Tuesday, June 30, 2009

KENYATAAN MEDIA BERKAITAN ISU CADANGAN PINDAAN UNDANG-UNDANG YANG MENYENTUH SOAL PENUKARAN AGAMA

Kami merujuk kepada Persidangan (Khas) Majlis Raja-Raja Melayu Kali Ke 217 yang bersidang semalam (29hb Jun 2009) di Istana Negara. Di dalam persidangan ini, Majlis Raja-Raja Melayu telah memutuskan supaya cadangan kerajaan untuk membentangkan pindaan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, ditangguhkan terlebih dahulu bagi mendapatkan terlebih dahulu pandangan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) dengan ini mengalu-alukan keputusan tersebut atas pertimbangan bahawa sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan isu-isu yang sensitif seperti soal implikasi dari penukaran agama, haruslah dibuat dengan cukup berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya ketegangan dan salah faham. Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas pada ketika Kabinet membuat satu keputusan kontroversi pada bulan April yang lalu di mana telah diputuskan bahawa seseorang anak yang masih belum dewasa adalah kekal di dalam agama kedua ibu bapanya (common religion) sewaktu di dalam perkhawinan, meskipun salah seorang dari kedua ibu bapanya telah memeluk agama yang lain.

Pada masa yang sama, DPPNP menuntut supaya kerajaan bukan sahaja mengambilkira pandangan dan cadangan dari Majlis Agama Islam Negeri, bahkan semua pihak yang berkaitan seperti parti-parti politik, NGO-NGO, pakar-pakar perundangan sivil dan syariah dan badan-badan agama sebelum Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan di Parlimen.

DPPNP berharap dan akan berusaha memastikan supaya pindaan yang dicadangkan tersebut bukan sahaja menghormati kedudukan dan kemuliaan agama Islam, tetapi pada masa yang sama turut member keadilan kepada penganut agama-agama yang lain.

ABDULLAH ABDUL KARIM
NAIB KETUA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PAHANG

Monday, June 22, 2009

Kerajaan Pahang : Henti Perkosa Rakyat!

Walaupun mendapat mandat yang agak baik dalam Pilihanraya Umum yang lalu, rakyat Pahang seharusnya mengetahui bahawa kekuatan suara dan hak mereka sebagai rakyat dalam sebuah negari berdaulat semakin terhakis. Tindakan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terutama UMNO menjadikan Negeri Pahang laksana telaga menggali kekayaan demi kepentingan perut beberapa kerat mereka. Rakyat tidak lebih hanya seekor kuda tunggangan ataupun sisa-sisa busuk perut ikan yang menjadi umpan menjelang pilihanraya bagi mendapatkan mandat memerintah.


Penulis telah membangkitkan terdahulu bagaimana, kelemahan Kerajaan Barisan Nasional Pahang mentadbir negeri sehingga terpaksa berhadapan tindakan Mahkamah sehinggalah mengalami keadaan defisit yang meruncing. Kali ini pula, penulis akan membangkitkan satu isu yang hangat diperkatakan di Pahang iaitu berhubung pengambilan berleluasa tanah bagi tujuan pembangunan komoditi perladangan.


Tidak dapat dinafikan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa yang agak jitu kepada kerajaan untuk melakukan pengambilan tanah bagi tujuan kemajuan. Alasan ini jugalah digunakan secara berleluasa untuk menghalalkan "rampasan" tanah terhadap rakyat. Saya tidak berniat mencabar perkara ini apatah lagi perundangan membenarkannya. Walaubagaimanapun, apa yang menjadi soal terutama di Pahang adalah berhubung dengan tindakan kerajaan negeri melalui beberapa anak syarikat Kerajaan Pahang yang bertindak membuka ladang-ladang tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah secara berleluasa. Penerokaan hutan dan ditanam dengan komoditi tersebut melibatkan ribuan hektar dan semakin bertambah keluasannya dari masa ke semasa.


