Sunday, May 10, 2009

Ulama' dalam bahaya


Isu yang nak saya bawakan kali ini takdela best sangat pun..Tapi saya nak jugaklah berkongsi pandangan tentang isu ulama' yang hangat dimainkan media hasad dan disambut pula oleh sesetengah golongan dalam parti yang merasakan diri mereka professional dan ulama' kononnya. Saya juga tidaklah berminat untuk menyahut rentak tari isu hangat ulama' dan professional dalam pemilihan sebuah parti di negara kita yang dimainkan secara hina oleh media tersebut.

Cuma apa yang ingin saya bentangkan kali ini adalah suatu insiden ngeri melibatkan ulama' yang berkhidmat dengan kerajaan yang menjadi "bolasepak" ditendang secara bebas ke serata "padang" tanpa pembelaan yang sewajarnya dan dimanakah pembelaan terhadap mereka ini.
Isu yang saya maksudkan ialah tindakan kerajaan Malaysia yang kerapkali menukar atau mengenakan tindakan disiplin terhadap guru agama ataupun ulama' yang bersuara agak lantang dari satu tempat kerja ke tempat kerja lain sewenang-wenangnya. Atas nama kakitangan kerajaan, kaki, tangan, mulut dan seluruh pergerakan ulama' ini tak ubah seperti patung pasar malam: cantik di luar tapi kosong di dalam..
Senario ini harus dipandang serius oleh semua pihak kerana ulama' walaupun berkhidmat dengan kerajaan adalah berbeza dengan penjawat awam yang lain seperti guru ataupun pegawai kebajikan masyarakat. Beza antara mereka adalah nilai. Nilai ulama' walaupun dimanapun mereka adalah begitu tinggi. Kecualilah ada di antara mereka yang merendahkan martabat mereka sendiri.

Saya ingin membawa satu kes yang saya wakili seorang ulama' kerajaan yang cukup berani pertahankan institusi ulama' dan ketegasan Islam. Pada 13/11/2007 saya mewakili Ustaz Zakaria Bin Khalib, Imam 1 Masjid Tengku Abdullah, iaitu Masjid Daerah Jerantut, Pahang. Beliau ditukarkan ke merata ceruk tempat di Pahang atas sebab kelantangannya berceramah menyatakan kebenaran. Terbaru beliau terpaksa ditukarkan ke Ibupejabat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Pekan, Pahang. Alasannya, UMNO Bahagian Jerantut telah mengeluarkan satu surat bertarikh 15/9/2006 kepada Menteri Besar Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pengarah JAIP menyatakan bahawa Ustaz Zakaria telah menyatakan kesesatan Islam Hadhari, sikap tidak amanah sebahagian pemimpin yang berkuasa tetapi mengumpul kekayaan tanpa hiraukan rakyat serta tindakan membiarkan gejala murtad berleluasa.

Surat fitnah tersebut dihantar serta telah diminitkan untuk diambil tindakan oleh pegawai JAIP dengan beberapa nota berbentuk arahan tindakan diambil terhadap Ustaz Zakaria. Tanpa menyedari kehadiran surat ini, Ustaz Zakaria ditukarkan ke JAIP Pekan. Walaubagaimanapun, takdir Allah, Ustza Zakaria menemui surat tersebut ketika bertugas di situ. Beliau telah diserahkan surat tersebut oleh salah seorang rakannya. Terdedahlah rahsia sebenar kenapa beliau ditukarkan.

Beliau telah menemui saya, dan saya menasihatinya agar segera memfailkan tindakan ke Mahkamah. Saya kemudiannya telah mengadakan sidang akhbar di Mahkamah Tinggi Temerloh dan memfailkan Writ Saman terhadap Setiausaha UMNO bahagian Jerantut pada hari yang sama. Kes ini mendapat liputan meluas media negara ini. Setiausaha UMNO memfailkan Pernyataan Pembelaan dan menyatakan antara lain bahawa surat 15/9/2006 dibuat untuk kepentingan umum..Kepentingan umum apa kalau memfitnah?Atau memang tugas UMNO tukang fitnah dan jadi tukang tukar kerja orang..

Cuma apa yang lebih membuatkan darah saya mendidih apabila Setiausaha UMNO menyaman balik Ustaz Zakaria tersebut sebanyak RM3 juta. Alasan mereka, tindakan saman Ustaz Zakaria terhadap Setiausaha UMNO telah memalukan mereka. Apakah mereka tidak sedar apabila seseorang mengambil tindakan Mahkamah maka adalah terlindung dari sebarang tindakan mahkamah yang lain terhadap mereka atau dalam bahasa perundangannya dipanggil "Absolute Privilege"..Sekarang tindakan tersebut masih berjalan.

Saya bawakan kes hari ini kerana saya percaya bahawa ramai ulama' yang berkhidmat dengan kerajaan terancam sekarang ini. Namun bagi saya tidak ramai ulama' seperti Ustaza Zakaria ini. Sanggup ketepikan gaji, elaun, keistimewaan semata-mata menyatakan kebenaran. Bagi Ustaz ini harga diri dan nilai agama lebih tinggi dari hilangnya elaun yang diterima dari Suruhanjya Perkhidmatan Awam negeri atau persekutuan.

