Thursday, February 19, 2009

Perhimpunan Haram: Polis didakwa!

Biasanya dalam keadaan biasa, pihak polis akan menahan, menyiasat seterusnya mendakwa di Mahkamah seseorang yang terlibat dengan perhimpunan haram. Contoh terbaik adalah seperti isu 'rusuhan' di Perak, himpunan HINDRAF, himpunan BERSIH dan lain-lain lagi dimana individu-individu tertentu dikenalpasti untuk didakwa.
Walaubagaimanapun, kes yang saya kendalikan hari ini bersama peguam Mohamed Hanipa Maidin berbeza apabila pihak polis disaman kerana menangkap dan menahan para pemimpin sebuah parti politik ketika berceramah di Muadzam Shah, Rompin, Pahang di dalam markas parti tersebut. Kebetulannya saya berada secara langsung dalam insiden tersebut.

Dr Mohd Hatta Ramly
Ahli Parlimen Kuala Krai

Faktanya seperti berikut: Kira-kira jam 12 malam sekitar tahun 2004 selepas pilihanraya umum, ketika hendak tidur saya dapat panggilan dari Ustaz Nasruddin Hassan (sekarang Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat) bahawa polis telah buat serbuan dan menangkap para penceramah termasuk pengerusi majlis ketika sedang berceramah di Bandar Muadzam Shah. Antara yang kena tangkap adalah Dr Hatta Ramli (sekarang Ahli Parlimen Kuala Krai), saudara Mazlan Mohamad Yassin (seorang tokoh motivator dan ahli politik terkenal di Rompin) dan Ust Nazri Ahmad sebagai pengerusi majlis. Saya mengarahkan supaya Ust Nasruddin dapat pergi ke Balai Polis Muadzam untuk buat laporan polis atas gangguan polis dan tangkapan tersebut. Saya kemudiannya dimaklumkan bahawa tahanan akan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Rompin (IPD). Saya tunggu tahanan di IPD Rompin tersebut pada malam itu kira-kira jam 2 pagi. Saya dihalang dari masuk ke IPD tersebut oleh pengawal atas arahan OCPD (Ketua Polis Daerah Rompin). Saya tegaskan bahawa IPD adalah kawasan awam dan tiada sebab saya dihalang. Saya minta OCPD keluar jika tak bagi saya masuk kalau dia berani.

Saudara Mazlan Mohamad Yassin (berbaju batik)Motivator dan ahli politik

OCPD tersebut keluar ke pintu masuk dengan diiringi oleh anggota Unit Tindakan Ringan yang menyerbu dan tangkap penceramah-penceramah tadi. Saya bagitau dia, bahawa dia takde hak dan kuasa nak tangkap penceramah tersebut apatah lagi ia dibuat di kawasan persendirian. Seksyen 20 dan 20A Akta Polis memperuntukkan dengan jelas bentuk perhimpunan yang perlukan permit. OCPD tu minta saya baca undang-undang tersebut betul. Saya kata,banyak kes Mahkamah yang mentafsirkan bentuk perhimpunan yang perlukan permit. Dia cabar saya bawa ke Mahkamah.. Saya kata : You will see!!


Ust Nazri Ahmad
Ketua Pemuda PAS Rompin
3 orang penceramah tersebut ditahan sehari semalam dan digari ketika keluar dari IPD Rompin untuk diambil keterangan. Atas arahan ketiga-tiga penceramah tersebut, saya memfailkan kes ke mahkamah tinggi Kuantan. OCPD tersebut kami saman di atas kapasiti individu dan bukan sebagai OCPD. Saya nak ajar keangkuhan dia! Dalam majlis ceramah tersebut, polis buat rampasan barang-barang ceramah seperti P.A sistem dan lain-lain. Saya sempat malam berhadapan OCPD tersebut cabar dia supaya dakwa kesemua mereka yang ditangkap. Tetapi sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya. Yang menyedihkan sehingga kini barang-barang yang dirampas langsung tak dipulangkan. Saya ada menulis kepada Jabatan Peguam Negara, tetapi dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Pahang. Bila saya tulis surat kepada mereka kata belum dapat apa-apa dari IPD Rompin. Bila saya tulis kepada IPD Rompin, mereka kata kertas siasatan ada pada Jabatan Peguam Negara. Saya nak tegaskan bahawa inilah kedangkalan dan ciri-ciri kebaangsatan pada Jabatan Peguam Negara, penasihat Undang-undang Pahang dan IPD Rompin.