Sebagai contoh, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) mempunyai ladang kelapa sawit dan getah di seluruh Pahang berjumlah hampir 54 ribu hektar. Begitu juga penerokaan tanah hampir 30 ribu ekar tanah di Rompin oleh YP Plantation Holdings Sdn Bhd iaitu salah sebuah anak syarikat subsidiari Kerajaan Pahang iaitu Yayasan Pahang bagi tujuan tanaman kelapa sawit. Malahan saya difahamkan sebanyak 15 ribu ekar lagi akan dibuka di daerah yang sama. Itu belum dikira jumlah pembukaan tanah-tanah baru bagi tujuan yang sama oleh syarikat swasta dimana kerajaan Pahang mempunyai kepentingannya seperti di Pekan, Bera, Rompin dan Kuantan mencecah hampir 15 ribu hektar sehingga tahun 2004 sahaja untuk pelbagai tujuan seperti perladangan kelapa sawit dan lain-lain tanaman komersil.


Apa yang lebih malangnya, pembukaan tanah ini turut melibatkan UMNO sebagai parti pemerintah yang mempunyai proksi-proksi dalam pelbagai syarikat yang ditubuhkan. Ini terbukti apabila puluhan ribu hektar tanah diterokai di daerah Rompin. Isu penerokaan tanah di Pekan juga diheret ke Mahkamah (No kes: 21-9-2002. Seruan Gemilang Makmur v Pengarah Hutan Negeri & Kerajaan Pahang). Semua keuntungannya pasti mengalir ke kantung UMNO. Sekali pandang, isu ini seolah-olah kerajaan Pahang membangunkan tanah untuk tujuan kemajuan. Namun, saya ingin menjemput pembaca semua untuk menganalisa secara saintifik disebalik pengambilan tanah ini. Ribuan hektar tanah yang diteroka oleh kebanyakannya anak syarikat kerajaan negeri mahupun kerajaan negeri berkepentingan di dalam syarikat persendirian menyebabkan rakyat Pahang terhimpit dengan masalah ketiadaan tanah sehingga terpaksa menumpang dan meneroka tanah haram. Rakyat yang memohon tanah bertahun-tahun lamanya sehingga ada di kalangan pemohon yang meninggal dunia, tetapi permohonan mereka masih tidak diluluskan. Usah bercakaplah fasal pemilikan tanah kepada golongan belia yang sudah pastinya tidak memiliki tanah selain dari membeli ataupun memperolehinya secara keturunan ataupun sekiranya mereka ada "kabel"!


Perusahaan ladang komoditi secara sewenang-wenangnya ini telah mengakibatkan tiada manfaat dinikmati oleh penduduk setempat di mana kawasan ladang tersebut dibuka kecuali beberapa pekerja asing yang dibawa masuk bekerja di situ. Ketiadaan kilang memproses produk berasaskan sawit mengakibatkan rakyat setempat hanyalah menjadi penonton.

Saya percaya bahawa kerajaan negeri akan berhujah bahawa pembukaan ladang adalah bersifat jangka masa panjang dan keuntungannya akan diagihkan secara saksama kepada rakyat. Sekali pandang, kita boleh bersetuju. Tetapi apabila dinilai keseluruhan pendapatan jika dicongak dari ladang seluas ratusan ribu hektar di seluruh negeri yang diteroka oleh kerajaan negeri, layak Pahang diangkat negeri mempunyai pendapatan yang paling progresif. Namun, secara perangkaannya satu demi satu anak syarikat kerajaan Pahang mengalami kerugian seperti yang menimpa Mentiga Corporation. Begitu juga saban tahun dan terkini, pendapatan kerajaan Pahang berada di tahap defisit! Kemana perginya pendapatan hasil dari pembukaan ladang yang maha luas ini?

Saya difahamkan bahawa terdapat kepentingan kerajaan dalam beberapa buah syarikat yang dianugerahkan kontrak pembukaan ladang kelapa sawit ini yang bertukar tangan kepada pegangan bukan bumiputra sebagai majoriti. Apa sudah jadi kepada kerajaan Pahang? Adakah itu petanda bahawa "State Government of Pahang is for sale?"..Petaka inilah yang harus disedari oleh rakyat Pahang bahawa tiada lagi hendak dibanggakan dengan kegagahan Tok Gajah, Dato' Bahaman ataupun Mat Kilau apabila rakyat merempat di bumi sendiri. Kita juga mengetahui bahawa permohonan pindahmilik tanah di Pahang adalah antara yang paling sukar di muka bumi ini apatah lagi sekiranya permohonan kepada bukan bumiputra. Tetapi bagaimana pula dengan perlantikan syarikat bumiputra yang hanya minoriti untuk membuka ladang-ladang dan tanah-tanah di Pahang?


