCPD Rompin pohon agar dipulangkan dan memohon agar dimaklumkan bila tarikh pendakwaan, katanya menunggu jawapan dari Jabatan Peguam Negara. Bila telefon Jabatan Peguam Negara katanya kena tanya Timbalan Pendakwa Raya Negeri. Bila tanya TPR negeri, katanya pada IDP Rompin pulak. Mana satu yang betul entah...Lu fikir la sendiri labu...


Atas arahan PAS Pusat dan persetujuan tahanan, mereka telah memfailkan Writ saman di Mahkamah Tinggi setelah tiada pendakwaan dibuat oleh pihak polis. Dengan tiada pendakwaan, mereka beranggapan bahawa sikap pihak polis ketika itu tidak serius apatah lagi tangkapan dibuat dalam premis persendirian.


"Court bangun!!!"laung polis mahkamah apabila hakim Dato' Mariana masuk memulakan prosiding. Saya terjaga dari lamunan peristiwa 5 tahun lampau. "En Fadzli, hari ini saya nak buat keputusan, tetapi saya nakkan penjelasan berhubung hujahan lanjut isu gantirugi", hakim melontarkan kata-kata pada saya. " Yang Arif, saya cadangkan supaya gantirugi ditaksirkan kemudian di Hadapan Timbalan Pendaftar" saya membalas soalan beliau. Hakim memandangkan Peguamcara Persekutuan yang mewakili En Pritam Singh. "Saya sahkan Yang Arif", kata Pritam.


Mahkamah dengan ini membuat keputusan berikut:


a) Tangkapan Dr Hatta dan 2 yang lain adalah TIDAK SAH, SALAH dan TERBATAL kerana tangkapan di premis persendirian TIDAK PERLUKAN PERMIT di bawah undang-undang negara ini.

b) Pihak Defendan (OCPD Rompin) gagal memaklumkan sebab Dr Hatta & 2 yang lain ditahan;

c) Pihak Defendan telah menceroboh premis Plaintif;

d) Pihak Defendan mesti membayar pampasan kepada Plaintif


Allah..benarkah kebenaran di hadapanku ini? Betapa agungnya Mu Ya Allah sehingga menyaksikan perjuangan rakyat yang sekian lama ditindas, dinafikan, diperkotak katikkan, dipukul, diheret dan diperlakukakn dengan pelbagai perkara oleh kezaliman pihak yang berkuasa, kini ditunjukkan kebenarannya oleh Allah Rabbul Jalal.


Airmata kegembiraan ku tidak sedar mengalir. Deras. Menggigil diriku.Dr Hatta menepuk bahuku. Terima kasih guruku dalam undang-undang, Sdr Mohamed Hanipa Maidin. Jika tidak dengan keikhlasan dan kebijaksanaan tuan memimpin pasukan peguam Plaintif mana mungkin kita berjaya dengan izin Allah.


Kepada semua pendokong kebenaran dan aktivis rakyat, teruskan perjuangan. Ingat! Jangan mohon permit di kawasan persendirian. Undang-undang bersama kita!!

Tuesday, August 4, 2009

Perlantikan sebagai Duta US:PAS ucap tahniah tetapi..




PAS khususnya Dewan Pemuda PAS Pahang mengucapkan ribuan tahniah di atas perlantikan Dato' Seri Dr. Jamaluddin Bin Dato' Mohd Jarjis, Ahli Parlimen Rompin sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang bertaraf menteri. Sebagai anak jati Rompin dan kawan baik beliau, secara peribadi saya gembira dengan perlantikan tersebut dan berharap agar beliau menjalankan tugas beliau dengan baik.

Walaubagaimanapun, saya ingin merakamkan kebimbangan dan rasa curiga yang tinggi terhadap perlantikan beliau ke jawatan tersebut memandangkan beliau adalah wakil rakyat bagi Parlimen Rompin. Usul saya ini adalah berpandukan kepada beberapa asas di antara masa keberadaannya bersama rakyat Rompin akan menjadi terhad kerana lokaliti kerja beliau sudah berpindah ke seberang laut, walaupun umum mengetahui beliau bukan suka sangat berada di kawasan Rompin dan paling jarang turun padang.


