Wednesday, December 8, 2010

"AMENO Juara Rakyat"



Hari ini sibuk sungguh.Sibuk dengan bicara kes dari pagi lagi...Mujurlah saksi pendakwaan tak hadir hari ini, Mahkamah menangguhkan bicara. Baru berkira-kira untuk masuk pejabat melihat beberapa fail yang memerlukan 'sentuhan', telefon berdering. Seorang perkenalkan diri sebagai Mat E memohon untuk bertemu saya di rumah beliau di sebuah perkampungan terpencil di Jalan Sungai Lumpur, berhampiran Kampung Sungai Meranti, Rompin, Pahang.

Allah sahaja yang tahu letihnya tubuh ini. Jarak dari Bandar Rompin ke situ boleh tahan juga...tapi saya percaya ini satu amanah besar Allah, saya keberatan untuk menolak.Sampai di sana, terpaksa pulak mengharungi kawasan lecak berlumpur..Nama pun Sungai Lumpur...he..he.

Tersergam rumah walaupun sederhana tapi selesalah nampaknya..Sangkaan saya meleset bila dimaklumkan bahawa rumah tersebut adalah milik bapa mertua beliau..Beliau hanya menumpang di situ dengan anak beliau seramai 8 orang dan isteri beliau. Rumah tersebut pula dibina di atas tanah berstatus TOL. Beliau pula menanggung semua anak-anak dengan gaji RM500 hingga RM600 sebulan sebagai mekanik. Bagi saya, kes Mat E ini biasa sahaja sebab ramai orang miskin berkedudukan seperti beliau.

Beliau akhirnya membuka cerita. Mat E atau nama sebenarnya Ahmad Baijuri Hariff adalah seorang ahli dan aktivis UMNO khususnya di Cawangan Sepayang. Beliau merupakan Ketua Penerangan Pemuda Cawangan Sepayang. Beliau aktif dalam UMNO selama 17 tahun. Beliau adalah Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi bagi UMNO Rompin khususnya DUN Tioman dalam dua siri pilihanraya iaitu 2004 dan 2008. Beliau adalah perwakilan UMNO Cawangan ke Mesyuarat UMNO Bahagian Rompin yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya baru-baru ini. Beliau jugalah pasukan pengiring Dato' Jamaluddin Jarjis (Ahli Parlimen Rompin) sewaktu pilihanraya kecil Pendang tidak lama dulu rentetetan kematian Presiden PAS. Beliau jugalah aktivis masyarakat yang banyak membantu kejayaan program sama ada anjuran UMNO dan kerajaan di Rompin.

Hari ini beliau kecewa dengan parti yang ditatangnya selama ini. Beliau menunjukkan sekeping surat yang dihantar ke IbuPejabat UMNO Malaysia di PWTC. Tertera tajuk surat. PERMOHONAN KELUAR UMNO!!

Terdiam saya. Kenapa marah sangat dengan UMNO ni, saya cuba mengorek cerita sebenar. Rupa-rupanya, Mat E ni lama sudah perjuangkan isu hakmilik tanah di kampungnya kerana ramai yang masih menumpang rumah saudara mara di situ. Tiada tanah untuk diduduki. Alasan, mereka orang Kedah.

Mat E perjuangkan isu orang muda setempat sehingga menjadi tulang belakang sewaktu program baktisiswa sebuah IPTA di Kampung Sepayang baru-baru ini. Namun kemuncak kemarahan Mat E, apabila beliau ingin memohon pertolongan YB untuk memohon tanah bagi kemudahan penduduk setempat di kampungnya. Jawab YB: " Pegi la tebang pokok nibung buat tiang rumah". Bermula tarikh itu, beliau bertekad untuk meninggalkan UMNO yang disayanginya sekian lama. Masih terngiang-ngiang beliaulah yang menjadi pembantu YB ke hulu hilir berkempen untuk memenangkan YB tersebut.