Ulama' hari ini bagi saya lebih banyak beretorik dari benar-benar menyelami denyut nadi dan bersama-sama mempertahankan kesucian agama. Mereka lebih selesa berkarpet tebal, punyai pemandu peribadi, kejar elaun lebih masa mahupun segak segak berjubah tetapi hanya menjadi pencacai dan peng'iya' tindakan zalim kerajaan. Walaupun alasan mereka bahawa perjuangan Islam 'dalam hati' mereka tetapi tindakan mereka amat mendukacitakan Islam. Mereka ini kalau datang ceramah pun duduk dalam gelap takut diambil tindakan dan ditukarkan. Tak ubah seperti pekerja lori sampah!

Sejarah Islam hari ini memperlihatkan betapa ulama seperti Hassan Nasrullah, Ahmedinajad mahupun beberapa ulama' terdahulu seperti Hassan Al Banna, syed Qutb dan lain-lain sanggup mengenepikan kepentingan diri demi Islam walaupun mereka berjawatan besar. Hari ini, di Malaysia tidak ramai seperti Ustaz Zakaria. Yang ada, ulama' yang cakap berdegar-degar berselindung di atas tabir ulama' tetapi membisu bila kezaliman dan tekanan ke atas Islam dan diri mereka. Atau sekurang-kurangnya ulama'-ulama' ini bersuara bila kejadian menimpa Ustaz Zakaria.

Saya cukup tabik hormat kepada ulama' seperti Tok Guru Nik Aziz, Allahyarham Dato' Ishak Baharum, Ust Kamal Shaari, Nasruddin Tantawi, Ust Nasarudin Mat Isa dan ramai lagi yang berani bersuara walaupun kehilangan tawaran dan jawatan. Bangunlah kawan-kawanku ulama'ulama' semua buanglah kerudung Ulama' sekiranya anda penakut berkata benar!

Jangan bimbang..Saya tegaskan sekiranya ulama' -ulama' sebenar ini diambil tindakan, saya akan pertahankan dengan darah saya!

Tapi bangkit lah!!!!

Saturday, April 18, 2009

Kenyataan Nazri: Siapa bodoh?

Saya tergelak besar apabila mendengar kenyataan Dato' Nazri Aziz mengulas kenyataan rasmi Dato' Ngeh Khoo Ham yang mempertahankan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, N.H Chan yang mengkritik penghakiman Mahkamah Persekutuan yang disifatkan Nazri sebagai bodoh! Saya juga yakin kawan-kawan peguam yang lain juga paling kurang tersenyum kambing..

Beliau (Nazri) juga mengatakan bahawa kenyataan Ngeh sebagai kenyataan bodoh seorang peguam apabila agak tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan. Untuk rekod, kritikan asal adalah datang dari bekas hakim N.H Chan yang menyatakan seperti berikut sebagai reaksinya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan tindakan penggantungan MB Coup d'etat dan 6 exconya sebagai tidak sah dan terbatal:

“Ini adalah keputusan yang bertentangan dengan Mahkamah Perekutuan. Ini bertentangan kerana keputusan yang dibuat dalam secara kasar dan kurang tepat dalam artikel 72(1) dalam Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi - “kesahihan dalam mana-mana perbicaraan dalam persidangan pembuntukan undang-undang persidangan dalam negeri tidak boleh di pertikaikan dalam mana-mana mahkamah”.

"Hakim mahkamah persekutuan telah mengecewakan rakayat dan kerajaan di negara ini dengan menafikan hak rakyat apabila beliau (hakim) membelakangi undang-undang perlembagaan Malaysia. Dalam kata lain hakim Mahkamah Persekutuan tidak berlaku adil mengikut undang-undang."

"Kebetulan, ultra vires dalam konteks ini tidak bermaksud ‘diluar perundangan’ tetapi bermaksud ‘diluar bidang kuasa pentadbiran perundangan, melampaui skop kuasa mahkamah.”

Kenyataan akademik ini yang cukup beralaskan hujah undang-undang wajar dihargai walaupun ianya dilihat tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah tertinggi negara. Sandaran N.H Chan adalah jelas bahawa doktrin pemisahan kuasa mesti berlaku di negara kita. Bagi beliau, legislatif tidak boleh dicampuri oleh badan kehakiman. Teori demokrasi ini dipertahankan dalam sesebuah negara demokratik bagi menjamin kestabilan berkekalan. Sekiranya seorang speaker iaitu syiar legislatif boleh dicabar oleh Mahkamah ia petanda demokrasi berada di paras bahaya! Pastinya selepas ini saya percaya seluruh komponen legislatif seperti imuniti, rang undang-undang dan keanggotaan pasti terbuka untuk dicabar, walaupun rakyat memilih anggota legislatif ini melalui pilihanraya. Kuasa rakyat adalah zero..
Justeru, perbedaan secara hujahan ini adalah biasa. Ia sama seperti kita tidak bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, maka kita berpeluang untuk membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Di peringkat ini, seorang peguam mesti mendapatkan alasan penghakiman hakim bicara dan berdasarkan alasan tersebut, memorandum rayuan (mengapa rayuan dibuat) akan dibuat dan biasanya akan dimulakan dengan ayat "Yang Arif Hakim khilaf (silap) apabila memutuskan..."