Saya ingin menyebutkan di sini, bahawa Kerajaan Pusat tidak bertindak secara bijaksana dalam isu perlantikan ini. Perlantikan yang tidak lebih dari usaha menutup tindakan menggugurkannya dari kabinet ini dilihat sebagai menjadikan mandat besar yang diberikan rakyat Rompin terhadap beliau dan Barisan Nasional adalah sia-sia. Rakyat Rompin bukan sahaja tiada nilai, malahan dihina dengan tindakan perlantikan tersebut. Wakil rakyat yang dilantik bukan sahaja secara tidak rasminya "culas" turun padang, tetapi secara rasminya tidak akan bertugas untuk orang Rompin, tetapi berkhidmat untuk rakyat yang mengundi Obama.
Oleh yang demikian, saya mendesak agar Dato' Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rompin, untuk membolehkan satu pilihanraya baru di adakan bagi memilih Ahli Parlimen baru di Rompin. Demi tanggungjawab moral dan kredibiliti , saya ingin menegaskan bahawa inilah tindakan yang paling bermaruah yang perlu dilakukan kerajaan bagi memastikan kerajaan terus dihormati bersesuaian dengan slogan "Rakyat didahulukan"..
Isu ini besar dan mungkin ada yang berhujah bahawa kerajaan pernah melantik Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi pada 1 November 2000 hingga Julai 2005 setelah tewas dalam Kerajaan BN tumbang pada pilihanraya 1999. Tindakan ini tidak sama langsung dengan perlantikan Jamaluddin memandangkan Wan Mokhtar tidak lagi mempunyai tanggungjawab wakil rakyat setelah tewas kepada calon PAS, Haji Awang bin Jusoh dengan majoriti 436 undi di DUN Cukai sewaktu perlantikannya sebagai duta.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Rompin khususnya dan rakyat negara ini amnya melihat perlantikan "tokoh buangan" ini adalah usaha terdesak kerajaan UMNO/BN setelah beliau dihilangkan dari UMNO Pahang dimana sebelum ini beliau adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang.
Mungkin ungkapan "rakyat Rompin umpama kepala ikan" yang menggambarkan bahawa betapa mudahnya rakyat Rompin memilih sesiapa sahaja menjadi calon UMNO sebagai wakil rakyat dan mudah dibeli dengan wang ringgit yang masyhur di Rompin ini akan berakhir dengan perlantikan ini ataupun terus menjadi kepala ikan yang membusuk...

Friday, July 3, 2009

Artikel menarik isu keluarnya DAP Kedah dari PR


Saya terbaca sebuah artikel dalam sebuah laman web berbayar yang tersohor berhubung dengan isu yang dikatakan menggongcang Pakatan Rakyat Kedah..Saya turut menerima ucapan tahniah dari wakli rakyat BN dan pemimpin UMNO atas tindakan MB Kedah..Anda nilailah..

'Abattoir demolition the right move' by S. Param
Jul 4, 09 7:59am

'Poorly designed abattoirs without proper waste disposal and treatment plants pose a serious environmental and public health threat. I refer to the recent threat by the Kedah DAP state assembly person to pull out from Pakatan over the issue of the demolishing of the polluting pig abattoir. I am not a member of any political party so it does not matter to me if this Kedah DAP assemblyperson quits his party or the Pakatan coalition. This DAP rep is just trying to exploit the abattoir issue and turn it into a racial one for his political agenda. I support the Kedah local council’s action to demolish the pig abattoir which was situated in the midst of a residential area. I have nothing against pigs and, in fact, I enjoy a ‘bah kut teh’ dish very much. But it is all about public health and environmental pollution.


Poorly designed abattoirs without proper waste disposal and treatment plants pose a serious environmental and public health threat. Untreated discharge from abattoirs can contaminate the immediate environment and the waterways. Those who are dependent on the waterways (rivers and streams) for their agricultural and other daily activities are at risk. Ideally, abattoirs of this nature should be located far away from the public and should be designed such that all waste generated is treated or incinerated before discharge into the environment. The Kedah local council has made the right decision to direct the abattoir to be relocated. The public, especially the Chinese community, should view this positively.