Mat E bukan meminta projek berjuta, kontrak bertimbun..tetapi cukuplah pemberian hakmilik tanah kepada beliau dan orang kampung nya. Kalau tidak mahu diberi pun jangan mereka ini dihina.

Sesungguhnya apa yang berlaku pada Mat E, adalah antara kisah sedih penindasan pemimpin UMNO dan BN pada rakyat. Mat E sebagai ahli UMNO pun dikeji demikian rupa, apa jaminan rakyat biasa diberi pembelaan. Saya melihat Mat E perlu dibantu. Bukan kerana parti, tapi jasa beliau kepada masyarakat setempat. Mat E terpinggir kerana membantu YB dan UMNO. Beliau jatuh susah dan miskin sehingga kediaman sendiri pun tiada.


Mat E sempat memberitahu saya bahawa beliau ada membina rumah secara beransur-ansur. Sedih saya tengok rumahnya. Walaupun tahu isu ini bakal menjadi tamparan bagi YB memandangkan Mat E adalah ahli UMNO dari Kampung yang sama, saya melihat lebih jauh bahawa Mat E perlu diberikan pembelaan. Mat E..walupun namamu tidaklah sehebat wakil rakyat, anda punyai satu keberanian...kami bersamamu..AMENO JUARA RAKYAT...

Friday, October 15, 2010

Dihalau sebuah kerajaan jahat



Tanggal 10 Oktober 2010, dengan linangan air mata, saya berkemas dan mengarahkan semua kakitangan saya mengosongkan premis yang saya sewa dari sebuah agensi kerajaan pusat. Artikel saya sebelum ini menceritakan dengan panjang lebar sejarah saya dihalau..

Isnin 11 Oktober 2010, saya brhadapan masalah apabila saya terpaksa melayani ramai klien saya. Mereka secara rutinnya ramai datang mencari saya dan kebetulannya hari tersebut kehadiran adalah luar biasa. Saya mempunyai kes hartanah yang memerlukan untuk menandatangani borang pindahmilik, gadaian dan sebagainya. Mahu atau tidak, saya terpaksa menggunakan bonet kereta saya untuk dijadikan meja bagi tujuan tandatangan oleh klien-klien saya.

Saya turut dimaklumkan oleh jiran-jiran peniaga bersebelahan saya (di pejabat lama), bahawa ramai yang mncari saya termasuk yang merungut kerana saya seolah-olah cuba menyalahgunakan wang hartanah mereka. Tindakan ini sudah tentu memburukkan imej saya.
Hari berikutnya, saya masih gagal memperolehi pejabat baru, memaksa saya membuat pejabat sementara di bawah sepohon pokok dengan mendirikan khemah (kanopi) sementara. Bermulalah episod "negeri pasola" saya berpejabat di bawah pokok.. Ramai yang hairan, kerana biasanya setiap kanopi kecil dibina sudah pasti ada sahaja bahan jualan..tetapi saya hanyalah sebuah meja lipat, 3 biji kerusi kenduri dan sebuah komputer riba.

Ramai yang mengerumuni saya kerana ingin bertanya keadaan sebenar dan tak sedikit juga pelanggan saya yang datang mendapatkan perkhidmatan guaman saya.

Apa yang saya lakukan rupa-rupanya menimbulkan rasa sakit hati teman-teman berlainan fahaman politik saya. Macam-macam tohmahan, ada yang menuduh saya meminta simpati, berlakon, publisiti murahan dan memalukan orang lain. Saya tersenyum..Manis bibir berbicara, tidak sama jiwa memikul...

Saudara semua,

Sejak bertanding pilihanraya umum mewakili PAS dalam 2 siri pilihanraya, macam-macam kerajaan Barisan Nasional buat pada saya. Saya pernah menjadi panel guaman Unit Perumahan sebuah kerajaan negeri, tetapi hanya satu panggilan telefon, khidmat saya ditamatkan. Mereka menyekat dari saya mendapat apa-apa projek guaman dimana kerajaan berkepentingan. Sekarang saya dihalau kerana menyewa premis kerajaan. Saya tinggal sehelai sepinggang. Saya ada 5 orang kakitangan yang beranak-pinak untuk saya beri gaji..saya tidak pernah menaikkan bendera PAS di situ. Mesyuarat PAS pun tak pernah di situ..