Kes saman ini telah berlangsung beberapa tahun dimana hari ini Pihak Plaintif-Plaintif (Orang Kena Tangkap) telah selesai memanggil saksi-saksi. Hari ini adalah untuk memanggil saksi Defendan dan dijangka OCPD tersebut akan dipanggil memberikan keterangan. Mujurlah peguamcara Defendan Encik Pritam Singh pohon tangguh atas sebab pertukaran hakim maka adalah perlu pihak-pihak mendapatkan Nota Keterangan (Notes of Evidence) dari catatan rekod saksi Hakim yang mencatatkannya terdahulu. Mahkamah telah tetapkan tarikh 17 dan 24 April ini sebagai tarikh sambung bicara.
Kes ini banyak memberikan pengajaran bagi saya dimana saya buat satu bantahan terhadap Yang Arif Hakim ketika itu di atas alasan bahawa Hakim tersebut tak boleh dengar kes ini memandangkan sejarah beliau sebagai seorang aktivis UMNO yang mana kes ini melibatkan PAS, parti lawan UMNO. Hakim melenting dengan bertegas menyatakan bahawa beliau telah angkat sumpah taat setia sebagai hakim. Beliau pertikaikan saya adakah saya boleh dianggap PAS kalau buat kes orang PAS? Saya jawab, saya hanya seorang peguam untuk mempersembahkan kes di hadapan Hakim, tapi beliau adalah hakim yang bertanggungjawab membuat keputusan. sudah tentu berbeda tugasnya.
Akhir sekali, saya nak tegaskan kat sini, bahawa anggota keselamatan tidak boleh diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk mengambil tindakan agar ia tidak menjadi ancaman kepada pihak tersebut. Saya nak tegaskan OCPD Rompin dan mana-mana pegawai polis negara ini, supaya jika berjalan memandang langit jangan lupa rumput di bumi, kerana kita semua manusia yang dijadikan ada lebih dan kurang masing-masing..
Kepada bekas OCPD Rompin yang disaman tersebut saya nak bagitau: "Aku mungkin budak hingusan dari segi umurku..tapi di Mahkamah kelak kita akan tau siapa yang berhingus nanti"..

Monday, February 16, 2009

Tindakan Mahkamah : Nizar jangan terlalu yakin pada Mahkamah

Krisis yang melanda Kerajaan Pakatan Rakyat Perak amat membingungkan institusi perundangan negara ini. Sama ada dari aspek legislatif dan eksekutif, ia dilihat seolah-olah memerlukan kepakaran dan pentafsiran kehakiman yang bukan sedikit. Dalam perkara ini, Nizar yang mengetuai Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memfailkan kes ini ke Mahkamah dimana beerti Pakatan Rakyat masih lagi percayakan sistem perundangan dan kehakiman negara ini.
Sebagai pengamal undang-undang, adalah menjadi "rukun" bagi saya dan kawan-kawan yang lain untuk percaya kepada beberapa prinsip-prinsip undang-undang ekuiti yang cuba diketengahkan bagi menggambarkan ketulusan dan kebenaran sesuatu undang-undang yang dibuat. Prinsip seperti "He who comes into equity must come with clean hands"(Sesiapa yang ingin melaksanakan keadilan, mesti datang dengan tangan yang bersih), "Equity follows the laws"(Keadilan adalah menurut undang-undang), "He who seeks equity must do equity" (sesiapa yang ingin keadilan harus melaksanakan keadilan terdahulu) dan banyak lagi adalah antara panduan perlaksanaan proses undang-undang negara ini. Malahan negara kita telah menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman sebagai lambang bahawa kerajaan pusat kita beria-beria untuk memperbaiki keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman kita.
Cuma isunya, adakah kesemua prinsip-prinsip ini secara realitinya wujud dalam sistem kehakiman negara kita? Saya nak berkongsi dengan pengunjung semua satu kes Mahkamah sebagai bukti kemurnian sistem kehakiman kita.

Kes ini dah difailkan kira-kira tahun 2002 iaitu kes antara syarikat Seruan Gemilang Makmur v Pengarah Hutan Negeri & Kerajaan Pahang (No kes: 21-9-2002 ) di Mahkamah Tinggi Kuantan. Kes ini adalah berhubung dengan kegagalan Kerajaan Pahang mematuhi kelulusan kawasan pembalakan yang dianugerahkan kepada syarikat tersebut. Kerajaan Pahang kalah di Mahkamah Tinggi tetapi Kerajaan Pahang merayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya tetapi tetap ditolak. Akhir sekali, Kerajaan Pahang sekali lagi merayu ke Mahkamah Persekutuan tetapi Hakim-Hakim yang bersidang menolak rayuan tersebut. Penghakiman berjumlah RM60 juta diperolehi terhadap Kerajaan Pahang dan faedahnya masih berjalan. Pengarah-pengarah Seruan Gemilang bertemu saya dan memohon bantuan untuk memfailkan permohonan perlaksanaan (execution) terhadap kerajaan Pahang. Saya bercadang memfailkan permohonan Writ Sitaan dan Jualan (Writ Sale and Seizure) walaupun mengetahui tindakan tersebut tidak dibenarkan oleh Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Tapi saya punyai hujah antaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 8 iaitu hak yang sama rata di sisi undang-undang. Isunya kalau sama rata kenapa rakyat boleh disita, kerajaan tak boleh? Saya ada otoriti dalam perkara ini. Jadi, sebelum sita saya diminta failkan permohonan mendamus (perintah untuk bayar) terhadap kerajaan Pahang. Walaubagaimanapun, sehingga kini, Kerajaan Pahang tak bayar seposen pun ! Jelas Kerajaan Pahang ingkar perintah Mahkamah..Mahkamah yang dibuat oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Pahang.

