Monday, October 24, 2011

UIAM: Janganlah begini

Isu penggantungan Prof Dr Abd Aziz Bari bukan sahaja menggemparkan dunia akademik tetapi juga menimbulkan polemik politik yang bukan sedikit. Semuanya berlaku umpama ujian terhadap transformasi politik yang dicetuskan Perdana Menteri sewaktu berucap dalam Sambutan Hari Malaysia baru-baru ini. Antara ikrar yang dilaungkan oleh PM adalah prinsip "no person will be politically arrested". Ia menimbulkan rasa girang terhadap ahli politik dan NGO yang berasaskan politik negara ini. Pembebasan anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dituduh sebagai agen komunis dan tindakan pendakwa kes memakai baju BERSIH 2.0 melepas tanpa membebaskan mereka termasuk saya, antara simbol yang dikatakan kesungguhan kerajaan itu.



Namun, tidak menunggu lama, isu Haji Mohamad Sabu didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah anggota polis yang terlibat dengan kejadian Bukit Kepong menjadi tanda tanya apa yang dikatakan transformasi itu. Isu yang sepatutnya didebatkan secara terbuka yang harus mengetengahkan hujah-hujah akademik dan sandaran intelektual supaya menjadi pegangan sejarah di masa akan datang tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya kerajaan dilihat menggunakan pendekatan ala komunis yang menghukum sesiapa sahaja yang didapati menentang mereka. Manakala Prof Zainal Keling yang mengatakan negara kita tidak pernah dijajah dibiarkan tanpa tindakan. Jelas, ahli akademik itu sekiranya beranggapan demikian, memfitnah seluruh anggota tentera, polis, SC, pasukan simpanan persekutuan mahupun anggota keselamatan sukarela yang berjuang menuntut kemerdekaan termasuklah Tunku Abd Rahman yang mengistiharkan kemerdekaan. Ini lah double standard yang sangat jelas.




Begitu juga hari ini, Prof Aziz Bari digantung kerana dikatakan mengkritik Tuanku Sultan Selangor dalam isu serbuan Gereja Methodist Church di Damansara Utama. Isu ini menguji nilai intelektual lebih dari nilai demokrasi. Nilai intelektual seharusnya dinilai secara lebih objektif dan tidak hanya dilihat dari sudut politik kepartian. Siapapun Aziz Bari, sekiranya hujahnya dilontarkan dalam kerangka akademik, maka ia harus dinilai. Maka, jika ada yang kurang bersetuju, kemukakanlah hujah akademik juga, supaya dapat dinilai oleh rakyat kebanyakan. Percambahan hujah walaupun dalam keterbatasan politik partisan ia akan menjadi lebih sihat. Inilah mentaliti kelas pertama yang harus disemai oleh kerajaan kepada rakyat. Soalnya, rakyat dihidangkan dengan budaya, bila bersuara menentang arus perdana, berhadapan dengan tindakan Mahkamah. Kebebasan bersuara kononnya dijunjung tetapi kebebasan selepas bersuara dinafikan.



Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tidak harus dilihat sebagai sebuah institusi ilmu yang jadi pak angguk dan rubber stamp kepada pemerintah. Seharusnya sebagai sebuah universiti bersifat internasionalis, perlu ada sedikit rasa malu kepada dunia yang diwakili oleh para mahasiswanya di situ. Tradisi kebebasan berilmu perlu ada. Kalaulah kita bandingkan dengan Oxford, Cambridge atau sekurang-kurangnya Chulalongkorn di Thailand, rasanya isu sekecil Dr Aziz ini rasanya tak perlu menjadi kudis. Kita dapat lihat bagaimana Datuk Seri Anwar pernah menjadi Visiting Fellow dan Ahli Bersekutu Kanan di St Anthony College, Oxford. Beliau juga pernah menjadi Distinguished Senior Visiting Fellow di John Hopkin University's School of Advanced International Studies. Seluruh dunia tahu siapa Anwar ini. Namun tradisi dan budaya ilmu mengatasi segala-galanya. Tidak timbula soal kerajaan US dan Britain menggantung atau memecat kerana mengambil Anwar ini.