Saya ingin mencadangkan agar kerajaan Pahang mengambil ikutan langkah kerajaan Kelantan yang memperkenalkan skim Ladang Rakyat dimana rakyat diberikan pemilikan tanah yang diusahakan oleh sebuah badan dilantik kerajaan negeri dengan pelbagai jenis tanaman komersil. Keuntungan berbentuk dividen dan bonus diberikan kepada rakyat yang merupakan pemegang saham dalam skim tersebut. Rakyat akan terasa mereka sebahagian dari pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan. Berbeza di Pahang, tanah diteroka, ladang dibuka, keuntungan tidak tahu kemana dan akhirnya diistiharkan kerajaan Pahang rugi dan anak syarikat yang mengusahakannya terpaksa gulung tikar.


Oleh yang demikian, kerajaan Pahang harus menghentikan pembukaan tanah dengan alasan kemajuan pertanian sedangkan yang untung beberapa kerat golongan tertentu dan rakyat terus-terusan diperbodohkan. Rakyat Pahang juga harus menginsafi nasib masing-masing. Sampai bila kita harus berbangga dengan Projek Rumah Murah, Projek Pembangunan Rakyat Termiskin yang kita ada? Sedangkan hak kita terus dirobek..

Atau, kerajaan Barisan Nasional Pahang berhadapan tindakan diberhentikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang !

Sunday, June 14, 2009

Kelemahan kerajaan Pahang: Dimana wakil rakyat PR?


Pelbagai isu dan kelemahan yang amat ketara kerajaan Pahang hari ini. Bermula dari perakuan audit kewangan negeri yang bertaraf muflis sehinggalah kepada tindakan sivil Mahkamah terhadap kerajaan negeri dan batang tubuh Menteri Besar Pahang yang kemudiannya diikuti siri-siri saman yang mengheret Kerajaan Negeri ke Mahkamah, kesemuanya memperlihatkan keupayaan negeri yang semakin diragui. Terkini, Kerajaan Negeri mengalami defisit berlanjutan dan angka defisit bagi 2009 sahaja berjumlah RM98.61juta!. Ia bukan sahaja menghakis integriti sebuah kerajaan, tetapi juga amat jijik dan memalukan bagi kerajaan yang mendakwa mampu membawa kemajuan kepada rakyat dalam setiap manifesto pilihanrayanya.


Negeri Pahang umum mengetahui ianya adalah sebuah negara terkaya hasil mahsul sumber buminya apatah lagi sebagai sebuah negeri yang mempunyai lokaliti terbesar di Semenanjung tanahair. Tetapi semua ini hanya tinggal kenangan. Hasil pembalakan kini hanyalah sekadar statistik "atas kertas" yang pada hakikatnya dirakusi oleh golongan tertentu. Buktinya Writ Saman dan Penghakiman RM30 juta yang meningkat kepada RM63juta oleh sebuah syarikat persendirian terhadap kerajaan negeri. Hujah Menteri Besar mudah, syarikat kerdil (yang diistilahkan sebagai syarikat RM2) tidak perlu dilayan sedangkan Mahkamah Persekutuan mengarahkan bayaran dibuat oleh kerajaan Pahang kepada syarikat kerdil tersebut. Sikap biadap, angkuh dan celaka Menteri Besar Pahang ini bukan sahaja memalukan institusi kehakiman negara ini, tetapi juga merendahkan maruah beliau sebagai seorang insan. Bandingkan pula kerajaan Pulau Pinang yang disaman oleh sebuah syarikat dimana kerajaan tersebut diarahkan membayar sebanyak RM15 juta dan kerajaan Pulau Pinang bersetuju membuat bayaran yang akan diluluskan dalam Belanjawan Negeri yang akan datang. Diikuti pula tindakan perlaksanaan (execution) berbentuk tindakan menyita terhadap anak syarikat Kerajaan negeri. Begitu juga saya mewakili 12 orang pembeli projek perumahan di Taman Rompin Permai oleh sebuah anak syarikat Kerajaan negeri iaitu PASDEC Corporation Sdn Bhd. Terbaru, kerajaan negeri berhadap saman berjuta ringgit oleh sebuah syarikat.