Isu ini mendapat perhatian media termasuk media berbahasa asing. Saya menasihati mereka supaya cerita saya tidak disensasikan dengan alasan ada yang akan terasa dan tersinggung dengan kata-kata saya kelak. Mereka boleh ambil gambar dan berita, tetapi tidak melampau dan dipolitikkan. Namun apa yang paling menyedihkan saya, bila mana seorang wartawan difahamkan telah dihina, digertak dan dihamburkan dengan macam-macam kata-kata semata-mata kerana mempertahankan cerita isu melibatkan saya oleh seorang pemimpin Barisan Nasional Pahang. Jelas pemimpin tersebut terlalu angkuh dan tidak wajar diangkat sebagai pemimpin!!

Apa yang berlaku, saya redha dan melihatnya secara objektif. Saya suka melihat ke dalam diri saya dan memuhasabah diri saya. Tinggal lagi, saya berharap dan berdoa agar kezaliman yang menimpa saya tidak menimpa orang lain yang lebih susah dari saya. Saya meminta semua yang cintakan keadilan, agar kita sama-sama berdoa supaya mereka yang zalim ini diberikan hidayah dan menyedari kesilapan mereka. Kami semua yakin bahawa golongan zalim ini tiada tempatnya di sisi Allah SWT..

Sunday, May 30, 2010

Akhirnya saya tersingkir..


Politik balas dendam dan nafsu jahat para pimpinan UMNO Pahang rupanya tidak berakhir atas pentas politik. Sikap rakus dan jamban inilah yang menjadi anutan mereka terhadap musuh politik mereka tanpa menyedari bahawa politik ala zaman batu itu makin dibenci rakyat.


Sewaktu sambutan Aidilfitri tahun lepas, saya telah dimaklumkan oleh Pegawai MARA Daerah Rompin, bahawa Kerajaan Pahang minta saya keluar dari pejabat premis MARA yang saya sedang sewa sekarang.


Untuk rekod, saya telah menyewa sebuah premis MARA untuk saya mula bertapak sebagai sebuah firma guaman sekitar tahun 2007, Tetuan Mohd Fadzli & Co. Pemilihan saya sebagai penyewa juga melalui saluran yang sah iaitu secara temuduga. Tiada kabel,tiada orang dalam. Saya diterima sebagai penyewa secara merit walaupun terdapat ramai penyewa lain yang turut memohon. Sebagai seorang yang baru mula mengenal erti dunia perniagaan dan bertatih, sudah tentulah mengharap sebuah premis mampu sewa seperti MARA.


Saya menyewa tanpa sebarang masalah. Sewa sentiasa berbayar. Tiada Tunggakan. Rekodnya cemerlang. Dulunya Arked MARA sunyi dan hampir tidak dikenali kalau tiada Pejabat Pos Rompin bermukim di sini. Bukan mendabik dada, tetapi selepas pejabat peguam saya mula beroperasi yang merupakan pejabat peguam pertama di Rompin, Arked MARA meriah sekali kalau tidak hingar bingar pun sesesak pasar malam chow kit.


Kini, UMNO peralatkan MARA untuk usir saya. Semua ini kerana saya bekas calon PAS dalam dua siri pilihanraya lalu. Ditambah perit pula bila saya sering memekakkan telinga pemimpin UMNO dengan berdiri secara terbuka mengecam kezaliman dan salah laku pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di pentas-pentas Pakatan Rakyat. UMNO makin pedih bila saya mengheret perangai korup mereka ke Mahkamah. Kes Ketua Penerangan UMNO Rompin saman Dato' Jamaluddin Jarjis (Ketua UMNO Bahagian Rompin), Saman terhadap anak syarikat Kerajaan Pahang kerana lambat serah milik (late delivery), Saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung isu pelatih dirogol jurulatih dan pelatih mati dalam latihan, Saman terhadap Polis kerana menghalang ceramah di Muadzam Shah bersama-sama peguam Hanipa Maidin disamping membantu syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd yang menang saman RM6 juta terhadap Kerajaan Pahang adalah antara rentetan perangai jahat UMNO yang didedah di Mahkamah.