UIAM harus keluar dari kelompang politik untuk berjaya dan dihormati. Kajilah dimana ranking UIA kini dalam senarai universiti terbaik dunia. Perlu untuk saya nyatakan bahawa UIAM pernah memecat Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa, Sdr Dasuki Abd Wahab hanya kerana bersuara bahawa Puteri UMNO tak boleh masuk universiti itu. Apa ni? kenapa benarkan diri menjadi balaci politik jahat? Peristiwa trajis ini adalah permulaan sejarah hitam budaya ilmu di UIAM. Kenapa selama ini benih ilmuwan yang dicurahkan disemai dengan budaya gansterisme akademik yang menutup pintu hujah mengambil tempat? UIAM,bumi yang sangat bertuah, tapi punyai budaya tunduk dan patuh bukan pada tempatnya. Bebaslah dirimu demi sebuah nilai akademik yang tulus dan bukan kerana budaya menjaga perut dan tali hayat sesebuah parti politik. Kita tak rugi apa-apa dan akan terus disanjung di atas sebuah kata-kata keramah..Taman Ilmu dan Budi..




MOHD FADZLI BIN MOHD RAMLY

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM

Sesi 2002-2003

Wednesday, January 19, 2011

Masih adakah esok...


Lama aku menelusuri langkah pejuang ini. Bukan setakat kagum, tapi langkah juangnya menentang durja penjajah mahupun langkah songsang penceroboh bangsa seusia dengan datukku juga yang merupakan antara barisan pejuang bangsa dan merdeka negara. Begit mengidam diriku untuk ketemu dengannya untuk menadah dada, moga ada buah bicara atau mutiara hati bisa jadi azimat di hari muka.


Orang yang aku maksudkan adalah Tuan Haji Nik Ahmad Bin Nik Hassan, pengasas UMNO Rompin, Pahang.Sejarahnya terlalu panjang untuk diuangkapkan. Beliaulah antara pejuang merdeka terawal di Pahang, khususnya di Rompin.


Peluang terhidang apabila aku disua untuk menziarahi tokoh ini baru-baru ini bersama-sama dengan beberapa bekas-bekas guru di Rompin ini.

Sampai sahaja di rumah beliau, tergambar raut wajahnya yang tegas namun bersahaja. Bersalaman dengan beliau terasa debarnya. Belumpun sempat memperkenalkan diri, Cikgu Nik Ahmad (panggilan mesra beliau) tanpa henti ralit menceritakan kisah-kisah perjuangan beliau bermula dari pendidikan asas beliau sehinggalah k STIC (sekarang dikenali sebagai UPSI). Beliau zahirnya terlalu ghairah menceritakan saat-saat kemerdekaan dan perjuangan menubuhkan UMNO Rompin. Sesekali mencelah, menambahkan lagi rasa teruja cikgu nampaknya. Biarpun bauhu dan teh o dihidang kubiar hingga sejuk dihirup, cerita demi cerita dititip membuatkan aku makin "marak".

Akhirnya, aku terpaksa memohon diri disebabkan kesuntukan masa, memandangkan jadual ziarah hari ahad itu agak padat (perasan YB kot!). Cikgu Nik sebelum balik, dia sempat bertanya siapa aku ini, sebab tak pernah nampak sebelum ini. "Cikgu, saya ni Fadzli, bekas calon PAS DUN Tioman". Risau aku perkenalkan diri,al maklumlah, aku sedang brhadapan tokoh besar UMNO ni.. aku pulak pembangkang. Terperanjat besar dia. dia memanggil anak dan isterinya memaklumkan bahawa Ustaz Fadzli datang ni. Panik dan serba salah. Anaknya keluar dan bagitauku ibunya sakit tapi tergopoh gapah bangun semata-mata nak tengok aku. "Ustaz fadzli apa kabar?, makcik kenal keluarga awak. Arwah Pak Ngah Harun tu "orang kuat" dulu." sapa isteri Cikgu Nik.


Terharu campur terkejut dengan layanan begitu. Sambil bertongkat akibat kaki yang agak lemah kerana diabetes mengiringiku ke muka pintu, Cikgu Nik membisikkan suatu pada diriku."Ust, perit untuk berjuang mencari kemerdekaan kerana pemimpin dahulu berjuang kerana maruah bangsa" "Ust teruskan perjuangan tok nenek ust". Saya ni pengasas UMNO Rompin, tapi hati dan jiwa ini sedih melihat pemimpin UMNO sekarang ini.. Ust, di jiwa ini tiada lagi UMNO" ..