If the DAP continues with this political strategy to stir up the Chinese community with its hidden political agenda it is only going create unnecessary racial tension in the country. DAP should realise that when it comes to public health and safety there can be no compromises. The abattoir will have to be relocated and I believe the Chinese community in Kedah understands the rationale for the local council's action.

Grow up DAP!

Tuesday, June 30, 2009

KENYATAAN MEDIA BERKAITAN ISU CADANGAN PINDAAN UNDANG-UNDANG YANG MENYENTUH SOAL PENUKARAN AGAMA

Kami merujuk kepada Persidangan (Khas) Majlis Raja-Raja Melayu Kali Ke 217 yang bersidang semalam (29hb Jun 2009) di Istana Negara. Di dalam persidangan ini, Majlis Raja-Raja Melayu telah memutuskan supaya cadangan kerajaan untuk membentangkan pindaan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, ditangguhkan terlebih dahulu bagi mendapatkan terlebih dahulu pandangan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) dengan ini mengalu-alukan keputusan tersebut atas pertimbangan bahawa sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan isu-isu yang sensitif seperti soal implikasi dari penukaran agama, haruslah dibuat dengan cukup berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya ketegangan dan salah faham. Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas pada ketika Kabinet membuat satu keputusan kontroversi pada bulan April yang lalu di mana telah diputuskan bahawa seseorang anak yang masih belum dewasa adalah kekal di dalam agama kedua ibu bapanya (common religion) sewaktu di dalam perkhawinan, meskipun salah seorang dari kedua ibu bapanya telah memeluk agama yang lain.

Pada masa yang sama, DPPNP menuntut supaya kerajaan bukan sahaja mengambilkira pandangan dan cadangan dari Majlis Agama Islam Negeri, bahkan semua pihak yang berkaitan seperti parti-parti politik, NGO-NGO, pakar-pakar perundangan sivil dan syariah dan badan-badan agama sebelum Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan di Parlimen.

DPPNP berharap dan akan berusaha memastikan supaya pindaan yang dicadangkan tersebut bukan sahaja menghormati kedudukan dan kemuliaan agama Islam, tetapi pada masa yang sama turut member keadilan kepada penganut agama-agama yang lain.

ABDULLAH ABDUL KARIM
NAIB KETUA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PAHANG

Monday, June 22, 2009

Kerajaan Pahang : Henti Perkosa Rakyat!

Walaupun mendapat mandat yang agak baik dalam Pilihanraya Umum yang lalu, rakyat Pahang seharusnya mengetahui bahawa kekuatan suara dan hak mereka sebagai rakyat dalam sebuah negari berdaulat semakin terhakis. Tindakan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terutama UMNO menjadikan Negeri Pahang laksana telaga menggali kekayaan demi kepentingan perut beberapa kerat mereka. Rakyat tidak lebih hanya seekor kuda tunggangan ataupun sisa-sisa busuk perut ikan yang menjadi umpan menjelang pilihanraya bagi mendapatkan mandat memerintah.


Penulis telah membangkitkan terdahulu bagaimana, kelemahan Kerajaan Barisan Nasional Pahang mentadbir negeri sehingga terpaksa berhadapan tindakan Mahkamah sehinggalah mengalami keadaan defisit yang meruncing. Kali ini pula, penulis akan membangkitkan satu isu yang hangat diperkatakan di Pahang iaitu berhubung pengambilan berleluasa tanah bagi tujuan pembangunan komoditi perladangan.


Tidak dapat dinafikan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa yang agak jitu kepada kerajaan untuk melakukan pengambilan tanah bagi tujuan kemajuan. Alasan ini jugalah digunakan secara berleluasa untuk menghalalkan "rampasan" tanah terhadap rakyat. Saya tidak berniat mencabar perkara ini apatah lagi perundangan membenarkannya. Walaubagaimanapun, apa yang menjadi soal terutama di Pahang adalah berhubung dengan tindakan kerajaan negeri melalui beberapa anak syarikat Kerajaan Pahang yang bertindak membuka ladang-ladang tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah secara berleluasa. Penerokaan hutan dan ditanam dengan komoditi tersebut melibatkan ribuan hektar dan semakin bertambah keluasannya dari masa ke semasa.


