Tuesday, January 12, 2010

Kerajaan BN Pahang Derhaka!




Pahang selain memperolehi hasil pembalakan turut dikenali sebagai pengeluar padi, walaupun tidaklah sehebat negeri Kedah yang terkenal dengan jolokan jelapang padi. Di pahang, daerah Rompin pula adalah antara daerah pengeluar terbesar padi. Malahan, daerah Rompin termasuk dalam rancangan jelapang padi negeri yang diistiharkan kerajaan negeri.

Namun tidak ramai yang sedar bahawa para penanam padi di Rompin sekitar Kampung Pianggu, Setajam, Kurnia, Lantang dan Sarang Tiong adalah berasal dari Kedah yang berhijrah sekitar 1970-an bagi menyahut seruan kerajaan pusat dan negeri dalam penggalakan penanaman padi disamping skim pemulihan tanah terbiar. Hasilnya, kawasan yang dahulunya hutan belantara, diterokai menjadi sawah padi sejauh saujana mata memandang. Kerajaan negeri pula saban tahun menjanjikan pemberian geran hakmilik kepada para pesawah, tetapi ia umpama menunggu buah yang tidak gugur. Paling memeritkan, pesawah yang mengusahakan tanah ini sekian lama, tetapi Lesen Menduduki Sementara (TOL) tanah tersebut diberikan kepada orang lain yang tidak pernah mengusahakan tanah tersebut. Walaupun bukan Geran yang diberikan tetapi pemberian TOL kepada orang lain amat memberikan kesan kepada pesawah.

Hampir 200 pesawah mengalami masalah nama ditindih oleh pihak ketiga. Paling malangnya, TOL diberikan kepada pemimpin UMNO setempat dan Pengerusi JKKK. Ketiadaan TOL mengakibat pesawah tidak akan memperolehi subsidi padi dan baja, disamping berhadapan tindakan pengusiran pada bila-bila masa oleh kerajaan. Sudahlah mereka ini tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air bersih di sesetengah kampung di sini, masa depan anak cucu mereka tidak terjamin setelah mereka tiada lagi tanah untuk didiami di negeri asal mereka.

Tanggal 22 April 2009 seolah-olah tarikh keramat kepada penduduk di sini, apabila KDYMM SultanHaji Ahmad Shah mencemar duli menyerahkan bantuan kepada mangsa ribut di sini, dimanfaatkan sepenuhnya para pesawah untuk menyuarakan masalah yang dideritai mereka selama ini iaitu isu hakmilik ini. Amat menggembirakan apabila Tuanku berkenan agar isu Geran ini diselesaikan dan Geran diberikan dalam masa 2 bulan dari hari tersebut. Perkara ini dipersetujui dan pihak Kerajaan negeri melalui Pegawai Daerah dan Ahli Parlimen Rompin. Tuanku juga memaklumkan bahawa baginda akan datang pada bulan September 2009 untuk menyerahkan Geran Hakmilik.

Namun hingga ke hari ini, bukan sahaja geran tidak diperolehi, malah tiada langsung khabar berita sama ada ia diproses ataupun tindakan ukur tanah dibuat. Hari ini 12/1/2010, para pesawah nekad untuk bangkit menuntut hak mereka. Mereka melantik saya sebagai peguam bagi memudahkan urusan. Tindakan pertama mereka adalah mengadakan perhimpunan aman di Kampung Setajam berjaya mengumpul hampir 500 orang pesawah.

Tindakan ini adalah langkah pertama. Sekiranya tiada sebarang tindakan, para pesawah akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar Pahang dan Ahli Parlimen Rompin. Namun sekiranya terus berdegil, mereka akan mengorak langkah memohon pertemuan dengan KDYMM Sultan Pahang sebagi payung kerajaan Pahang. Para pesawah tidak akan teragak-agak membawa perkara ini ke Mahkamah sekiranya Kerajaan Pahang terus angkuh dengan para pesawah ini.

Saya tidak nafikan bahawa para pesawah bukanlah penduduk asal Pahang. Tetapi mereka tetap rakyat Malaysia dan bukan menceroboh kawasan tanah milik penduduk tetapi datang kerana "jemputan" kerajaan negeri dan dasar kerajaan Pusat. Namun ia bukanlah lesen untuk menafikan hak mereka untuk mendiami tanah di negeri ini. Mereka punyai merit. Mereka hanya mahukan beberapa ekar setiap pesawah untuk memilik tanah sebagai tanda penghargaan usaha mereka. Kenapa kerajaan boleh bertoleransi dalam pemberian tanah ratusan ekar kepada tokeh-tokeh besar termasuk bukit kepada tokeh besar cina sedangkan rakyat Bumiputera merempat di bumi sendiri.

Cuma satu harapan saya pada seluruh rakyat Malaysia, saksikanlah betapa biadapnya kerajaan BN Pahang walaupun diarahkan KDYMM Tuanku Sultan Pahang untuk menyerahkan Geran kepada pesawah namun masih degil berbuat demikian. Sudahlah "bapa" pesawah ini bertugas sebagi Duta di Amerika, pesawah yang sentiasa mengundi BN ini terus terabai. Inilah namanya KERAJAAN DERHAKA!

Friday, January 1, 2010

Nama ALLAH dalam THE HERALD:Dimana kita?


Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja. Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya. Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.
Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka. Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima? Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu. Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, dimana kita?