Saya ingin tegaskan, bahawa tindakan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat politik kotor UMNO/Barisan Nasional. Ini adalah kerana, saya dimaklumkan Pegawai MARA Daerah dalam sambutan aidilfitri tahun lalu bahawa saya mesti mengosongkan premis sewaan saya dalam jangka masa segera. Pada hal pada ketika itu, tempoh penyewaan saya masih berbaki hampir satu tahun lagi. Saya tidak menyalahkan MARA dan kakitangannya. Tapi sifat dungu UMNO ini terserlah apabila saya dimaklumkan bahawa punca saya disingkir adalah kerana aduan pemimpin UMNO Bahagian Rompin kepada Menteri Besar. Namun setelah berkeras dan mencabar supaya MARA mengeluarkan surat penamatan pada ketika itu juga, MARA akhirnya memaklumkan saya bahawa saya boleh terus menyewa sehingga tamat perjanjian iaitu sehingga Ogos 2010. Walau apapaun jua yang dibuat, saya tetap tegaskan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat UMNO pada saya!


Inilah UMNO, sebuah parti yang kononnya perjuangkan bangsa Melayu. Saya orang Melayu. Bumiputera. Anak jati Rompin. Warga Pahang tulen. Saya menyewa dengan sebuah agensi yang bercita-cita ingin membantu orang Melayu,Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tapi apa sudah jadi. Saya bukan komunis, bukan penjenayah, tetapi dinafikan oleh bangsa sendiri.Semata-mata berlainan fahaman politik.


Sebenarnya, sikap busuk perut UMNO Pahang ini telah bermula apabila firma guaman lama saya Tetuan M.K Othman & Co yang telah berjaya menjadi peguam panel Unit Perumahan Kerajaan Pahang. Namun apabila mendapat tahu saya menjadi rakan kongsi pemilik M.K Othman & Co, Tuan Khairuddin Othman ( sekarang Setiausaha Perhubungan PAS Selangor), hanya dengan satu panggilan telefon menamatkan khidmat "panelship" dengan Kerajaan Pahang. Nasib yang sama menimpa rakan guaman saya, Tuan Iqbal Hamdi (bekas YB Kuala Pahang) apabila beliau bertanding atas kerusi PAS dan menang. Habis semua "panelship" beliau ditarik akibat perangai UMNO ini.


Saya mendapat dokongan teguh rakan-rakan peguam Pahang untuk terus berjuang dan memastikan UMNO/BN akan dikuburkan dalam Pilihanraya akan datang. Politik bodoh UMNO ini pasti akan ditertawakan oleh rakyat dalam konstituensi Duta Besar Malaysia Bertaraf Menteri ke Amerika Syarikat. Masyarakat di barat memandang tinggi Demokrasi yang subur di sana. Bukanlah niat saya untuk berkiblatkan mereka. Tetapi sikap professional mereka dalam melayani musuh politik boleh disanjung. Selepas musim pilihanraya, semua pihak membantu bangunkan negara, tiada istilah balas dendam. Rakyat perlu bangkit untuk menolak budaya hina ini. Ambillah contoh negeri Pakatan Rakyat, carilah satu sahaja contohnya, sekiranya ada mana-mana yang tersingkir dri premis kerajaan kerana jadi calon BN...

Monday, March 1, 2010

Royalti Ke Mahkamah: Kerajaan PAS Kelantan..cukuplah..