Apakah apabila kita mengkritik penghakiman hakim di dalam rayuan ini dianggap bodoh? Sebab tu saya tergelak besar sebab Nazri ini seorang peguam juga. Cuma saya tak tahu sama ada dia peguam Mahkamah ataupun hanya jadi tukang sign dokumen perjanjian yang dibuat oleh keraninya sahaja. Dalam undang-undang, perbezaan hujah terhadap penghakiman adalah normal dan diiktiraf. Yang penting, pihak-pihak yang terlibat mematuhi keputusan tersebut. Kritik penghakiman dan tidak patuh pada penghakiman adalah 2 perkara berbeza. Seseorang pihak dalam tindakan Mahkamah wajib mematuhi keputusan Mahkamah tetapi berhak mengkritik penghakiman tersebut dalam lunas undang-undang yang betul. Ini diajar dalam institusi undang-undang negara ini.

Saya ingin perturunkan kenyataan Nazri:

Dia (Ngeh) sepatutnya sebagai seorang peguam mesti menghormati keputusan mahkamah. Kalau dah peguam tidak menghormati, macam mana rakyat biasa akan akan akur kepada setiap keputusan yang dibuat mahkamah. Pada saya tidak syak lagi keputusan mahkamah itu adalah tepat dan betul, itu merupakan satu kenyataan bodoh daripada seorang peguam bagi saya,” katanya.

Berdasarkan hujah saya tadi, anda semua buatlah perbandingan..Cuma saya ingin hangatkan ingatan ada semua terhadap satu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Seruan Gemilang Makmur v Pengarah Hutan Negeri & Kerajaan Pahang (No kes bicara: 21-9-2002 ), dimana Mahkamah Persekutuan (Mahkamah Tertingi negara dan Mahkamah yang sama membicarakan kes Sivakumar) memutuskan bahawa Kerajaan Pahang mesti membayar gantirugi sebanyak hampir RM62 juta kepada syarikat tersebut.Tetapi sehingga hari ini tiada langsung bayaran dibuat kepada syarikat tersebut terhadap gantirugi yang dipohon.

Saya faham bahawa peguam Kerajaan Pahang mungkin tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, tetapi mereka wajib patuh kepada arahan bayar gantirugi tersebut. Walaubagaimanapun, sehingga hari ini, satu sen pun tidak dibayar oleh Kerajaan Pahang kepada syarikat tersebut. Saya nak tegaskan pada Nazri, bahawa ini baru dikatakan tidak hormati Mahkamah dan bagaimana nak harapkan rakyat hormat Mahkamah sedangkan kerajaan yang tubuhkan institusi Mahkamah ini pun tidak hormati Mahkamah.

Justeru, tahulah kita siapa bodoh, dungu dan dangkal sebenarnya...

Wednesday, March 25, 2009

Politik Wang & Rasuah: Umpama Khinzir & Babi?


Isu politik wang dalam pemilihan UMNO baru-baru ini mengundang polemik yang bukan sedikit di negara kita. Selain melibatkan perspektif sosial dan pembentukan masyarakat sivil di negara ini, implikasinya juga turut menyentuh isu perundangan yang amat serius. Masyarakat kita terkeliru apakah politik wang itu merupakan suatu jenayah di sisi undang-undang negara ini atau ianya hanyalah satu prosedur biasa tatatertib atau hasil inkuiri dalaman sesebuah parti yang bersifat immune (kebal) dari tindakan pendakwaan Mahkamah awam negara kita?


Di negara kita, jenayah rasuah tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (selepas ini dirujuk Akta SPRM) yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini hasil rejuvenasi Akta Pencegahan Rasuah 1961. Pentafsiran konotasi Rasuah adalah jelas dan teratur di sini. Seksyen 16 hingga 28 dalam Akta SPRM tersebut memperuntukkan dengan jelas pengertian jenayah yang boleh dikategori dan didakwa. Ianya meliputi suapan,sogokan mahupun menggunakan kedudukan bagi tujuan rasuah adalah jelas satu kesalahan yang boleh dihukum dengan pelbagai hukuman termaktub di situ juga.


Manakala mekanisma pendakwaan dibawah Akta SPRM pula adalah seperti biasa iaitu bermula dari laporan pengadu (First Information Report), disiasat kemudian diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh seperti terkandung dalam Seksyen 59 Akta SPRM tersebut. Seksyen 29 hingga 49 pula adalah jelas suatu kaedah jelas bagaimana sisatan boleh dibuat. Walaupun saya kurang bersetuju dengan sesetengah kaedah di situ seperti peguambela tertuduh perlu mendedahkan maklumat di peringkat siasatan bukan di peringkat perbicaraan seolah-olah menepis beban pembuktian (burden of proof) yang harus dipikul oleh pendakwaan seperti kebiasaannya, tetapi bagi saya tatacara siasatan ini paling kurang bersungguh-sungguh inginkan siasatan yang agak dalam dan menyeluruh.


Namun isu yang ingin saya bawa hari ini, pertama apakah pengertian rasuah di dalam Akta SPRM ini meliputi seluruh badan, institusi dan setiap inci negara ini? Atau sekiranya ada badan lain yang boleh menghakimi jenayah rasuah ini yang hanya berlaku dalam kelompok kecil mereka sendiri seperti sekiranya jenayah rasuah yang berlaku dalam sesebuah parti maka SPRM tiada kuasa menyiasat? Sekiranya jawapannya adalah ya, apa autoriti dan apa pula keistimewaan badan tersebut sehingga tidak mampu disentuh SPRM?