Sebagai contoh, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) mempunyai ladang kelapa sawit dan getah di seluruh Pahang berjumlah hampir 54 ribu hektar. Begitu juga penerokaan tanah hampir 30 ribu ekar tanah di Rompin oleh YP Plantation Holdings Sdn Bhd iaitu salah sebuah anak syarikat subsidiari Kerajaan Pahang iaitu Yayasan Pahang bagi tujuan tanaman kelapa sawit. Malahan saya difahamkan sebanyak 15 ribu ekar lagi akan dibuka di daerah yang sama. Itu belum dikira jumlah pembukaan tanah-tanah baru bagi tujuan yang sama oleh syarikat swasta dimana kerajaan Pahang mempunyai kepentingannya seperti di Pekan, Bera, Rompin dan Kuantan mencecah hampir 15 ribu hektar sehingga tahun 2004 sahaja untuk pelbagai tujuan seperti perladangan kelapa sawit dan lain-lain tanaman komersil.


Apa yang lebih malangnya, pembukaan tanah ini turut melibatkan UMNO sebagai parti pemerintah yang mempunyai proksi-proksi dalam pelbagai syarikat yang ditubuhkan. Ini terbukti apabila puluhan ribu hektar tanah diterokai di daerah Rompin. Isu penerokaan tanah di Pekan juga diheret ke Mahkamah (No kes: 21-9-2002. Seruan Gemilang Makmur v Pengarah Hutan Negeri & Kerajaan Pahang). Semua keuntungannya pasti mengalir ke kantung UMNO. Sekali pandang, isu ini seolah-olah kerajaan Pahang membangunkan tanah untuk tujuan kemajuan. Namun, saya ingin menjemput pembaca semua untuk menganalisa secara saintifik disebalik pengambilan tanah ini. Ribuan hektar tanah yang diteroka oleh kebanyakannya anak syarikat kerajaan negeri mahupun kerajaan negeri berkepentingan di dalam syarikat persendirian menyebabkan rakyat Pahang terhimpit dengan masalah ketiadaan tanah sehingga terpaksa menumpang dan meneroka tanah haram. Rakyat yang memohon tanah bertahun-tahun lamanya sehingga ada di kalangan pemohon yang meninggal dunia, tetapi permohonan mereka masih tidak diluluskan. Usah bercakaplah fasal pemilikan tanah kepada golongan belia yang sudah pastinya tidak memiliki tanah selain dari membeli ataupun memperolehinya secara keturunan ataupun sekiranya mereka ada "kabel"!


Perusahaan ladang komoditi secara sewenang-wenangnya ini telah mengakibatkan tiada manfaat dinikmati oleh penduduk setempat di mana kawasan ladang tersebut dibuka kecuali beberapa pekerja asing yang dibawa masuk bekerja di situ. Ketiadaan kilang memproses produk berasaskan sawit mengakibatkan rakyat setempat hanyalah menjadi penonton.

Saya percaya bahawa kerajaan negeri akan berhujah bahawa pembukaan ladang adalah bersifat jangka masa panjang dan keuntungannya akan diagihkan secara saksama kepada rakyat. Sekali pandang, kita boleh bersetuju. Tetapi apabila dinilai keseluruhan pendapatan jika dicongak dari ladang seluas ratusan ribu hektar di seluruh negeri yang diteroka oleh kerajaan negeri, layak Pahang diangkat negeri mempunyai pendapatan yang paling progresif. Namun, secara perangkaannya satu demi satu anak syarikat kerajaan Pahang mengalami kerugian seperti yang menimpa Mentiga Corporation. Begitu juga saban tahun dan terkini, pendapatan kerajaan Pahang berada di tahap defisit! Kemana perginya pendapatan hasil dari pembukaan ladang yang maha luas ini?