Kelulusan Usul DUN Kelantan untuk membawa ke Mahkamah isu royalti telah dibuat dan mendapat sokongan padu dewan termasuk dari wakil pembangkang. Saya secara ringkas melihat bahawa terdapat beberapa "preliminary isssues" harus dipertimbangkan sebelum tindakan ini dihadapkan ke Mahkamah:

(a) Adakah ianya hanya satu-satunya pilihan yang ada?

(b) Sudahkah dikaji "judicial precedent" kes-kes melibatkan penentangan terhadap kerajaan oleh oposisi negara ini seperti kes DS Nizar, Speaker V. Sivakumar, Habeaus Corpus tahanan ISA dan lain-lain?

(c) Adakah telah diteladani kisah-kisah "menarik" sikap para Hakim Mahkamah negara ini sewaktu mengadili kes-kes menentang kerajaan?

(d) Adakah telah berlaku secara realiti dan budiman "doctrine separation of power" di negara kita?

(e) Tidakkah lupa kita akan gelak ketawa kita sewaktu DS Zambri Abd Kadir kalah di Mahkamah tinggi, keesokannya difailkan rayuan penangguhan di Mahkamah Rayuan, ditetapkan tarikh, didengari dan dibuat keputusan, hanya dalam masa 1 hari..

(f) Lupakah kita sewaktu memfailkan kes mencabar penipuan pilihanraya 2004 di Mahkamah Tinggi KL, apa jadi pada kes tersebut..Tarikh bicara ditetapkan selepas Pilihanraya 2008. Apa lagi significantnya yang masih tinggal?

(g) Sudahkah para peguam kerajaan Kelantan membuat carian untuk dapatkan siapakah Ketua Hakim Negara? Dari mana? Apa jawatan sebelum jadi Hakim? Dan siapakah mantan Penjawat jawatan UMNO Kelantan yang jadi Hakim sekarang ini?

Sekiranya, semua ini telah dihadamkan, maka bolehlah dengan gembiranya Kerajaan Kelantan memfailkan ke Mahkamah, dengan bantuan ADUN BN...

Friday, February 12, 2010

Santai jap..


Dalam kesibukan mengharungi tugas harian, sempat juga saya menerima ajakan rakan-rakan saya untuk bermain bolasepak mewakili pasukan Pemuda PAS Rompin menentang Pasukan Pilihan Sg. Puteri. Perlawanan yang disaksikan oleh ramai penduduk sekitar Perumahan Awam Sungai Puteri dimenangi oleh Pasukan Pilihan Sungai Puteri melalui tendangan penalti 3-1 setelah terikat 2-2 setelah tamat masa perlawanan..Perlawanan ini adalah satu usaha PAS mendekati golongan muda yang telah mula tertarik dengan perjuangan PAS hari ini..

Tuesday, January 12, 2010

Kerajaan BN Pahang Derhaka!




Pahang selain memperolehi hasil pembalakan turut dikenali sebagai pengeluar padi, walaupun tidaklah sehebat negeri Kedah yang terkenal dengan jolokan jelapang padi. Di pahang, daerah Rompin pula adalah antara daerah pengeluar terbesar padi. Malahan, daerah Rompin termasuk dalam rancangan jelapang padi negeri yang diistiharkan kerajaan negeri.

Namun tidak ramai yang sedar bahawa para penanam padi di Rompin sekitar Kampung Pianggu, Setajam, Kurnia, Lantang dan Sarang Tiong adalah berasal dari Kedah yang berhijrah sekitar 1970-an bagi menyahut seruan kerajaan pusat dan negeri dalam penggalakan penanaman padi disamping skim pemulihan tanah terbiar. Hasilnya, kawasan yang dahulunya hutan belantara, diterokai menjadi sawah padi sejauh saujana mata memandang. Kerajaan negeri pula saban tahun menjanjikan pemberian geran hakmilik kepada para pesawah, tetapi ia umpama menunggu buah yang tidak gugur. Paling memeritkan, pesawah yang mengusahakan tanah ini sekian lama, tetapi Lesen Menduduki Sementara (TOL) tanah tersebut diberikan kepada orang lain yang tidak pernah mengusahakan tanah tersebut. Walaupun bukan Geran yang diberikan tetapi pemberian TOL kepada orang lain amat memberikan kesan kepada pesawah.