Isu ini berat dan perlu perhatian serius badan kehakiman, institusi eksekutif mahupun Parlimen itu sendiri. Hujah saya? Terdapat pendakwaan terhadap beberapa individu dalam jenayah rasuah seperti Dato' Norza Zakaria, di Mahkamah Sivil negara kita. Bandingkan pula jenayah yang sama tetapi hanya diambil tindakan dalaman Lembaga Disiplin UMNO seperti terhadap Dato Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin. Untuk rekod, Mohd Ali dan Khairy didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Perkara 10.1 itu berbunyi: Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah mana-mana melanggar peruntukan Tataetika Ahli Umno, maka Lembaga Disiplin bolehlah menganggap, setelah berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.


Manakala Norza pula dituduh melakukan dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, iaitu kesalahan memberikan 2 suapan bernilai masing-masing RM1900.00 dan RM1500.00 bagi memenangi jawatan MT UMNO yang ditandinginya. Kedua-dua kesalahan yang dilakukan Mohd Ali dan Khairy dengan Norza adalah termasuk dalam Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM. Iaitu melibatkan ejen dan prinsipal yang mana apabaila ejen mereka melakukan jenayah rasuah maka prinsipalnya dianggap melakukan perkara sama.


Secara perundangannya, kedua-dua kesalahan tersebut perlu dibawa ke Mahkamah terbuka dan dibicarakan melalui bidangkuasa Akta SPRM. Walaupun sabitan oleh Lembaga Disiplin UMNO yang diilihat sebagai forum inkuiri dalaman yang menghukum jenayah rasuah dalaman UMNO, hakikatnya Norza juga ahli UMNO yang tertakluk kepada Lembaga Disiplin UMNO. Kenapa ianya tidak berlaku kepada Norza?



Parti politik oposisi seperti PAS dan PKR kemudiannya membuat beberapa Laporan kepada SPRM dan juga kepada Polis berhubung dengan sabitan oleh Lembaga Disiplin. Sama ada ia bersifat mengaut keuntungan politik atau sebaliknya, namun pada hemat saya ia harus dianalisa secara saintifik keperundangan. Apa yang dipohon oleh barisan oposisi ini saya percaya adalah satu pendakwaan dibuat terhadap kesalahan yang disabitkan oleh Lembaga Disiplin UMNO terhadap pesalah-pesalah terbabit di Mahkamah terbuka di negara kita sebagaimana terhadap Norza. Apakah apabila Lembaga Disiplin UMNO telah mensabitkan kesalahan rasuah yang dilakukan, maka ia tidak lagi menjadi kesalahan jenayah yang mesti dihukum di Mahkamah?



Ketika mengiringi Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Tuan Haji Syed Abd Rahman membuat Laporan ke SPRM baru-baru ini, suasana agak kecoh pada awalnya, apabila pegawai penerima aduan SPRM enggan menerima laporan yang dibuat wakil PAS Pahang berkenaan. Walaupun berkali-kali Dato' Tuan Ibrahim menerangkan bahawa laporan adalah bagi tujuan mendesak satu siasatan dibuat lantaran keputusan Lembaga Disiplin UMNO tersebut, pegawai SPRM menyatakan bahawa PAS tiada maklumat berhubung jenayah rasuah dalam UMNO, maka PAS tidak boleh membuat laporan. Saya kemudiannya menerangkan kepada pegawai berkenaan bahawa tujuan PAS buat laporan adalah memohon satu pendakwaan (charge) dibuat kepada pesalah-pesalah yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO. Saya turut menerangkan bahawa bukti rasuah tersebut harus diperolehi dari Lembaga Disiplin UMNO. Ia bukanlah semata-mata laporan siasatan tetapi lebih mirip kepada tindakan "conversion" dari tindakan pensabitan Lembaga Disiplin kepada pendakwaan di Mahkamah terbuka.

Saya memetik Seksyen 29(1) Akta SPRM tersebut hanya menjelaskan bahawa tiap-tiap aduan yang berhubungan dengan perlakuan rasuah di dalam Akta SPRM boleh dibuat secara lisan atau bertulis. Ia langsung tidak menyebut sama ada ia perlu dibuat oleh orang yang terlibat secara langsung di dalam perlakuan jenayah rasuah tersebut atau tidak. Jadi, sesiapa pun termasuk PAS layak membuat aduan. Setelah saya berhujah begitu, barulah pegawai tersebut kelihatan agak serba salah dan memohon keizinan bertemu Pengarah SPRM Pahang. Akhirnya beliau membenarkan PAS Pahang membuat laporan rasmi terhadap pesalah-pesalah UMNO. Saya tidak meragui secara teoritikalnya peranan SPRM dalam menyiasat laporan PAS tersebut. Tetapi indikasi realitinya sama-sama lah kita saksikannya. Janganlah jadi seperti nasib Laporan BPR terhadap Menteri Besar Pahang oleh syarikat Seruan Gemilang Makmur berhubung penyelewengan kawasan balak, yang masih menjadi tanda tanya yang penuh misteri..



Apa yang nak saya utarakan kali ini, adalah betapa perlunya masyarakat kita membenci rasuah sebagi satu jenayah berat yang perlu dielakkan oleh semua. Apapun 'tagline' yang digunakan bagi menggambarkan jenayah ini termasuklah "suapan","sogokan", "habuan", "rasuah politik" ataupun "politik wang", ianya tetap satu kudis bernanah yang bersifat menjahanamkan agama, bangsa dan negara. Justeru, janganlah kita cuba untuk melabelkan status kurang haramnya dengan label-label tersebut, kerana rakyat hari ini tahu persamaannya antara khinzir dan babi..dan yang paling bahaya, janganlah kita ditertawakan spesis ini..