Saya difahamkan bahawa terdapat kepentingan kerajaan dalam beberapa buah syarikat yang dianugerahkan kontrak pembukaan ladang kelapa sawit ini yang bertukar tangan kepada pegangan bukan bumiputra sebagai majoriti. Apa sudah jadi kepada kerajaan Pahang? Adakah itu petanda bahawa "State Government of Pahang is for sale?"..Petaka inilah yang harus disedari oleh rakyat Pahang bahawa tiada lagi hendak dibanggakan dengan kegagahan Tok Gajah, Dato' Bahaman ataupun Mat Kilau apabila rakyat merempat di bumi sendiri. Kita juga mengetahui bahawa permohonan pindahmilik tanah di Pahang adalah antara yang paling sukar di muka bumi ini apatah lagi sekiranya permohonan kepada bukan bumiputra. Tetapi bagaimana pula dengan perlantikan syarikat bumiputra yang hanya minoriti untuk membuka ladang-ladang dan tanah-tanah di Pahang?


Saya ingin mencadangkan agar kerajaan Pahang mengambil ikutan langkah kerajaan Kelantan yang memperkenalkan skim Ladang Rakyat dimana rakyat diberikan pemilikan tanah yang diusahakan oleh sebuah badan dilantik kerajaan negeri dengan pelbagai jenis tanaman komersil. Keuntungan berbentuk dividen dan bonus diberikan kepada rakyat yang merupakan pemegang saham dalam skim tersebut. Rakyat akan terasa mereka sebahagian dari pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan. Berbeza di Pahang, tanah diteroka, ladang dibuka, keuntungan tidak tahu kemana dan akhirnya diistiharkan kerajaan Pahang rugi dan anak syarikat yang mengusahakannya terpaksa gulung tikar.


Oleh yang demikian, kerajaan Pahang harus menghentikan pembukaan tanah dengan alasan kemajuan pertanian sedangkan yang untung beberapa kerat golongan tertentu dan rakyat terus-terusan diperbodohkan. Rakyat Pahang juga harus menginsafi nasib masing-masing. Sampai bila kita harus berbangga dengan Projek Rumah Murah, Projek Pembangunan Rakyat Termiskin yang kita ada? Sedangkan hak kita terus dirobek..

Atau, kerajaan Barisan Nasional Pahang berhadapan tindakan diberhentikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang !

Sunday, June 14, 2009

Kelemahan kerajaan Pahang: Dimana wakil rakyat PR?


Pelbagai isu dan kelemahan yang amat ketara kerajaan Pahang hari ini. Bermula dari perakuan audit kewangan negeri yang bertaraf muflis sehinggalah kepada tindakan sivil Mahkamah terhadap kerajaan negeri dan batang tubuh Menteri Besar Pahang yang kemudiannya diikuti siri-siri saman yang mengheret Kerajaan Negeri ke Mahkamah, kesemuanya memperlihatkan keupayaan negeri yang semakin diragui. Terkini, Kerajaan Negeri mengalami defisit berlanjutan dan angka defisit bagi 2009 sahaja berjumlah RM98.61juta!. Ia bukan sahaja menghakis integriti sebuah kerajaan, tetapi juga amat jijik dan memalukan bagi kerajaan yang mendakwa mampu membawa kemajuan kepada rakyat dalam setiap manifesto pilihanrayanya.