Relevannya perkara ini dan realiti di Perak adalah satu persoalan, masihkah ada lagi harapan kepada sistem kehakiman negara ini? Masih wujudkah prinsip-prinsip ekuiti dalam sistem keadilan negara ini? Apakah Suruhanjaya Kehakiman benar-benar punyai spirit keadilan dan pentas pengadilan tanpa bias? Pada hemat saya, jika dilihat kepada kes Seruan Gemilang di atas, walaupun kes ini dimenangi sebuah syarikat kerdil terhadap Kerajaan Pahang, keengkaran dan keangkuhan Kerajaan Pahang terhadap keputusan Mahkamah, memperlihatkan betapa mudah dan rapuhnya Hakim dan Kehakiman negara kita, apabila yang membuat undang-undang melanggar undang-undang..

Y.A.B Nizar, jadilah penderhaka kepada undang-undang tak adil!

Saturday, February 7, 2009

Kemelut Perak:Pandangan Presiden Majlis Peguam tidak mewakili Majlis Peguam?


Saya benar-benar terkejut dengan kenyataan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan di NST bertajuk "PERAK IN CRISIS: Nizar has no choice but to resign: Bar Council" yang diulang terbit di lawan web rasmi Majlis Peguam http://www.malaysianbar.org.my baru-baru ini. Saya tidak pasti samada ia benar-benar keluar dari mulut Datuk Ambiga ataupun disalah petik oleh media berkenaan. Walaubagaimanapun, sekiranya ia dari mulut Ambiga saya amat tidak bersetuju sama sekali dengan kenyataan beliau.

Pertama: Ia tidak dibuat berdasarkan kepada realiti perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri yang sebenar. Saya pernah berhujah dalam artikel sebelum ini bahawa Sultan telah melakukan kesilapan mengarahkan Nizar mengosongkan kerusi MB. Walaupun kuasa Sultan dalam memecat MB ini adalah prerogatif tetapi ia hanya mengikut situasi yang betul. Contohnya penentuan kehilangan keyakinan MB di DUN tidak harus dinilai berdasarkan kenyataan media Najib Tun Razak bahawa BN telah miliki majoriti mentadbir. Saya hujahkan ianya harus melalui Usul undi tak percaya.

Kedua: Kenyataan Ambiga tidak dibuat melalui forum yang sesuai. Bagi saya dalam isu seberat ini, Majlis Peguam harus mengadakan sidang akhbar khas mengenainya. Ia tidak boleh dibuat secara spontan begitu, apatah lagi Ambiga berada dalam majlis bersama Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah. Bagi saya, beliau perlu lebih berkredibiliti, berani dan punyai nilai perundangan yang tinggi.
Ketiga: Kenyataan Datuk Ambiga sudah tentu tidak mewakili para peguam di dalam Majlis Peguam Malaysia. Sudah pasti isu ini melibatkan persoalan Hak Asasi Manusia yang lantang diperjuangkan Majlis Peguam. Apatah lagi, SUHAKAM menyokong pembubaran DUN. Secara peribadi saya bukan sahaja tidak setuju dengan beliau, tetapi membantah keras..

Saya lebih suka dan selesa dengan beberapa artikel kawan-kawan saya seperti Amer Hamzah dan Malik Imtiaz serta Hanipa Maidin yang lebih realistik..

Datuk Ambiga..hati-hatilah..

Kemelut DUN Perak:Kebebalan terhadap Perlembagaan yang disengajakan


Saya sebenarnya cuba mengelak diri dari menyentuh soal politik dalam blog saya ini. Tapi keadaan semasa seolah-olah membuatkan saya rasa berdosa dan seperti 'syaitan bisu' sekiranya saya diam membatu. Saya gagal melawan runtunan jiwa dan warna sebenar saya.