Kerajaan negeri juga kini terbeban dengan isu rakyat seperti pemberian hakmilik tanah yang tidak pernah ada penyelesaian. Isu pembolotan tanah oleh golongan tertentu dimana rakyat bawahan tidak mempunyai tanah apatah lagi golongan belia kebanyakkannya tidak bertanah bertaraf tanah anugerah. Begitu juga penerokaan tanah haram oleh syarikat milik individu tertentu. Selain itu, hak pribumi orang asli pula semakin terhimpit dengan isu ketiadaan hakmilik tanah dan pencerobohan kawasan mereka, semuanya perlukan penyelesaian segera.


Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat negeri Pahang yang membangkitkan sebahagian perkara ini di DUN Pahang. Walaubagaimanapun, pada hemat saya, prestasi wakil rakyat PR dalam mengetengahkan isu kelembapan kerajaan Pahang bukanlah sesuatu yang amat boleh dibanggakan. Artikel ini bukanlah merancang mencanangkan kelemahan ADUN-ADUN PR Pahang, tetapi tanggungjawab besar yang digalas oleh wakil-wakil rakyat alternatif ini harus melangkaui batasan lokaliti dan kondisi setempat. Bukanlah saya berniat, membuat perbandingan destruktif tetapi sekadar untuk membuat koreksi diri bahawa prestasi ADUN-ADUN Barisan Alternatif tahun 1999 adalah jauh lebih berkesan. ADUN-ADUN BA bukan sahaja cemerlang di kawasan sendiri tetapi juga bertindak membongkar kebangsatan UMNO Pahang seperti isu pengundi hantu di Pekan dan salahguna kuasa kerajaan negeri. Nama-nama Dato' Tuan Ibrahim, Allahyarham Abd Malek Yusof dan Iqbal Hamdi Rushdi mekar sebagi hero rakyat Pahang. Sidang Pahang (media rasmi PAS Pahang) amat laris bukan sahaja di Pahang tetapi juga di seluruh negara.


ADUN-ADUN PR kini mungkin kurang bersetuju dengan saya, atas alasan media tidak memberikan liputan meluas khidmat dan sumbangan mereka, tetapi kita boleh menghujahkan bahawa media alternatif milik parti sendiri pun tidak membuat liputan meluas ataupun mereka memang kurang melaksanakan aktivitil terhadap aktiviti mereka. Serangan terhadap kerajaan Pahang pula hanya dilancarkan oleh organ-organ parti seperti yang dilakukan PAS Pahang yang diketuai Dato' Tuan Ibrahim mahupun pimpinan PKR dan DAP negeri dan bukanlah ADUN-ADUN PR yang menjadi barisan hadapan Pakatan Rakyat di Pahang.


Sekiranya kelemahan kerajaan ini berlaku di Amerika, Indonesia, India, Perancis, Jepun, China mahupun negara-negara lain, sudah tentulah kerajaan tersebut akan dikecam hebat oleh pembangkang dan satu mobilisasi rakyat akan digerakkan bagi memberikan pengajaran kepada kerajaan agar mereka berdisiplin dan tidak menyusahkan rakyat. Komen saya ini ikhlas dan ingin melihat penghormatan, kepercayaan dan keyakinan rakyat berterusan kepada Pakatan Rakyat agar seterusnya Pakatan Rakyat memperolehi mandat untuk berkuasa di Pahang. Wakil-wakil rakyat PR harus membuat lebih "homework", tubuhkan segera pasukan pemikir, dan mempunyai pembacaan yang berterusan berdasarkan fakta-fakta serta idea-idea yang jitu agar lebih berkesan. Ingat, semua itu memerlukan keberanian dan kecekalan untuk menumbangkan sebuah kerajaan zalim.