Negeri Pahang umum mengetahui ianya adalah sebuah negara terkaya hasil mahsul sumber buminya apatah lagi sebagai sebuah negeri yang mempunyai lokaliti terbesar di Semenanjung tanahair. Tetapi semua ini hanya tinggal kenangan. Hasil pembalakan kini hanyalah sekadar statistik "atas kertas" yang pada hakikatnya dirakusi oleh golongan tertentu. Buktinya Writ Saman dan Penghakiman RM30 juta yang meningkat kepada RM63juta oleh sebuah syarikat persendirian terhadap kerajaan negeri. Hujah Menteri Besar mudah, syarikat kerdil (yang diistilahkan sebagai syarikat RM2) tidak perlu dilayan sedangkan Mahkamah Persekutuan mengarahkan bayaran dibuat oleh kerajaan Pahang kepada syarikat kerdil tersebut. Sikap biadap, angkuh dan celaka Menteri Besar Pahang ini bukan sahaja memalukan institusi kehakiman negara ini, tetapi juga merendahkan maruah beliau sebagai seorang insan. Bandingkan pula kerajaan Pulau Pinang yang disaman oleh sebuah syarikat dimana kerajaan tersebut diarahkan membayar sebanyak RM15 juta dan kerajaan Pulau Pinang bersetuju membuat bayaran yang akan diluluskan dalam Belanjawan Negeri yang akan datang. Diikuti pula tindakan perlaksanaan (execution) berbentuk tindakan menyita terhadap anak syarikat Kerajaan negeri. Begitu juga saya mewakili 12 orang pembeli projek perumahan di Taman Rompin Permai oleh sebuah anak syarikat Kerajaan negeri iaitu PASDEC Corporation Sdn Bhd. Terbaru, kerajaan negeri berhadap saman berjuta ringgit oleh sebuah syarikat.


Kerajaan negeri juga kini terbeban dengan isu rakyat seperti pemberian hakmilik tanah yang tidak pernah ada penyelesaian. Isu pembolotan tanah oleh golongan tertentu dimana rakyat bawahan tidak mempunyai tanah apatah lagi golongan belia kebanyakkannya tidak bertanah bertaraf tanah anugerah. Begitu juga penerokaan tanah haram oleh syarikat milik individu tertentu. Selain itu, hak pribumi orang asli pula semakin terhimpit dengan isu ketiadaan hakmilik tanah dan pencerobohan kawasan mereka, semuanya perlukan penyelesaian segera.


Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat negeri Pahang yang membangkitkan sebahagian perkara ini di DUN Pahang. Walaubagaimanapun, pada hemat saya, prestasi wakil rakyat PR dalam mengetengahkan isu kelembapan kerajaan Pahang bukanlah sesuatu yang amat boleh dibanggakan. Artikel ini bukanlah merancang mencanangkan kelemahan ADUN-ADUN PR Pahang, tetapi tanggungjawab besar yang digalas oleh wakil-wakil rakyat alternatif ini harus melangkaui batasan lokaliti dan kondisi setempat. Bukanlah saya berniat, membuat perbandingan destruktif tetapi sekadar untuk membuat koreksi diri bahawa prestasi ADUN-ADUN Barisan Alternatif tahun 1999 adalah jauh lebih berkesan. ADUN-ADUN BA bukan sahaja cemerlang di kawasan sendiri tetapi juga bertindak membongkar kebangsatan UMNO Pahang seperti isu pengundi hantu di Pekan dan salahguna kuasa kerajaan negeri. Nama-nama Dato' Tuan Ibrahim, Allahyarham Abd Malek Yusof dan Iqbal Hamdi Rushdi mekar sebagi hero rakyat Pahang. Sidang Pahang (media rasmi PAS Pahang) amat laris bukan sahaja di Pahang tetapi juga di seluruh negara.


ADUN-ADUN PR kini mungkin kurang bersetuju dengan saya, atas alasan media tidak memberikan liputan meluas khidmat dan sumbangan mereka, tetapi kita boleh menghujahkan bahawa media alternatif milik parti sendiri pun tidak membuat liputan meluas ataupun mereka memang kurang melaksanakan aktivitil terhadap aktiviti mereka. Serangan terhadap kerajaan Pahang pula hanya dilancarkan oleh organ-organ parti seperti yang dilakukan PAS Pahang yang diketuai Dato' Tuan Ibrahim mahupun pimpinan PKR dan DAP negeri dan bukanlah ADUN-ADUN PR yang menjadi barisan hadapan Pakatan Rakyat di Pahang.