Monday, March 16, 2009

Perlantikan Semula Hakim Pakistan:Kejayaan Peguam

Pengumuman Yusuf Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan dengan restu Presiden, Asif Ali AL Zardari untuk melantik semula Iftikhar Chaudhry, bekas Ketua Hakim Mahkamah Agung Pakistan yang dipecat Pervez Musharraf walaupun diharapkan tetapi agak mengejutkan ramai pihak. Tindakan drastik kerajaan baru Pakistan ini yang dilihat mengotakan manifesto pilihanraya baru-baru ini tetapi sebenarnya terpaksa tunduk kepada desakan pengamal undang-undang terutama para peguam yang turun ke jalan raya menuntut agar reformasi kehakiman dibuat dan Chaudhry dilantik semula.

Siapa sebenarnya Iftikhar Chaudhry ini? Beliau adalah seorang hakim yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Agung pada 2000 dan dilantik sebagai Ketua Hakim termuda Pakistan pada bulan Jun 2005. Beliau telah dipecat oleh Pervez Musharraf, adalah seorang hakim yang membicarakan banyak kes salah laku dan kontroversi pada era rejim Musharraf. Beliau banyak "membuka semula" kes-kes berprofil tinggi seperti dalam perbicaraan tertuduh yang dikatakan "dihilangkan" oleh pihak berkuasa atas alasan "terrorism". Beliau juga mengarahkan agar bekas Perdana Menteri sekutu Musharraf, Shaukat Aziz didakwa atas pelbagai tuduhan salahguna kuasa seperti dalam kes penswastaan syarikat besi dan pembatalan beberapa projek melibatkan kepentingan negara.
Pentadbiran Musharraf menekan Chaudhry untuk meletakkan jawatan tetapi beliau enggan tunduk dan akhirnya digantung pada 9 Mac 2007 atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan. Chaudhry mengkritik hebat Musharraf yang bertanding jawatan Presiden tetapi enggan meletakkan jawatan sebagai Jeneral Tentera. Chaudhry juga menuduh tindakan Musharraf yang kemudiannya meluluskan undang-undang darurat sebagai tidak menepati perlembagaan Pakistan.

Tekanan terhadap kerajaan Pakistan bermula apabila barisan peguam Pakistan bersatu menghantar bantahan, melancarkan mogok sehinggalah turun ke jalan raya mendesak agar reformasi kehakiman dilaksanakan termasuklah Chaudhry dilantik semula. Peguam Pakistan yang diketuai Ahsan, bertindak berani menyebabkan kerajaan Pakistan terpaksa tunduk. Siri-siri demonstrasi berlaku saban minggu sehingga ke tahap memulaukan persidangan Mahkamah berjaya mengembalikan kegemilangan kehakiman yang diperkosa regim Musharraf.
Sekarang, Pakistan berjaya membuktikan bahawa suara rakyat dan keberanian para pengamal undang-undang. Kejayaan ini seharusnya menjadi inspirasi rakyat dan para peguam terutamanya. Saya tidak nafikan bahawa peguam negara kita pernah menggegarkan negara dalam beberapa isu seperti dalam tahun 1970-an yang berarak ke Parlimen sehingga terdapat di kalangan mereka didakwa. Begitu juga dalam krisis perlembagaan 1983 dan 1990-an. Terkini, "walk for justice" dianjurkan Majlis Peguam Malaysia berjaya menghimpunkan ribuan peguam di negara ini berhimpun di Palace of Justice, Putrajaya. Malangnya di negara kita, kebangkitan peguam tidak banyak membantu kebangkitan rakyat. Maksud saya, Peguam kita tidak bangkit bersama-sama rakyat dalam banyak isu seperti Reformasi 1998, Isu BERSIH, HINDRAF, GMI PPSMI melainkan hanya sebagai pembela mereka yang tertangkap di Mahkamah.

Pada hemat saya, peguam negara kita termasuk saya, masih tidak matang dan masih terlingkung dalam belenggu kerjaya yang sempit. Peguam negara kita masih lagi dirantai dengan karenah nak jaga "panelship", kerja-kerja J.I.D,"legal skill" yang lemah, nak jaga "survival firm" dan takut tak dapat kerja guaman. Etika kebebasan dan "non-partisan" harus dipegang oleh para peguam negara ini. Mungkin juga telahan saya salah. Cuma apa yang bermain di fikiran tentang kesuraman suara kebangkitan peguam ini adalah; mungkin kerana tiadanya hakim yang benar-benar berwibawa untuk dibela apatah lagi personaliti Ketua Hakim Negara kini yang amat diragui, tidak seperti Iftikhar Chaudhry!

Friday, March 6, 2009

Perjalananku..

Lama dah tak menulis...lagipun saya bukannya tokoh untuk ditunggu-tunggu buah tangan saya. Cuma sejak kebelakangan ini, saya jadual saya agak padat dengan perbicaraan mahkamah sama ada di Kuala Lumpur mahupun di beberapa tempat seperti Pahang, Selangor dan Johor. Semuanya memerlukan komitmen yang bukan kecil.. Insyallah kesempatan yang ada dapat kita berkongsi bicara..