Hampir 200 pesawah mengalami masalah nama ditindih oleh pihak ketiga. Paling malangnya, TOL diberikan kepada pemimpin UMNO setempat dan Pengerusi JKKK. Ketiadaan TOL mengakibat pesawah tidak akan memperolehi subsidi padi dan baja, disamping berhadapan tindakan pengusiran pada bila-bila masa oleh kerajaan. Sudahlah mereka ini tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air bersih di sesetengah kampung di sini, masa depan anak cucu mereka tidak terjamin setelah mereka tiada lagi tanah untuk didiami di negeri asal mereka.

Tanggal 22 April 2009 seolah-olah tarikh keramat kepada penduduk di sini, apabila KDYMM SultanHaji Ahmad Shah mencemar duli menyerahkan bantuan kepada mangsa ribut di sini, dimanfaatkan sepenuhnya para pesawah untuk menyuarakan masalah yang dideritai mereka selama ini iaitu isu hakmilik ini. Amat menggembirakan apabila Tuanku berkenan agar isu Geran ini diselesaikan dan Geran diberikan dalam masa 2 bulan dari hari tersebut. Perkara ini dipersetujui dan pihak Kerajaan negeri melalui Pegawai Daerah dan Ahli Parlimen Rompin. Tuanku juga memaklumkan bahawa baginda akan datang pada bulan September 2009 untuk menyerahkan Geran Hakmilik.

Namun hingga ke hari ini, bukan sahaja geran tidak diperolehi, malah tiada langsung khabar berita sama ada ia diproses ataupun tindakan ukur tanah dibuat. Hari ini 12/1/2010, para pesawah nekad untuk bangkit menuntut hak mereka. Mereka melantik saya sebagai peguam bagi memudahkan urusan. Tindakan pertama mereka adalah mengadakan perhimpunan aman di Kampung Setajam berjaya mengumpul hampir 500 orang pesawah.

Tindakan ini adalah langkah pertama. Sekiranya tiada sebarang tindakan, para pesawah akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar Pahang dan Ahli Parlimen Rompin. Namun sekiranya terus berdegil, mereka akan mengorak langkah memohon pertemuan dengan KDYMM Sultan Pahang sebagi payung kerajaan Pahang. Para pesawah tidak akan teragak-agak membawa perkara ini ke Mahkamah sekiranya Kerajaan Pahang terus angkuh dengan para pesawah ini.

Saya tidak nafikan bahawa para pesawah bukanlah penduduk asal Pahang. Tetapi mereka tetap rakyat Malaysia dan bukan menceroboh kawasan tanah milik penduduk tetapi datang kerana "jemputan" kerajaan negeri dan dasar kerajaan Pusat. Namun ia bukanlah lesen untuk menafikan hak mereka untuk mendiami tanah di negeri ini. Mereka punyai merit. Mereka hanya mahukan beberapa ekar setiap pesawah untuk memilik tanah sebagai tanda penghargaan usaha mereka. Kenapa kerajaan boleh bertoleransi dalam pemberian tanah ratusan ekar kepada tokeh-tokeh besar termasuk bukit kepada tokeh besar cina sedangkan rakyat Bumiputera merempat di bumi sendiri.

Cuma satu harapan saya pada seluruh rakyat Malaysia, saksikanlah betapa biadapnya kerajaan BN Pahang walaupun diarahkan KDYMM Tuanku Sultan Pahang untuk menyerahkan Geran kepada pesawah namun masih degil berbuat demikian. Sudahlah "bapa" pesawah ini bertugas sebagi Duta di Amerika, pesawah yang sentiasa mengundi BN ini terus terabai. Inilah namanya KERAJAAN DERHAKA!

Friday, January 1, 2010

Nama ALLAH dalam THE HERALD:Dimana kita?


Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja. Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya. Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.
Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka. Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima? Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu. Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, dimana kita?