Sekiranya kelemahan kerajaan ini berlaku di Amerika, Indonesia, India, Perancis, Jepun, China mahupun negara-negara lain, sudah tentulah kerajaan tersebut akan dikecam hebat oleh pembangkang dan satu mobilisasi rakyat akan digerakkan bagi memberikan pengajaran kepada kerajaan agar mereka berdisiplin dan tidak menyusahkan rakyat. Komen saya ini ikhlas dan ingin melihat penghormatan, kepercayaan dan keyakinan rakyat berterusan kepada Pakatan Rakyat agar seterusnya Pakatan Rakyat memperolehi mandat untuk berkuasa di Pahang. Wakil-wakil rakyat PR harus membuat lebih "homework", tubuhkan segera pasukan pemikir, dan mempunyai pembacaan yang berterusan berdasarkan fakta-fakta serta idea-idea yang jitu agar lebih berkesan. Ingat, semua itu memerlukan keberanian dan kecekalan untuk menumbangkan sebuah kerajaan zalim.

Sunday, May 10, 2009

Ulama' dalam bahaya


Isu yang nak saya bawakan kali ini takdela best sangat pun..Tapi saya nak jugaklah berkongsi pandangan tentang isu ulama' yang hangat dimainkan media hasad dan disambut pula oleh sesetengah golongan dalam parti yang merasakan diri mereka professional dan ulama' kononnya. Saya juga tidaklah berminat untuk menyahut rentak tari isu hangat ulama' dan professional dalam pemilihan sebuah parti di negara kita yang dimainkan secara hina oleh media tersebut.

Cuma apa yang ingin saya bentangkan kali ini adalah suatu insiden ngeri melibatkan ulama' yang berkhidmat dengan kerajaan yang menjadi "bolasepak" ditendang secara bebas ke serata "padang" tanpa pembelaan yang sewajarnya dan dimanakah pembelaan terhadap mereka ini.
Isu yang saya maksudkan ialah tindakan kerajaan Malaysia yang kerapkali menukar atau mengenakan tindakan disiplin terhadap guru agama ataupun ulama' yang bersuara agak lantang dari satu tempat kerja ke tempat kerja lain sewenang-wenangnya. Atas nama kakitangan kerajaan, kaki, tangan, mulut dan seluruh pergerakan ulama' ini tak ubah seperti patung pasar malam: cantik di luar tapi kosong di dalam..
Senario ini harus dipandang serius oleh semua pihak kerana ulama' walaupun berkhidmat dengan kerajaan adalah berbeza dengan penjawat awam yang lain seperti guru ataupun pegawai kebajikan masyarakat. Beza antara mereka adalah nilai. Nilai ulama' walaupun dimanapun mereka adalah begitu tinggi. Kecualilah ada di antara mereka yang merendahkan martabat mereka sendiri.

Saya ingin membawa satu kes yang saya wakili seorang ulama' kerajaan yang cukup berani pertahankan institusi ulama' dan ketegasan Islam. Pada 13/11/2007 saya mewakili Ustaz Zakaria Bin Khalib, Imam 1 Masjid Tengku Abdullah, iaitu Masjid Daerah Jerantut, Pahang. Beliau ditukarkan ke merata ceruk tempat di Pahang atas sebab kelantangannya berceramah menyatakan kebenaran. Terbaru beliau terpaksa ditukarkan ke Ibupejabat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Pekan, Pahang. Alasannya, UMNO Bahagian Jerantut telah mengeluarkan satu surat bertarikh 15/9/2006 kepada Menteri Besar Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pengarah JAIP menyatakan bahawa Ustaz Zakaria telah menyatakan kesesatan Islam Hadhari, sikap tidak amanah sebahagian pemimpin yang berkuasa tetapi mengumpul kekayaan tanpa hiraukan rakyat serta tindakan membiarkan gejala murtad berleluasa.

Surat fitnah tersebut dihantar serta telah diminitkan untuk diambil tindakan oleh pegawai JAIP dengan beberapa nota berbentuk arahan tindakan diambil terhadap Ustaz Zakaria. Tanpa menyedari kehadiran surat ini, Ustaz Zakaria ditukarkan ke JAIP Pekan. Walaubagaimanapun, takdir Allah, Ustza Zakaria menemui surat tersebut ketika bertugas di situ. Beliau telah diserahkan surat tersebut oleh salah seorang rakannya. Terdedahlah rahsia sebenar kenapa beliau ditukarkan.