Kali ini saya nak bawa teman-teman semua lari sedikit dari hiruk pikuk dan kemelut undang-undang yang kian memeningkan terutama di negeri Kerajaan Pasola, negara Pasir Dua Butir..Jujurnya, saya tak berapa minat untuk berkongsi kehidupan peribadi dan rutin harian saya, tetapi apa yang saya cuba utarakan adalah realiti kehidupan masyarakat di sekeliling kita..Siapa yang harus bertanggungjawab dan apa yang harus dibuat..Terperap dalam kamar bicara membuatkan saya rasa tanggungjawab pengamal undang-undang macam saya tak harus hanya berpegang pada retorik dan idea semata-mata..Rakyat perlukan penglibatan golongan macam saya membela mereka..Ambillah kalau ada kebaikan..moga ALlah jauhkan dari sifat bangga dan takbur dari diriku..

Pada 23/2/2009 lalu, Pejabat Agama Islam Daerah Rompin (PAID) mengadakan Liga Masjid yang menyaksikan setiap masjid dalam daerah Rompin menghantar pasukan bolasepak masing-masing. Kebetulan saya selalu berjemaah di Masjid At Taqwa, saya terpilih menyertai pasukan yang dinamakan At Taqwa.Pasukan kami terdiri dari Imam 2, Setiausaha, Naqib dan AJK Masjid yang lain. Menariknya pasukan kami turut diwakili 2 orang anak muda yang selalu ke masjid. Pasukan kami hanya seri di pusingan awal, tetapi berjaya ke separuh akhir atas perbezaan jaringan. Di separuh akhir kami berjaya mengalahkan juara bertahan Masjid Kampung Leban Chondong 2-1. Di perlawanan akhir kami tersungkur 2-0.. Walaupun kalah kami puas hati..Di sini, saya dapat melihat perpaduan masyarakat atas semangat kesukanan. Tetapi apa yang paling membanggakan saya, semua pemain dapat mematuhi agama untuk bersukan apabila menutup aurat dan bermain secara fair play. Di sinilah saya menyedari bahawa indahnya Islam itu..Semua terpelihara.

Tengahari itu pula saya bersama kawan-kawan menziarahi fakir miskin di sekitar Rompin dan menyampaikan bantuan sekadarnya..Dalam fikiran saya, masyarakat Rompin ni takdela sesusah mana. Kami memberikan bantuan kebeberapa keluarga. Namun,apabila tiba satu kawasan saya dimaklumkan Haji Hanafiah (usahawan berjaya di Pahang) bahawa rumah yang akan dilawati agak pelik. Saya masuk ke rumah tersebut. Agak tinggi. Setelah mengamatinya saya dapati ia adalah sebuah rumah jemuran tembakau (ban tembakau). Tanah hitam kesan bakaran adalah lantai bagi keluarga ibu dengan 6 orang anak tersebut. Manakala tempat makan adalah di atas secebis tikar getah yang dihamparkan dengan lilin menerangi kawasan tersebut di waktu malam. Tempat tidur pula di buat setingkat beralaskan papan lapis. Mengalir air mata saya.. Bagi saya, keadaan itu tak wajar ada di zaman moden di negara kita.

Kami menziarahi pula penduduk Kampung Kurnia. Di sini penduduk tak pernah merasai nikmat air paip sejak merdeka. Sudahlah mereka umpama pendatang tanpa izin yang hidup di bumi sendiri tanpa diberikan geran hakmilik. Perkara ini pernah saya dedahkan dalam Sinar Harian bari-baru ini. Pemerintah saban tahun pilihanraya menjanjikan pemberian geran, namun ia hanya tinggal janji. Kami sempat menyampaikan sedikit bantuan di sini kepada beberapa penduduk.

Lepas habis pada kira-kira jam 6 petang, saya bersiap untuk ke Masjid Pantai Bernas, Rompin untuk bersama-sama dalam majlis tahlil arwah Ketua Kampung Pantai Bernas, allahyarham Md Ali Bin Sulong yang meninggal dunia dalam satu kemalangan maut baru-baru ini. Saya juga sempat menziarahi seorang lagi mangsa yang cedera parah patah kaki dan retak lututnya yang terlibat sama dalam kemalangan itu. Saya juga menawarkan khidmat guaman percuma kepada keluarga allahyarham dan mangsa yang cedera tersebut. Bagi saya, mungkin saya berbeza ideolo dan pegangan politik dengan keluarga Allahyarham, tetapi saya rasakan bahawa perjuangan saya membela rakyat merentasi sempadan politik. Saya gembira bertemu mata dengan keluarga untuk sekurang-kurangnya mengucapkan takziah.

Selepas itu pula saya bergegas untuk menerima jemputan berceramah bersama-sama Ahli Parlimen Indera Mahkota dan ADUN Tras, Choong Siew Onn berhubung dengan isu semasa terutama persoalan undang-undang kemelut di Perak.

Sesungguhnya apa yang saya lalui ini adalah pengalaman berharga bahawa kita adalah manusia yang saling memerlukan. Yang berkuasa jangan angkuh, yang kaya jangan lupakan daratan, yang pandai jangan membodohkan teman dan yang susah jangan menyesali takdir.. Saya bukan sahaja bersyukur menjadi peguam berbicara di Mahkamah tetapi juga gembira membantu masyarakat dalam apa jua lapangan...Jumpa lagi..

Thursday, February 19, 2009

Perhimpunan Haram: Polis didakwa!