Tidak dapat saya nafikan bahawa isu yang berlaku di Perak adalah merupakan persoalan perlembagaan dan isu perundangan. Tetapi saya amat berkeyakinan dan menegaskan bahawa isu sebenar di Perak adalah kuasa eksekutif dan sistem beraja telah 'merompak' kerajaan negeri dari rakyat Perak!

Isu pertama adalah adalah kuasa sultan untuk mengarahkan perletakkan jawatan Menteri Besar dari Nizar. Saya bersedia untuk bertanggungjawab menyatakan bahawa tindakan Sultan adalah salah di sisi undang-undang! Perlembagaan Negeri Perak memperuntukkan bahawa Menteri Besar tidak memegang jawatan tersebut dengan perkenan Sultan.

Artikel 16(6) Perlembagaan Perak menyebut :

If Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.

Soalan saya: Bagaimana hendak menentukan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN? Siapa yang berhak menentukan kehilangan keyakinan tersebut? adakah Sultan berhak menentukannya? atau dimana kita hendak mengukur bahawa MB telah kehilangan mandat negeri?

Yang berlaku: satu sidang akhbar Najib bersama-sama ADUN-ADUN yang dikatakan melompat dan diistiharkan bahawa BN telah memperolehi majoriti yang cukup untuk tubuh kerajaan negeri! Saya nak tegaskan bahawa perkara ini adalah tidak sah untuk mengesahkan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN Perak! Malah ianya adalah salah sama sekali di sisi undang-undang! Hanya satu cara iaitu dibuat di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri melalui Undi Tak Percaya (vote of no confidence) di DUN. Sultan tidak boleh hanya mengarahkan MB mengosongkan jawatan begitu sahaja!

Kedua: Siapakah sebenarnya memegang majoriti di DUN Perak? Menjawab isu ini adalah perlu untuk kita melihat komposisi DUN Perak. 28 Pakatan Rakyat, 28 BN dan 3 Bebas. Justeru, kita harus mengkaji kedudukan 3 anggota "Bebas" ini. Sebelum bertanya siapakah yang mereka sokong, adalah perlu diakses kesahihan kedudukan mereka di DUN memandangkan isu perletakan jawatan mereka berbangkit. Perletakan mereka telah dimaklumkan oleh Speaker DUN kepada SPR, tetapi SPR menolak surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut atas alasan terdapat keraguan terhadap surat perletakan jawatan beliau. Soalnya adakah SPR mempunyai bidangkuasa menolak perletakan jawatan tersebut yang dimaklumkan oleh Speaker DUN Perak kepada mereka?

Dari aspek perundangan, saya tegaskan bahawa SPR tidak mempunyai apa-apa kuasa melalui samada Perlembagaan Persekutuan, Akta SPR 1957 mahupun Akta Pilihanraya 1958. SPR telah melangkaui kuasanya yang sedia ada! Yang ada hanyalah, peruntukan apabila Speaker DUN memaklumkan SPR kekosongan kerusi DUN terbabit, terima dan laksanakan Pilihanraya Kecil di kawasan terbabit. Oleh yang demikian, dimana kuasa SPR untuk tidak menerima makluman Speaker? Jadi adakah boleh kita menggangap BN miliki majoriti? Dalam hal ini, saya sangat percaya bahawa SPR telah jadi "tapir tunggangan" apabila membelakangkan arahan Speaker tersebut!
Dengan berkeadaan 28 kerusi Pakatan, 28 kerusi BN dan 3 Bebas, keadaan Perak amat tidak menentu. Bagaimana pula 3 Bebas kembali menyokong Pakatan? Tak ke haru jadinya..Oleh itu cara terbaik adalah serahkan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya negeri! Nasib dan mandat rakyat Perak tidak harus diserahkan hanya kepada pemimpin korup dan seorang Sultan. SUHAKAM sendiri berpendapat bahawa mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat Perak.

Saya berhujah di sini bukanlah berniat untuk menderhakai Sultan dan sistem Raja Berpelembagaan negara ini. Saya percaya bahawa hujah saya ini adalah amat konstitutional dan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
Saya percaya bahawa isu ini akan menimbulkan banyak aplikasi perundangan dan perlembagaan. Adalah terlalu dangkal dan dajal untuk mengatakan bahawa Sultan tidak boleh disaman di sisi undang-undang dan beralasankan derhaka, kerana apa yang berlaku adalah Sultan dinamakan sebagai Defendan bertujuan untuk memperolehi finding fact ataupun natijah terhadap sesuatu persoalan undang-undang dan bukan ingin mengheret Sultan ke penjara. Justeru, pemimpin politik kerajaan haram jangan menghina diri mereka! Biarlah kerajaan mereka haram, jangan diri mereka juga haram di sisi undang-undang..
Ya! Saya adalah penderhaka kepada sistem yang khianat kepada rakyat!