Beliau telah menemui saya, dan saya menasihatinya agar segera memfailkan tindakan ke Mahkamah. Saya kemudiannya telah mengadakan sidang akhbar di Mahkamah Tinggi Temerloh dan memfailkan Writ Saman terhadap Setiausaha UMNO bahagian Jerantut pada hari yang sama. Kes ini mendapat liputan meluas media negara ini. Setiausaha UMNO memfailkan Pernyataan Pembelaan dan menyatakan antara lain bahawa surat 15/9/2006 dibuat untuk kepentingan umum..Kepentingan umum apa kalau memfitnah?Atau memang tugas UMNO tukang fitnah dan jadi tukang tukar kerja orang..

Cuma apa yang lebih membuatkan darah saya mendidih apabila Setiausaha UMNO menyaman balik Ustaz Zakaria tersebut sebanyak RM3 juta. Alasan mereka, tindakan saman Ustaz Zakaria terhadap Setiausaha UMNO telah memalukan mereka. Apakah mereka tidak sedar apabila seseorang mengambil tindakan Mahkamah maka adalah terlindung dari sebarang tindakan mahkamah yang lain terhadap mereka atau dalam bahasa perundangannya dipanggil "Absolute Privilege"..Sekarang tindakan tersebut masih berjalan.

Saya bawakan kes hari ini kerana saya percaya bahawa ramai ulama' yang berkhidmat dengan kerajaan terancam sekarang ini. Namun bagi saya tidak ramai ulama' seperti Ustaza Zakaria ini. Sanggup ketepikan gaji, elaun, keistimewaan semata-mata menyatakan kebenaran. Bagi Ustaz ini harga diri dan nilai agama lebih tinggi dari hilangnya elaun yang diterima dari Suruhanjya Perkhidmatan Awam negeri atau persekutuan.

Ulama' hari ini bagi saya lebih banyak beretorik dari benar-benar menyelami denyut nadi dan bersama-sama mempertahankan kesucian agama. Mereka lebih selesa berkarpet tebal, punyai pemandu peribadi, kejar elaun lebih masa mahupun segak segak berjubah tetapi hanya menjadi pencacai dan peng'iya' tindakan zalim kerajaan. Walaupun alasan mereka bahawa perjuangan Islam 'dalam hati' mereka tetapi tindakan mereka amat mendukacitakan Islam. Mereka ini kalau datang ceramah pun duduk dalam gelap takut diambil tindakan dan ditukarkan. Tak ubah seperti pekerja lori sampah!

Sejarah Islam hari ini memperlihatkan betapa ulama seperti Hassan Nasrullah, Ahmedinajad mahupun beberapa ulama' terdahulu seperti Hassan Al Banna, syed Qutb dan lain-lain sanggup mengenepikan kepentingan diri demi Islam walaupun mereka berjawatan besar. Hari ini, di Malaysia tidak ramai seperti Ustaz Zakaria. Yang ada, ulama' yang cakap berdegar-degar berselindung di atas tabir ulama' tetapi membisu bila kezaliman dan tekanan ke atas Islam dan diri mereka. Atau sekurang-kurangnya ulama'-ulama' ini bersuara bila kejadian menimpa Ustaz Zakaria.

Saya cukup tabik hormat kepada ulama' seperti Tok Guru Nik Aziz, Allahyarham Dato' Ishak Baharum, Ust Kamal Shaari, Nasruddin Tantawi, Ust Nasarudin Mat Isa dan ramai lagi yang berani bersuara walaupun kehilangan tawaran dan jawatan. Bangunlah kawan-kawanku ulama'ulama' semua buanglah kerudung Ulama' sekiranya anda penakut berkata benar!

Jangan bimbang..Saya tegaskan sekiranya ulama' -ulama' sebenar ini diambil tindakan, saya akan pertahankan dengan darah saya!

Tapi bangkit lah!!!!