Biasanya dalam keadaan biasa, pihak polis akan menahan, menyiasat seterusnya mendakwa di Mahkamah seseorang yang terlibat dengan perhimpunan haram. Contoh terbaik adalah seperti isu 'rusuhan' di Perak, himpunan HINDRAF, himpunan BERSIH dan lain-lain lagi dimana individu-individu tertentu dikenalpasti untuk didakwa.
Walaubagaimanapun, kes yang saya kendalikan hari ini bersama peguam Mohamed Hanipa Maidin berbeza apabila pihak polis disaman kerana menangkap dan menahan para pemimpin sebuah parti politik ketika berceramah di Muadzam Shah, Rompin, Pahang di dalam markas parti tersebut. Kebetulannya saya berada secara langsung dalam insiden tersebut.

Dr Mohd Hatta Ramly
Ahli Parlimen Kuala Krai

Faktanya seperti berikut: Kira-kira jam 12 malam sekitar tahun 2004 selepas pilihanraya umum, ketika hendak tidur saya dapat panggilan dari Ustaz Nasruddin Hassan (sekarang Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat) bahawa polis telah buat serbuan dan menangkap para penceramah termasuk pengerusi majlis ketika sedang berceramah di Bandar Muadzam Shah. Antara yang kena tangkap adalah Dr Hatta Ramli (sekarang Ahli Parlimen Kuala Krai), saudara Mazlan Mohamad Yassin (seorang tokoh motivator dan ahli politik terkenal di Rompin) dan Ust Nazri Ahmad sebagai pengerusi majlis. Saya mengarahkan supaya Ust Nasruddin dapat pergi ke Balai Polis Muadzam untuk buat laporan polis atas gangguan polis dan tangkapan tersebut. Saya kemudiannya dimaklumkan bahawa tahanan akan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Rompin (IPD). Saya tunggu tahanan di IPD Rompin tersebut pada malam itu kira-kira jam 2 pagi. Saya dihalang dari masuk ke IPD tersebut oleh pengawal atas arahan OCPD (Ketua Polis Daerah Rompin). Saya tegaskan bahawa IPD adalah kawasan awam dan tiada sebab saya dihalang. Saya minta OCPD keluar jika tak bagi saya masuk kalau dia berani.

Saudara Mazlan Mohamad Yassin (berbaju batik)Motivator dan ahli politik

OCPD tersebut keluar ke pintu masuk dengan diiringi oleh anggota Unit Tindakan Ringan yang menyerbu dan tangkap penceramah-penceramah tadi. Saya bagitau dia, bahawa dia takde hak dan kuasa nak tangkap penceramah tersebut apatah lagi ia dibuat di kawasan persendirian. Seksyen 20 dan 20A Akta Polis memperuntukkan dengan jelas bentuk perhimpunan yang perlukan permit. OCPD tu minta saya baca undang-undang tersebut betul. Saya kata,banyak kes Mahkamah yang mentafsirkan bentuk perhimpunan yang perlukan permit. Dia cabar saya bawa ke Mahkamah.. Saya kata : You will see!!


Ust Nazri Ahmad
Ketua Pemuda PAS Rompin
3 orang penceramah tersebut ditahan sehari semalam dan digari ketika keluar dari IPD Rompin untuk diambil keterangan. Atas arahan ketiga-tiga penceramah tersebut, saya memfailkan kes ke mahkamah tinggi Kuantan. OCPD tersebut kami saman di atas kapasiti individu dan bukan sebagai OCPD. Saya nak ajar keangkuhan dia! Dalam majlis ceramah tersebut, polis buat rampasan barang-barang ceramah seperti P.A sistem dan lain-lain. Saya sempat malam berhadapan OCPD tersebut cabar dia supaya dakwa kesemua mereka yang ditangkap. Tetapi sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya. Yang menyedihkan sehingga kini barang-barang yang dirampas langsung tak dipulangkan. Saya ada menulis kepada Jabatan Peguam Negara, tetapi dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Pahang. Bila saya tulis surat kepada mereka kata belum dapat apa-apa dari IPD Rompin. Bila saya tulis kepada IPD Rompin, mereka kata kertas siasatan ada pada Jabatan Peguam Negara. Saya nak tegaskan bahawa inilah kedangkalan dan ciri-ciri kebaangsatan pada Jabatan Peguam Negara, penasihat Undang-undang Pahang dan IPD Rompin.

Kes saman ini telah berlangsung beberapa tahun dimana hari ini Pihak Plaintif-Plaintif (Orang Kena Tangkap) telah selesai memanggil saksi-saksi. Hari ini adalah untuk memanggil saksi Defendan dan dijangka OCPD tersebut akan dipanggil memberikan keterangan. Mujurlah peguamcara Defendan Encik Pritam Singh pohon tangguh atas sebab pertukaran hakim maka adalah perlu pihak-pihak mendapatkan Nota Keterangan (Notes of Evidence) dari catatan rekod saksi Hakim yang mencatatkannya terdahulu. Mahkamah telah tetapkan tarikh 17 dan 24 April ini sebagai tarikh sambung bicara.
Kes ini banyak memberikan pengajaran bagi saya dimana saya buat satu bantahan terhadap Yang Arif Hakim ketika itu di atas alasan bahawa Hakim tersebut tak boleh dengar kes ini memandangkan sejarah beliau sebagai seorang aktivis UMNO yang mana kes ini melibatkan PAS, parti lawan UMNO. Hakim melenting dengan bertegas menyatakan bahawa beliau telah angkat sumpah taat setia sebagai hakim. Beliau pertikaikan saya adakah saya boleh dianggap PAS kalau buat kes orang PAS? Saya jawab, saya hanya seorang peguam untuk mempersembahkan kes di hadapan Hakim, tapi beliau adalah hakim yang bertanggungjawab membuat keputusan. sudah tentu berbeda tugasnya.
Akhir sekali, saya nak tegaskan kat sini, bahawa anggota keselamatan tidak boleh diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk mengambil tindakan agar ia tidak menjadi ancaman kepada pihak tersebut. Saya nak tegaskan OCPD Rompin dan mana-mana pegawai polis negara ini, supaya jika berjalan memandang langit jangan lupa rumput di bumi, kerana kita semua manusia yang dijadikan ada lebih dan kurang masing-masing..
Kepada bekas OCPD Rompin yang disaman tersebut saya nak bagitau: "Aku mungkin budak hingusan dari segi umurku..tapi di Mahkamah kelak kita akan tau siapa yang berhingus nanti"..

Monday, February 16, 2009

Tindakan Mahkamah : Nizar jangan terlalu yakin pada Mahkamah

Krisis yang melanda Kerajaan Pakatan Rakyat Perak amat membingungkan institusi perundangan negara ini. Sama ada dari aspek legislatif dan eksekutif, ia dilihat seolah-olah memerlukan kepakaran dan pentafsiran kehakiman yang bukan sedikit. Dalam perkara ini, Nizar yang mengetuai Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memfailkan kes ini ke Mahkamah dimana beerti Pakatan Rakyat masih lagi percayakan sistem perundangan dan kehakiman negara ini.
Sebagai pengamal undang-undang, adalah menjadi "rukun" bagi saya dan kawan-kawan yang lain untuk percaya kepada beberapa prinsip-prinsip undang-undang ekuiti yang cuba diketengahkan bagi menggambarkan ketulusan dan kebenaran sesuatu undang-undang yang dibuat. Prinsip seperti "He who comes into equity must come with clean hands"(Sesiapa yang ingin melaksanakan keadilan, mesti datang dengan tangan yang bersih), "Equity follows the laws"(Keadilan adalah menurut undang-undang), "He who seeks equity must do equity" (sesiapa yang ingin keadilan harus melaksanakan keadilan terdahulu) dan banyak lagi adalah antara panduan perlaksanaan proses undang-undang negara ini. Malahan negara kita telah menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman sebagai lambang bahawa kerajaan pusat kita beria-beria untuk memperbaiki keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman kita.
Cuma isunya, adakah kesemua prinsip-prinsip ini secara realitinya wujud dalam sistem kehakiman negara kita? Saya nak berkongsi dengan pengunjung semua satu kes Mahkamah sebagai bukti kemurnian sistem kehakiman kita.

Kes ini dah difailkan kira-kira tahun 2002 iaitu kes antara syarikat Seruan Gemilang Makmur v Pengarah Hutan Negeri & Kerajaan Pahang (No kes: 21-9-2002 ) di Mahkamah Tinggi Kuantan. Kes ini adalah berhubung dengan kegagalan Kerajaan Pahang mematuhi kelulusan kawasan pembalakan yang dianugerahkan kepada syarikat tersebut. Kerajaan Pahang kalah di Mahkamah Tinggi tetapi Kerajaan Pahang merayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya tetapi tetap ditolak. Akhir sekali, Kerajaan Pahang sekali lagi merayu ke Mahkamah Persekutuan tetapi Hakim-Hakim yang bersidang menolak rayuan tersebut. Penghakiman berjumlah RM60 juta diperolehi terhadap Kerajaan Pahang dan faedahnya masih berjalan. Pengarah-pengarah Seruan Gemilang bertemu saya dan memohon bantuan untuk memfailkan permohonan perlaksanaan (execution) terhadap kerajaan Pahang. Saya bercadang memfailkan permohonan Writ Sitaan dan Jualan (Writ Sale and Seizure) walaupun mengetahui tindakan tersebut tidak dibenarkan oleh Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Tapi saya punyai hujah antaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 8 iaitu hak yang sama rata di sisi undang-undang. Isunya kalau sama rata kenapa rakyat boleh disita, kerajaan tak boleh? Saya ada otoriti dalam perkara ini. Jadi, sebelum sita saya diminta failkan permohonan mendamus (perintah untuk bayar) terhadap kerajaan Pahang. Walaubagaimanapun, sehingga kini, Kerajaan Pahang tak bayar seposen pun ! Jelas Kerajaan Pahang ingkar perintah Mahkamah..Mahkamah yang dibuat oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Pahang.

Relevannya perkara ini dan realiti di Perak adalah satu persoalan, masihkah ada lagi harapan kepada sistem kehakiman negara ini? Masih wujudkah prinsip-prinsip ekuiti dalam sistem keadilan negara ini? Apakah Suruhanjaya Kehakiman benar-benar punyai spirit keadilan dan pentas pengadilan tanpa bias? Pada hemat saya, jika dilihat kepada kes Seruan Gemilang di atas, walaupun kes ini dimenangi sebuah syarikat kerdil terhadap Kerajaan Pahang, keengkaran dan keangkuhan Kerajaan Pahang terhadap keputusan Mahkamah, memperlihatkan betapa mudah dan rapuhnya Hakim dan Kehakiman negara kita, apabila yang membuat undang-undang melanggar undang-undang..

Y.A.B Nizar, jadilah penderhaka kepada undang-undang tak adil!